Selasa, 11 Jun 2024

HARI-HARIKU DI KEDAI BUKU MORISAKI - Satoshi Yagisawa


 

Hamba rasa syarikat penerbit buku ini di Malaysia amat bijak dalam melancarkan promosinya. Biblio Press kerap mengemaskini perkembangan buku ini sebelum keluar di pasaran sehingga menarik minat hamba untuk membacanya. Apatah lagi tajuk seperti ini membuatkan peminat buku seperti hamba akan berasa teruja untuk mengikuti kisahnya.

Apapun kita wajar menghargai usaha Biblio Press yang kini amat giat menterjemahkan banyak karya antarabangsa yang bermutu ke dalam bahasa Melayu. Hamba rasa negara Jepun sendiripun banyak melakukan hal ini memandangkan rakyatnya lebih suka berinteraksi di dalam bahasa ibunda mereka sendiri. Secara tidak lansung pemindahan pengetahuan luar kepada rakyat kita akan menjadi lebih mudah dan kita dapat menikmati karya-karya sebegini tanpa perlu bimbang akan soal tidak faham sesuatu bahasa.

Hamba juga ingin merakamkan penghargaan buat penterjemah karya ini, Saudara Hazman Baharom. Saudara Hazman melakukan usaha penterjemahan ini di Perpustakaan Haruki Murakami, Universiti Waseda, Jepun. Ini bermakna beliau melakukan penterjemahan buku ini berdasarkan teks asal dalam bahasa Jepun. Abdullah Hussain amat menitik beratkan penterjemahan melalui bahasa asal kerana apabila dilakukan melalui teks yang telahpun diterjemahkan ke bahasa lain, ia berkemungkinan akan lari sedikit kerana lenggok bahasa yang berbeza. Ia seperti buku asal di dalam bahasa Jepun, telahpun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan dilakukan terjemahan ke dalam bahasa Melayu melaui teks Inggeris tersebut dan bukannya teks Jepun.

Kesungguhan penterjemah untuk mempersembahkan hasil terjemahan yang baik serta tidak terlalu terikat dengan teks asal dan memberikan pengalaman pembacaan yang baik kepada pembaca dapat dilihat daripada tulisan ringkas beliau di laman Prakata Penterjemah.

Bagi memberikan kefahaman yang baik kepada pembaca, penterjemah menggunakan beberapa istilah yang hamba lihat mungkin hanya difahami oleh orang negeri tertentu sahaja. Ia bukanlah istilah dalam bahasa Melayu standard walaupun penulis cuba menukarkannya kepada sebuta bahasa Melayu baku.

Contohnya, 'Balur liat sungguh, memang tak boleh buat apa dah'. Kalau hamba tidak pernah bergaul dengan orang utara, mungkin hamba tidak faham akan perkataan ini. Orang utara menyebutnya baloq liat yaani pemalas. Sebutan balur liat inilah kali pertama hamba berjumpanya.

Dalam ayat, 'Tetapi Takano seperti mandom pula dah.' Perkataan mandom adalah jelas satu bahasa daerah.

Penggunaan 'anak penakan' terdapat di banyak tempat di dalam buku ini. Anak penakan biasanya digunakan di belah utara yang bermaksud anak saudara.

'Hoi, pak long! Cakap elok-elok sikit.' Dalam bahasa Jepun tentunya ada istilah sendiri bagi membahasakan orang tua, pakcik atau bapa saudara. Perkataan pak long bagi menggambarkan orang-orang tua atau orang yang lebih berusia biasa digunakan di belah utara.

Ada juga perkataan yang hamba rasa ia bahasa daerah dan tidak saya fahami seperti, 'Kalau sekarang saya tak koi-koi bergerakkeluar merantau......'. Perkataan koi-koi tidak saya fahami (dan malas nak Google.....).

Terdapat juga penggunaan bahasa kebanyakan yang hanya orang Malaysia sahaja menggunakannya yang hamba rasa tidak digunakanpun oleh orang Jepun di dalam bahasa mereka, seperti - 'Aci kerat jari aku. Kalau aku bohong.......'. Aci kerat jari adalah bahasa pasar seolah-olah bersumpah untuk mengatakan bahawa kita bercakap benar.

Begitu juga dengan perkataan kenen di dalam ayat, '....aku teringat bilamana pak cik kenenkan dirinya denganku....' 

Dalam ayat, 'Tunjuk muka, salam-salam, peluk-peluk sikit, lepas tu aku caulah.' Perkataan cau adalah bahasa pasar yang diambil daripada bahasa Cina yang bermaksud pergi.

Penterjemah ada menggunakan perkataan parak di dalam ayat berikut, 'Kalau setiap hari, paraklah.....'. Perkataan parak di dalam bahasa Melayu mempunyai tiga makna iaitu 1. perpisahan, perceraian. 2. siang pagi-pagi benar (kira-kira jam 3-5), dan 3. kebun atau ladang. Jelas penggunaan parak di dalam terjemahan ini adalah dilihat dari sudut penggunaan bahasa pasar dan bukannya bahasa Melayu standard. Mungkin kata-kata orang Kelantan - parok!

Ada juga istilah bahasa Melayu yang kadangkala salah digunakan oleh orang ramai, dituliskan dengan betul oleh penterjemah, seperti, '..... sapa seorang lelaki muda tinggi lampai berbadan kurus kedengkik....'.  Kita biasa mendengar perkataan kurus keding. Yang tepat adalah seperti yang dituliskan oleh penterjemah.

Penterjemah juga turut memasukkan beberapa istilah dalam bahasa Indonesia seperti arloji, sepele, kaget dan sebagainya.

Ada juga perkataan bahasa Melayu yang baru hamba ketahui lewat pembacaan buku ini seperti, 'Bukan setakat rimbuk, sepak terajang, lutut, siku....'. Pada awalnya hamba menyangkakan penterjemah tersilap menulis tumbuk sebagai rimbuk. Rupanya rimbuk juga bermaksud tamparan atau pukulan yang kuat.

Sebagai seorang peminat buku, hamba lebih enjoy kisah atau keadaan yang menceritakan tentang kedai buku Morisaki, kedai-kedai buku terpakai yang lain serta pesta buku di Jimbocho. Ini kerana bagi hamba kisah yang dipaparkan adalah biasa sahaja, sama sahaja keadaannya bagi mana-mana gadis di dalam dunia ini apabila mereka putus cinta. Tetapi keadaan di kedai buku atau di negara Jepun inilah kelainannya. Justeru membacanya kadangkala hamba merasakan hamba sedang berada di sana - melancong secara fikiran.

Agak syok membaca sebuah tempat yang dipenuhi dengan buku-buku lama dengan ada diantaranya telah mencapai tahap langka. Terbayang hamba akan pasar Chowrasta yang mempunyai beberapa kedai yang menjual buku-buku terpakai. Tetapi hamba merasakan kedai-kedai buku di Jimbocho ini lebih besar lagi, apatah lagi ia digambarkan sebagai kawasan kedai buku terpakai terbesar di dunia. Dengan harga serendah ¥100 yang bersamaan RM3, kita sudah boleh mmebeli sebuah buku terpakai!

Hamba membahagikan buku ini kepada dua bahagian. Di bahagian pertama setelah Takako putus cinta, beliau tinggal di Kedai Buku Morisaki yang diwarisi oleh pakciknya. Jadi di bahagian ini akan ada banyak penceritaan tentang kedai buku. Di kedai ini Takako akan mengenali beberapa watak lain seperti Pak Sabu, tauke kedai kopi, Tomo, Takano dan lain-lain lagi. Di bahagian ini kita akan mengenali dengan lebih mendalam juga watak pakcik Takako iaitu Satoru yang agak misteri serta ditinggalkan isteri yang bernama Momoko.

Di bahagian kedua Takako telahpun keluar dari Kedai Buku Morisaki dan tidak lagi tinggal di sana. Di sinilah pula munculnya watak Momoko isteri Satoru yang telah lama menghilang. Jadi di bahagian ini kisah di atau kedai buku bukan lagi menjadi paparan utama. Ia lebih kepada diri Momoko itu sendiri.

Di sinilah Satoru meminta Takako untuk merisik akan sebab kehilangan Momoko dahulu. Segala-galanya menjadi jelas apabila Takako berpeluang pergi bercuti bersama Momoko di sebuah pergunungan.

Momoko hampir sahaja mengambil tindakan untuk menghilangkan diri apabila Takako mendesak Satoru untuk segera menyusul Momoko untuk menyelesaikan masalah mereka. Takako juga mungkin telah dapat melupakan kegagalan cinta pertamanya apabila bertemu dengan seorang pemuda bernama Wada.

Sebenarnya hamba agak kecewa juga kerana bab-bab selepas kehadiran Momoko tidak lagi dipenuhi dengan cerita buku dan kedai buku. Teringin benar hamba untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kedai Morisaki dan lain-lain kedai buku yang berjiran.

Selesai sebuah buku tentang kedai buku. Ada sebuah lagi buku juga mengenai kedai buku yang menunggu untuk dibaca. Harapnya dapat direalisasikan minggu ini!


Korang bacalah pula hari-hari hamba di KENITRA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LAWAK KAMPUS ASSEMBLY ARTBOOK 2.0 - Keith

  Buku yang ini tidak mengambil masa yang lama untuk menghabiskannya. Ini kerana ia adalah sebuah artbook atau buku yang hanya mengandungi l...