Selasa, 27 Februari 2024

ZAC KAPCAI - Roslim


 

Jikalau anda adalah seorang pembaca atau peminat tegar majalah Gila-Gila, nama Roslim mungkin bukan sesuatu yang asing pada anda. Atau anda mungkin tidak ingat dengan nama Roslim tetapi ingat kepada karyanya Zack Kapcai. Namun apa yang pasti, sekiranya anda meminati ataupun membaca Zack Kapcai kita zaman kegemilangannya bersama Gila-Gila, anda pastinya sudah tua hari ini ha ha ha!

Roslim kini tampil bersama buah tangan terbaharunya - Zac Kapcai. Perhatikan nama tajuk buku ini dan lihat bagaimana nama Zac dieja. Ya, tiada huruf K pada nama ini berbanding dengan yang tersiar di majalah Gila-Gila. Mungkin Roslim mahu mengelak daripada sebarang masalah berkaitan pemegangan hak cipta.

Jika di dalam Gila-Gila kita mengenali Zack dengan rambut kerintingnya yang memanjang dan runcing di hadapan, dalam karya ini kita amat jarang sekali dapat melihat rambut beliau kerana dalam kebanyakan ruang, Zac lebih banyak digambarkan memakai topi keledar.

Karya ini hanya menghidangkan kisah Zac melalui kartun lerang tiga panel sahaja. Tiada kartun yang panjang-panjang. Zac jelasnya adalah seorang penghantar barang melalui syarikat e-hailing. Justeru kisah Zac kali ini tidak akan membawa anda ke zaman Zack di Gila-Gila dahulu. Sebaliknya ia adalah kisah-kisah kini.

Melalui watak penghantar barang ini Zac cuba membela nasib mereka melalui kartun seperti kisah ketidakpuasan para penghantara barang terhadap komisyen yang mereka perolehi. Begitu juga dengan persaingan antara dua syarikat penghantaran barang yang utama di negara kita.

Dalam buku ini juga banyak dipaparkan konflik di antara Zac dengan rakan baiknya Bob Mali. Dalam hal ini kebanyakan yang terkena adalah Bob sendiri akibat tindakannya yang tidak selari dengan Zac. Tetapi ada juga kartun melibatkan mereka ini kelihatan hampir sama walaupun berbeza cara persembahannya seperti keberangan Zac terhadap Bob yang cuba meminta duit raya daripada beliau.

Sejujurnya hamba bukanlah peminat tegar Roslim. Tetapi hamba beli karya ini bukan sahaja sebagai koleksi tetapi juga sebagai satu cara untuk menyokong industri kartun tempatan yang semakin malap.

Buku ini hamba beli sendiri dengan pelukisnya secara di atas talian. Hamba turut menerima beberapa keping stiker dan juga autograph daripada Roslim sendiri. Buku ini berharga RM25 dan boleh didapati dengan berkunjung ke FB penulisnya Roslim Jamil.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...