Sabtu, 11 Mei 2024

PERJALANAN MENCARI BAHASA - Abdullah Hussain


 

Hamba amat gembira apabila secara tidak sengaja bertemu buku ini untuk dijual di atas sebuah platform jualan atas talian. Sudah terlalu lama hamba mencarinya. Walaupun ianya sekadar sebuah buku terpakai yang dijual tentunya dengan harga yang melebihi harga pasaran asal, namun secara peribadi hamba merasakan amat berbaloi membelinya. Jauh datangnya buku ini, merentasi Laut China Selatan dari Sabah.

Ini bermakna hamba telah dapat membaca kesemua siri autobiografi Abdullah Hussain iaitu Sebuah Perjalanan, Perjalanan Mencari HikmahPerjalanan Mencari Diri dan buku ini sendiri. Walaupun hamba tidak dapat membacanya mengikut aturan buku ditulis kerana kesukaran mendapatkan sumbernya, hamba berpuas hati kerana akhirnya dapat melengkapkan pembacaan kesemua buku ini. Daripada kesemua empat, hamba hanya memiliki dua buku sahaja manakala dua lagi hamba baca di perpustakaan.

Dengan membaca tajuknya, para pembaca yang tidak biasa dengan penulisan Abdullah Hussain tentunya menyangka ini adalah sebuah buku yang membosankan, apatah lagi apabila membicarakan tentang bahasa. Percayalah bahawa corak penulisan Abdullah amat menghiburkan walaupun berbicara tentang topik yang kurang diminati ramai.

Perjalanan Mencari Bahasa adalah kisah yang bermula setelah Abdullah berpindah ke Kuala Lumpur dari Singapura apabila memulakan khidmatnya bersama Oxford University Press (OUP) diikuti oleh Franklin Book Program sebelum diakhiri dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka. (Sampai di para ini bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan hamba terpaksa menyambung dengan menulis di telefon bimbit).

Sepanjang perkhidmatan beliau ini pelbagai peristiwa yang melibatkan bahasa, dunia penulisan dan sastera telah berlaku. Antaranya adalah perjuangan para pejuang bahasa untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Betapa sukarnya untuk mendaulatkan bahasa Melayu setelah sebegitu lama negara ini sebelumnya menggunakan bahasa Inggeris di dalam urusan rasmi negara. Abdullah turut memaparkan segelintir pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan yang masih menggunakan bahasa Inggeris dalam aktiviti harian walaupun tahun penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang akan digunakan secara menyeluruh semakin hampir.

Pada ketika itu dalam surat rasmi hanya pembuka dan penutup sebelum tandatangan sahaja yang menggunakan bahasa Melayu manakala isinya masih di dalam bahasa Inggeris. Pengelibatan pemimpin dan kakitangan kerajaan sebenarnya penting kerana rakyat melihat mereka sebagai penanda aras terhadap pelaksanaan sesuatu dasar negara.

Abdullah tentunya kecewa jika hamba mengatakan bahawa sehingga ke hari ini masih terdapat segelintir pemimpin dan kakitangan kerajaan yang berbicara dalam bahasa Inggeris seperti di dalam mesyuarat walaupun kehadiran dalam mesyuarat tersebut adalah seratus peratus orang Malaysia!

Industri buku selepas merdeka nampaknya berkembang pesat dengan banyaknya syarikat buku, penerbitan, penulisan dan penterjemahan buku asing berlangsung. Namun susah payah penerbit buku dan penulis yang dihadapi di zaman itu hamba lihat seperti tiada bezanya dengan masa sekarang.

Penerbit hari ini sukar untuk hidup kerana pasaran yang kurang memberangsangkan dan ia sekaligus menjejaskan penulis itu sendiri. Pada masa lalu penerbit kadangkala kerugian kerana ada kedai buku yang tidak membayar wang jualan kepada penerbit serta berlaku juga gejala cetak rompak.

Melalui Perjalanan Mencari Bahasa ini dapat hamba ketahui beberapa lagi buku tulisan Abdullah yang tidak lagi berada di pasaran. Antaranya ialah Kuala Lumpur Kita Punya yang mendapat sambutan menggalakkan pada masa itu. 

Abdullah banyak menghasilkan karyanya berdasarkan pengalaman serta peristiwa yang berlaku apabila beliau mengunjungi sesuatu tempat contohnya cerpen-cerpen seperti, Pertemuan di Miri dan Sebuah Pekan Bernama Semporna.

