Isnin, 12 Februari 2024

SAJAK-SAJAK SALEH - Saleh Ben Joned


 Rasanya hamba hanya memiliki beberapa buah buku sahaja berkenaan sajak atau puisi ini. Selain daripada sebuah buku sajak yang wajib dibaca dan ditelaah sewaktu SPM tahun 1992 yang lalu, hamba ada sebuah buku bertajuk Balada oleh Pyanhabib. Jadi buku ini barangkali buku sajak hamba yang ketiga. 

Sejujurnya walaupun pernah meminati sajak ketika bersekolah dahulu, hamba tidak lagi mengikutinya selepas itu. Menulis sajak pun terasa sukar dan tidak sampai ke jiwa. Justeru hamba sendiri tidak tahu mengapa hamba membeli Sajak-Sajak Saleh ini.

Asalnya hamba hanya terbaca mengenai temuramah sebuah akhbar berbahasa Inggeris dengan anak Saleh yang bernama Anna yang bercerita mengenai anaknya. Jadi buku ini turut disebutkan di dalam temuramah berkenaan. Secara kebetulan Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang diadakan tidak lama selepas keluarnya artikel itu telah mempamerkan buku ini sebagai jualan. Jadi begitulah secara ringkas bagaimana buku ini berada di dalam genggaman hamba.

Hamba percaya bahawa hamba tidak perlu mengulas tentang sajak-sajak di dalam buku ini. Sajak-Sajak Saleh bukanlah sebuah buku yang baharu, ia adalah sebuah buku lama yang diulang cetak semula oleh penerbitan FIXI. Saleh digelar sebagai the bad boy of Malaysian literature. Hamba tak tahu mengapa, adakah kerana keberanian beliau ataupun kerana bicaranya meliputi sehingga ke perkara-perkara dalam kelambu yang tidak selayaknya dibaca oleh kanak-kanak.

Sejujurnya juga, tidak semua sajak Saleh dapat hamba fahami dengan baik. Bahkan adakalanya hamba takut untuk menafsir sesuatu sajaknya. Lebih-lebih lagi apabila ada bait-baitnya yang menyentuh tentang agama. Jadi hamba memutuskan bahawa untuk buku ini, cukuplah hamba sekadar membacanya sahaja tanpa perlu hamba mengusutkan fikiran cuba untuk mentafsirnya.

Selain daripada sajak-sajak berbahasa Melayu, buku ini turut menampilkan sajak-sajak beliau di dalam bahasa Inggeris.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...