Ahad, 25 Jun 2023

EMPAYAR 3, HIKAYAT SAKA KETURUNAN RAJA - Teme Abdullah


 

Dibandingkan dengan Empayar dan Empayar 2, hamba merasakan Empayar 3 tampil dengan penulisan dan penceritaan yang lebih menarik. Punyalah menarik sehinggakan hamba merasakan kisah ini akn tiba kepada klimaksnya hinggalah akhirnya hamba dihampakan apabila kisah ini masih lagi belum berakhir dan akan bersambung ke buku yang akan datang. Kenapalah anda siksa kami begini Teme? Tidakkah boleh karya anda ini dihasilkan dalam sebuah buku sahaja!

Kali ini watak Putera Sastra dan Bachok Andika telah dikembangkan lagi oleh penulis. Pengembangan watak-watak ini pula telah mendatangkan kejutan kepada pembaca. Kita tahu bahawa Putera Aradhana Sastra yang melarikan diri cari istana telah menyamar sebagai rakyat biasa. Dalam penyamaran sebagai rakyat biasa ini, beliau menyamar lagi menjadi Jejaka Guni, satu watak yang kelihatan seperti seorang super hero. Jadi beliau menyamar dalam menyamar! 

Watak Andika yang berganding dengan Kai di dalam buku kedua, dengan keduanya menampilkan watak pelatih yang mempunyai pengetahuan dan pegangan agama yang kukuh mengalami satu twist yang sama sekali tidak hamba jangka - beliau menjadi ketua sebuah kumpulan samseng bawah tanah! Bahkan beliau mula mengamalkan hidup yang jauh dari agama dengan mula meninggalkan solat dan mengamalkan perkara khurafat dan syirik!

Sastra merasakan saka keturunan raja berada di dalam dirinya dan berusaha untuk membebaskan diri daripadanya. Andika pula kuat berpegang bahawa keturunan raja itu semenangnya bersahabat dengan jin dan begitu mendesak Sastra untuk mengakuinya.

Buku ini di dalam penceritaannya secara tidak lansung menyindir para pemimpin yang terlalu ingin memiliki kuasa sehingga membuat perancangan jahat dengan begitu terperinci serta tanpa segan silu mendapatkan bantuan pihak asing. Pihak asing yang datang membantu pula semestinya mahukan ganjaran yang besar atas bantuan mereka. Tanpa sedar bangsa asing ini melakukan penjajahan mereka sedikit demi sedikit tanpa sedar. Rakyat akhirnya menderita apabila pemerintah yang diharapkan untuk memayungi mereka mula bersekongkol dengan bangsa asing.

Penulis juga ingin menunjukkan bahawa rakyat yang bersatu padu di bawah pimpinan seorang ketua yang berwibawa mampu mempertahankan diri dan kampung halaman mereka. Dengan semangat yang kuat dan keyakinan yang tinggi, kejayaan yang besar alan dapat dicapai.

Walaupun rahsia kisah Empayar ini semakin terserlah sedikit demi sedikit, hamba begitu resah apabila kisahnya belum dinoktahkan. Kedua watak utama ini masih kekal misteri.

Teme, janganlah buat buku bersiri lagi!


KENITRA hadir dalam sebuah buku yang tebal.
Tak perlu risau, tiada buku bersiri!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BUJAL - EDISI KHAS ANNIVERSARI 51 TAHUN

  Karakter seorang budak lelaki berambut tebal, berjerawat dan selalu mengenakan t'shirt belang ini adalah satu watak yang amat dikenali...