Agaknya jikalau tiada sistem GPS
di dalam kereta hamba mungkin sukar untuk hamba tiba ke destinasi ini. Kalau
tak silap hamba cuma bertemu satu sahaja papan tanda yang mengarah ke kawasan
ini daripada penginapan hamba di Hotel Tabung Haji. Jalan menghala ke muzium
perang ini kecil sahaja dan sedikit berliku sambil menghala ke puncak bukit. Di
kiri dan kanan jalan hanyalah semak samun. Hamba rasa kalau kerajaan negeri
Melaka yang memiliki kawasan seperti ini pasti keadaannya adalah lebih baik
bagi menarik lagi kedatangan pelancong.
![]() |
Kawasan penyimpanan peluru bawah tanah. Terdapat beberapa gambar oleh bekas seorang tentera British yang memaparkan keadaan semasa perang. |
![]() |
Jelas kelihatan beberapa bahagian dinding yang berlubang kerana tembakan peluru. Ini adalah bekas berek pegawai yang digunakan Jepun untuk menembak tahanan. |
Memasuki premis berkenaan kereta
hamba berhenti disebelah seorang lelaki yang seolah menjaga pintu masuk kawasan
tersebut. Beliau meminta RM5 sebagai bayaran letak kereta dengan disertakan
resit. Kata beliau yang melalui suaranya seperti warga dari seberang itu, wang
RM5 tersebut boleh dikembalikan semula dengan menolak harga tiket nanti. Pelik juga
hamba kenapa perlu bayar tiket parking dahulu kalau nanti akan mendapat kembali
wang tersebut. Seolah-olah tempat meletakkan kereta adalah percuma sebenarnya.
![]() |
Salah sebuah kubu peninjau |
![]() |
Berek |
![]() |
Berek yang menempatkan tentera Melayu. Hamba tak tahu kenapa pemilik premis meletakkan beberapa patung hantu di dalam berek ini. Terdapat juga satu kubur askar Inggeris di dalam berek ini. |
Hamba tak ingat berapa bayaran
yang dikenakan mengikut kepala. Carian hamba di internet sebelum
berkunjung ke sini memang memberitahu
bahawa bayarannya agak mahal. Namun kerana didorong perasaan ingin tahu, tambahan
pula ia merupakan satu-satunya warisan perang yang masih dalam keadaan elok
maka hamba pejamkan mata sahaja. Bayaran yang dikenakan kepada keluarga hamba
dikira sebagai pekej keluarga dengan harga RM65. Ketika hamba telah selesai
membeli tiket dan bersedia untuk masuk, hamba melihat satu keluarga yang
membatalkan hasrat mereka untuk masuk setelah mendapati harga tiket agak mahal.
Ketika ini barulah hamba mendapat jawapan kenapa bayaran meletak kereta telah
diminta awal-awal lagi. Ini bermakna
keluarga berkenaan walaupun tidak melawat kawasan muzium, tapi masih terpaksa
membayar RM5 walaupun mereka cuma meletak kereta seketika sahaja. Pihak pengendali
muzium secara tidak lansung telah mendapat untung di atas angin. Bagi hamba pekerti
ini adalah sesuatu yang agak zalim. Ini kerana pengunjung masih membayar
walaupun tidak mendapat perkhidmatan. Lebih-lebih lagi RM5 itu tidak sepadan
dengan lama mereka meletak kereta. Pengguna perkhidmatan parking berbayar di
Kuala Lumpur pun dikecualikan bayaran sekiranya mereka tidak menjumpai parking
yang kosong dalam tempoh yang dihadkan. Inikan pula parking dalam hutan, tiada
bumbung dan di kawasan tertentu agak curam.
Maklumat mengenai muzium perang
ini banyak terdapat di internet. Tetapi kebanyakannya adalah daripada blog
persendirian juga pihak berkuasa pelancongan. Namun premis ini sendiri tidak
mempunyai laman web rasmi mereka. Adalah amat menghairankan kerana mereka tidak
melihat ini sebagai satu peluang untuk memperkenalkan premis mereka ke
peringkat antarabangsa. Mungkin sewajarnya kawasan ini ditadbir oleh kerajaan
berbanding secara persendirian. Pastinya kawasan ini akan lebih terjaga dengan kadar
bayaran yang lebih munasabah.
Dibina sekitar tahun 1930an,
kawasan kubu yang dibina oleh The British Royal Engineers ini telah jatuh ke
tangan Jepun sewaktu perang dunia ke II. Apabila Jepun menyerah dan
meninggalkan Malaya, kubu ini terbiar tanpa siapa peduli atau mengetahui
lokasinya sehinggalah diketemui semula lebih kurang 60 tahun kemudian. Ternyata
peninggalan ini adalah satu bukti bisu tentang peperangan yang pernah terjadi
di negara kita. Ketika beberapa peninggalan perang dunia atau zaman Jepun yang
telah mula hilang seperti kubu-kubu yang terdapat di Kelantan, kubu tentera
British ini secara tidak lansung dapat memberikan gambaran yang lebih jelas
tentang betapa ‘seriusnya’ perang di zaman itu.
Bersambung….
![]() |
Tak perlulah pemilik premis sampai jadikan berek ini sebagai tempat pameran hantu pula... Berek Malay OR (Other Ranks) |
![]() |
Intelligence room |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan