Isnin, 11 Mac 2024

KOMRAD ASI (REJIMEN 10) DALAM DENYUT NIHILISME SEJARAH - Aziz Suriani

 


Jika tidak kerana buku ini hamba tentunya tidak begitu mengetahui tentang kewujudan sebuah pasukan komunis India atau lebih dikenali dengan nama Rejimen Ke - 5. Hayat pasukan ini juga tidaklah lama. Ditubuhkan dalam tahun 1953, ia telah dibubarkan dalam tahun 1957, Hanya empat tahun sahaja nyawa pasukan ini.

Di sinilah kita dihidangkan dengan watak Asi. Dalam sejarah negara nama ini tidak pernah hamba dengar sebelum ini. Namun dalam sejarah komunis, nama ini ini mungkin cuba diangkat kembali sebagai perwira.

Dia cuma seorang budak lelaki yang berumur 10 tahun ketika ayahnya ditangkap oleh British kerana bersekongkol dengan komunis. Asi juga dikatakan turut menjadi buruan British kerana pernah bertindak sebagai penghantar surat mereka. Maka sejak berumur 10 tahun itu sehinggalah berlansungnya Perjanjian damai Hatyai 1989, anak lelaki ini telah menjadi komunis sepanjang umurnya! Semenjak menjadi buruan, budak 10 tahun ini telah masuk ke hutan dan bergerak bersama komunis.

Beliau pernah berada di dalam pasukan India, rejimen Ke -5 di bawah pimpinan Kaatu Perumal. Sehinggalah kemudian beliau berada di bawah Rejimen Ke -10 setelah pasukan berkenaan bubar.

Walaupun buku ini seperti mahu menceritakan tentang Asi dan perjuangan komunis daripada sudut pandangan mata beliau, hamba boleh katakan bahawa kisah Asi ini sedikit sahaja. Sudahlah sedikit, perkara yang sama asyik diulang-ulang oleh penulis sama ada dalam bab yang sama atau bab yang berlainan. Kisah yang berlansung sepanjang riwayat Asi diiringkan bersama dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlansung ketika itu. 

Walaupun membawa tema sejarah, membaca buku ini kita boleh merasa bahawa penulisnya adalah pro ke haluan kiri. Membacanya seolah-olah mahu menonjolkan bahawa komunis itu adalah wira. Kata mereka kerana komunislah British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bahkan Perjanjian Damai Hatyai itupun seolah-olah inisiatif mereka!

Hamba tidak menyukai penjajah British. Tetapi hamba juga tidak menyukai komunis. Komunis lebih banyak membunuh bangsa hamba. Komunis tidak usah berbangga kerana mempunyai Rejimen Ke -!0 yang dikenali dengan komunis Melayu. Jika benar mereka berjuang kerana mahu membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, mereka sepatutnya sudah keluar hutan apabila negara kita merdeka. Namun kerana mereka mahu komunis mereka diiktiraf, dan ia ditolak oleh pemerintah semasa, mereka jadikan itu alasan untuk terus berjuang dari hutan.

Kita dapati sebaik Perjanjian Damai Hatyai dimeterai, telah ada banyak buku puak-puak ini diterbitkan. Hamba mengalu-alukan penerbitan buku ini sebagai sebahagian daripada ilmu sejarah. Namun hamba menolak segala unsur-unsur yang mahu menjadikan mereka ini wira tanah air.

Mereka tetap pembunuh. Noktah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...