Sabtu, 3 Februari 2024

TERHEMPASNYA PESAWAT MH747 - Helmi Effendy


 

Sudah agak lama hamba tidak membaca tulisan Helmi Effendy (sekaligus membelinya). Bahkan buku ini yang telah hamba beli pada tahun 2022 terperap di dalam perpustakaan rumah hinggalah hamba terjumpa semula sekaligus membacanya beberapa  minggu yang lalu.

Helmi pernah menulis novel The Lost World yang menceritakan kisah sebuah kapal terbang yang terhempas di sebuah pulau yang majhul dan dipenuhi dengan haiwan pra sejarah. Justeru membaca novel yang ini hamba agak kecewa kerana merasakan ia seolah-olah novel The Lost World bahagian kedua ataupun kisah The Lost World yang diberikan nafas baharu. Jadi apabila hamba membaca semula ulasan yang pernah hamba tulis mengenai The Lost World, hamba rasakan seperti mahu sahaja membuat copy and paste ulasan tersebut ke ruangan ini!

Lebih kurang sahaja ceritanya. Masih lagi sebuah kapal terbang yang terhempas di sebuah pulau yang tidak diketahui nama dan zamannya. Bezanya untuk novel ini, kapal terbang akan jatuh terhempas di pulau berkenaan setiap 30 tahun. Yang hamba pelik kapal terbang itu semuanya dari Malaysia. 

Sebagaimana The Lost World, novel ini juga menampilkan pelbagai watak dengan pelbagai kemahiran dan kemahiran mereka ini nanti kan menjadi pemudah keadaan terhadap apa yang berlaku. Contohnya ada watak Puteri sebagai doktor yang akan merawat banyak kejadian orang cedera, Zaki sebagai saintis yang boleh memperkenalkan para pembaca dengan nama haiwan pra sejarah,  Abbas seorang bomba dan Juliana seorang komando yang berguna untuk mencari haiwan buruan, Jihyo berpengetahuan sebagai botanis yang berguna mengenal tanaman dan boleh menghasilkan bahan makanan dan lain-lain lagi. Apabila terlalu banyak watak, maka banyaklah pula plot penceritaan yang dihasilkan. Dalam hal ini Helmi memang bijak merangka plot serta masalah dan permasalahan setiap watak.

Antara semua penumpang yang terhempas, ada seorang scammer bernama Khairul yang akhirnya menjadi ketua kepada kumpulan ini. Banyak dilema dalam diri Khairul yang ditampilkan oleh Helmi. Bagaimana daripada seorang penipu beliau menjadi seorang pemimpin yang kemudian menjadikannya sebagai seorang yang lebih baik sehingga beliau berazam tidak lagi mahu menjadi seorang yang jahat. Namun beliau sering diganggu oleh penampilan Fitri sahabat sejenayah beliau yang telah beliau bunuh sebelum beliau melarikan diri. watak penampilan begini pun seperti ada dalam The Lost World!

Oh ya Helmi menggambarkan Juliana sebagai komando wanita pertama negara! Memandangkan novel ini menggunakan latar masa sekarang jadi menjadikan watak Juliana sebagai komando wanita pertama negara adalah tidak berapa kena. Komando wanita sememangnya telah ada dalam pasukan VAT 69 dalam pasukan polis. Helmi mungkin lebih sesuai menggunakan komando wanita tentera pertama. Walau bagaimanapun angkatan tentera kita sendiripun pernah memikirkan akan pengelibatan mereka di dalam apsukan elit ini sejak lebih 8 tahun yang lalu.

Terjadi banyak konflik antara mangsa kapal terbang terhempas ini, juga bersama kumpulan lain (dipanggil puak) yang terhempas lebih dahulu daripada mereka dan telah menduduki pulau ini sejak sekian lama.Seriap kumpulan ini pula ada cara hidup mereka yang tersendiri dan mereka tidak hidup bermasyarakat dengan kumpulan yang lain.

Sama seperti The Lost World, tengah sedap kita membaca kisah berkenaan survival manusia, tiba-tiba ada pula kisah hantu yang dimasukkan. Kerana itu hamba katakan di awal tadi, ini boleh dikatakan The Lost World bahagian kedua. Bagi hamba kalau kisah survivor, terus istiqamah sahajalah dengan laluan itu dan tak perlu lansung ada kisah mistik yang lebih menjadikan kisah semakin mengarut.

Hamba tak mahu ulas panjang. Di hujung penceritaan, setelah begitu banyak kisah yang terjadi, kumpulan yang asalnya nampak begitu berperikemanusiaan akhirnya hilang semua sifat itu bahkan mereka lebih ganas lagi. Ia sekaligus menjadikan hamba tertanya-tanya, apa yang nak disampaikan sebenarnya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...