Seperti siri autobiografi beliau yang lain, ia bukan sahaja merakamkan kisah beliau tetapi juga merakamkan peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara. Antaranya adalah kisah 13 Mei dan kematian P. Ramlee.

Banyak peristiwa yang membabitkan nama-nama besar dalam penulisan tanah air yang dipaparkan bersama peristiwa sebalik tabir yang berlaku. Banyak kesukaran yang ditempuhi oleh Abdullah dan rakan-rakan beliau untuk memajukan bidang penulisan dan sastera. Patutlah ada ketikanya sesuatu hadiah sastera itu ada yang dibiayai kerajaan dan ada ketikanya oleh badan swasta. Semuanya kerana kesukaran mencari dana. Namun kesungguhan mereka yang berada di belakangnya itulah yang paling utama.

Abdullah turut berkisah tentang polemik beliau dengan Shahnon Ahmad melalui rantaian surat menyurat mereka berdua. Ia bertitik tolak daripada sebuah tulisan Shahnon di sebuah akhbar yang memberikan satu kritikan kepada para penggiat sastera tanah air. Walaupun ada kalanya dalam surat-surat itu hamba melihat ada sesuatu yang keras, tetapi kedua-duanya menjawab dengan penuh ilmiah dan adab. Ketika membaca surat-surat ini hamba hanya terbayangkan andainya ia berada di dalam media sosial. Tidak cukup dengan dua orang yang berbicara, akan ada pula orang lain yang menambah perisa!

Abdullah juga telah memainkan peranan yang besar dalam pengembangan bahasa dan dakwah di negeri Sabah. Siri ceramah bahasa beliau di merata Sabah telah berjaya membangkitkan semangat anak-anak pelajar untuk maju dalam pelajaran. Bahkan jalinan perhubungan yang hanya bermula dalam siri ceramah itu telah berpanjangan ke peringkat seterusnya. Mereka jelas amat sayangkan dan terhutang budi dengan Abdullah.

Buku ini berakhir dengan kisah tamatnya perkhidmatan Abdullah dengan Dewan Bahasa sebelum menjadi ahli cipta pula di Universiti Sains Malaysia.


(Hamba pun dah penat menaip di telefon bimbit ini...)


Khamis, 9 Mei 2024

BUJAL - EDISI KHAS ANNIVERSARI 51 TAHUN


 

Karakter seorang budak lelaki berambut tebal, berjerawat dan selalu mengenakan t'shirt belang ini adalah satu watak yang amat dikenali di kalangan kanak-kanak sekitar 70-80an. Bermula kemunculannya di majalah Bambino sebelum mempunyai majalah dengan namanya sendiri.

Ayah hamba selalu membelikan hamba majalah Bujal ini dahulu. Melalui majalah ini serta majalah-,ajalah lain yang ayah belikan seperti Bambino, Dewan Pelajar, Kuntum, Gila-Gila, Mingguan Pelajar dan lain-lain lagi, minat hamba dengan buku dan majalah semakin bertambah. Sehingga ke hari ini minat membaca masih lagi menebal. Sayangnya hamba tidak menyimpan sebarang koleksi Bujal di rumah apabila ia hamba tinggalkan sewaktu berpindah rumah. Maklumlah ketika itu masih remaja dan tidak terfikir majalah seperti ini akan cukup bernilai pada hari ini.

Majalah Bujal sudah lama menghilang. Secara tiba-tiba hamba terjumpa dengan satu posting di FB yang memaklumkan akan kehadiran edisi khas ini. Hamba tidak teragak-agak untuk membelinya.

Majalah keluaran khas ini tidaklah begitu tebal, sekadar 40 ,uka surat sahaja. Ia juga tidak menampilkan sebarang komik baharu cuma keluaran semula dua buah komik yang bertajuk Restoran Bujal dan Wak Segan Yang Yok. Apa yang baharu adalah pengenalan kepada watak-watak yang pernah muncul di dalam Bujal, sejarahnya serta tentang pelukis asalnya. Dah 49 tahun umur hamba, baru kali ini hamba mengetahui nama Bujal berasal daripada perkataan 'Budak Jalanan'!

Pembeli majalah ini juga akan menerima tandatangan khas Pak Rizalman, pelukis Bujal.







PERJALANAN MENCARI BAHASA - Abdullah Hussain

  Hamba amat gembira apabila secara tidak sengaja bertemu buku ini untuk dijual di atas sebuah platform jualan atas talian. Sudah terlalu la...