Saturday, April 18, 2015

KU SERU NAMAMU - Ilani Mysara


Tidak ramai penulis hari ini yang mampu menulis dengan gaya bahasa klasik ataupun gaya bahasa yang biasa dibaca dalam hikayat zaman dahulu. Apatah lagi kalau tulisan itu disulami dengan pantun dan syair yang nadanya umpama dari zaman berkenaan. Bagi hamba, penulis novel ini berjaya melakukannya walaupun sekali sekala ada juga tersua perkataan moden seperti 'serius'.

Novel ini penuh dengan fantasi alam nusantara sehinggakan ada ketikanya hamba merasakan ia sudah terlalu mengarut. Sememangnya membaca hikayat zaman dahulupun akan sarat dengan penceritaan sebegini dan bagi hamba itu semua tidak lebih daripada penceritaan yang melampau bertujuan lebih untuk menarik perhatian para pembaca ataupun pendengar, memandangkan hikayat zaman dahulu lebih banyak disampaikan melalui bentuk penceritaan dari mulut ke mulut.

Berkisar mengenai seorang puteri bangsawan bernama Dewi Sri Wali yang keluar mengembara bagi menghapuskan tujuh sumpah serta membersihkan nama buruk keturunannya, pembaca akan dibawa mengembara ke alam entah mana. Dalam pengembaraan tersebut akan berlaku beberapa adegan penuh kesaktian terutama yang melibatkan puteri tersebut. Puteri tersebut yang pada mulanya tidak beragama digambarkan telah memeluk agama Islam dalam pengembaraannya. Namun watak berkenaan selepas pengislamannya masih lagi bermain dengan jampi mentera dan serapah walaupun kadangkala ada bacaan ayat suci yang digunakan. Satu ketika apabila Dewi ini ingin bersiram disebuah kolam beliau telah memohon izin dari 'penunggu' tempat itu dengan menuturkan 'Assalamualaikum para nabi yang menjaga air di kolam ini.....' bagi hamba ini agak keterlaluan sehinggakan para nabi pun ada yang menjadi jaga kolam. Tidak pernah hamba bertemu mana-mana riwayat hadith yang menyatakan ada nabi yang menjaga mana-mana kolam di dunia ini atapun jikalau berkunjung ke kolam yang tidak diketahui siapa tuannya maka perlu memohon keizinan dari para nabi. Justeru membaca hikayat yang bercampur aduk antara kepercayaan mistik dan Islam hamba merasakan lebih banyak bidaahnya.

Apabila Paduka Pengiran Amirul Amin meminta pandangan mengenai apa yang perlu dilakukan supaya kerajaan di bawah pemerintahannya tetap aman dan tenteram apabila beliau mengundurkan diri nanti, Dewi Sri Wali telah menyarankan agar beliau berwasiat. Perkataan wasiat tersebut yang merupakan cadangan daripada orang yang baru memeluk Islam telah membuatkan orang ramai yang telah lebih lama menjadi Muslim tertanya-tanya memandangkan mereka tidak mengerti mengenai perkara tersebut. Hamba pula yang jadi tertanya-tanya apabila membaca bab ini adakah bengap sangat rakyat negeri itu sehingga tidak tahu apa itu wasiat.

Bagi hamba walaupun menulis kisah berbentuk hikayat zaman dahulu, tidak semestinya kita juga perlu mengarut secara keterlaluan sepertimana hikayat itu juga. Di zaman ini yang mana pengetahuan mengenai Islam adalah lebih meluas serta amat mudah dirujuk faktanya, perkara sebegini sepatutnya ditulis dengan lebih berhati-hati lagi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...