Sabtu, 4 November 2023

PETAKA SUKMAKU - Naim Tamdjis

Gambar ihsan FB Naim Tamdjis

 

Walaupun memperolehi buku ini seawal penerbitannya (bahkan hamba membeli terus daripada penulisnya), kesibukan bertukar kerja di tempat baharu menyebabkan buku ini tidak sempat hamba mengusiknya. Hanya apabila kini hamba telah dapat mengatur semula rentak perjalanan harian dan dapat mengadaptasi dengan kesibukan kerja semasa, maka ada kesempatan untuk hamba membaca sekaligus menyudahkannya beberapa hari yang lalu.

Kisahnya agak simple mengenai seorang penulis kisah seram bernama Nass yang mempunyai ramai peminat termasuk seorang yang agak hardcore sehingga sanggup menghadiahkan beliau barangan yang agak mewah. Dalam hal diri penulis seram ini hamba percaya bahawa watak Nass itu sendiri banyak diadaptasi daripada penulis novel ini sendiri.

Dipendekkan cerita, peminat yang bernama Sara ini akhirnya berkahwin dengan Nass. Terdapat pelbagai peristiwa berlaku sebelum berlakunya perkahwinan ini yang konfliknya umpama membaca sebuah kisah remaja biasa atau paling kurang konflik dalam drama TV pukul 7.

Nasihat yang Nass berikan kepada temannya bernama Amye (hamba pun tak tahu cara menyebutnya, Amy kah atau Am-Ye...) untuk melaporkan perbuatan tidak molek seorang lelaki bernama Rizman kepada polis telah mencorakkan perkembangan cerita selepas itu. Ibu kepada Rizman telah menggunakan ilmu hitam terhadap Nass. Tambah memburukkan lagi keadaan, bekas pekerja Nass bernama Abraham juga telah mengambil jalan yang sama apabila merasakan dirinya tidak mendapat layanan yang wajar.

Maka selepas itu pembaca akan dapat mengikuti akibat yang terjadi kepada Nass dan Sara hinggalah kepada penghujung kisah.

Secara amnya, buku ini tidaklah begitu seram. Lebih-lebih lagi sebahagian besarnya telah dipenuhi dengan kisah awal Nass bersama Sara. Elemen seram yang disuntik menjadikan konflik yang berlaku semakin sukar membuatkan pembaca tertanya-tanya akan jalan penyelesaiannya.

Walaupun sihir yang dikenakan akhirnya berjaya dipatahkan, namun hamba agak kurang berpuas hati terhadap apa yang berlaku kepada penghantarnya kerana tidak diberikan penghuraian yang panjang. Hamba lebih mahu melihat akibat kepada ibu Rizman, sebaliknya Rizman pula yang menerima akibat balikan sihir itu. Ibu Rizman dan pembantu rumahnya hanya dilihat kelam kabut mahu mencari semula bomoh tempat mereka mengadu. Tiada diceritakan apa yang berlaku kepada bomoh begitu juga dengan watak Abraham yang kisahnya tamat sebaik sahaja melakukan ritual terhadap premis penerbitan Nass.

Kisah ini sesuai dibaca oleh peminat cerita seram tetapi tidak suka membaca kisah yang terlalu seram sehingga takut nak ke bilik air di tengah malam. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...