Rabu, 25 Ogos 2021

APA CERITA PULAK NI? - Mie


Sedang melihat-lihat pesbuk, hamba ternampak satu posting oleh seseorang yang mahu menjual buku ini dengan harga RM38. Hmm ini rasanya lebih tinggi daripada harga asal. Walaupun hamba biasanya mahu memiliki karya-karya sebegini, namun hamba akan melihat dahulu di laman lain sekiranya buku ini masih ada lagi di pasaran dan ditawarkan dengan harga yang lebih murah. Melayari satu laman membeli belah atas talian, hamba terjumpa dengan satu penjual yang memberikan harga paling murah, RM10 sahaja, lebih murah daripada harga asal iaitu RM20 dan lebih murah daripada harga yang ditawarkan oleh penjual di atas. Kalau hamba membeli dengan penjual di atas hamba akan kerugian RM28. Jadi bagi mendapatkan penghantaran percuma, hamba perlu melengkapkan belian sebanyak RM15.Jadi hamba beli novel Isabella yang diterjemahkan oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussein dengan harga keseluruhannya (setelah ditolak dengan coin diskaun) cuma berjumlah RM17. Yup, masih untung berganda berbanding kalau hamba membeli dengan hamba Allah di atas.

Apa Cerita Pulak Ni? adalah lanjutan daripada antologi Apa Cerita? sebuah buku yang disifatkan sebagai satu come back oleh kartunis Mie ke dunia kartun setelah lama menyepikan diri. Lantaran sambutan yang menggalakkan daripada Apa Cerita? maka buku ini tampil sebagai satu sambungan.

Secara ringkas, kartun-kartun yang ada di dalam antologi ini bolehlah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu yang pertama adalah kartun-kartun berkaitan isu semasa. Yang kedua adalah pengalaman Mie menunaikan ibadah puasa di Manchester, England dan yang ketiga dan merupakan bahagian yang paling banyak adalah merupakan kenang-kenangan Mie sewaktu zaman kanak-kanak. Bahagian yang ketiga ini persembahannya adalah senada dengan karya-karya beliau dalam siri Imbauan.

Walaupun ia sekadar satu hiburan, karya-karya yang melibatkan kenangan lalu itu sebenarnya adalah satu cara untuk menyampaikan tentang keadaan tanah air pada masa lalu khususnya apa yang selalu dilakukan oleh kanak-kanak pada masa itu. Beberapa peralatan lama yang tidak akan ditemui lagi pada hari ini adalah satu bentuk rakaman sejarah bagi memberitahu generasi hari ini. Ia juga memberitahu betapa kanak-kanak generasi lalu adalah kreatif kerana mereka membuat sendiri alat permainan mereka daripada bahan-bahan semulajadi atau kitar semula daripada barangan yang telah digunakan. Apa yang penting adalah saat-saat berkenaan mendatangkan kebahagiaan kepada jiwa kanak-kanak tanpa perlu kepada alat permainan yang mahal atau dijual di kedai.

Kebanyakan kenangan Mie adalah begitu mengusik jiwa. Hamba juga rindu akan masa-masa itu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...