Tuesday, August 14, 2012

Pekedai Runcit Itu Adalah Guruku


Lelaki ini bukan siapa-siapa. Beliau bukan selebriti, orang ternama, bangsawan atau ketua kampung di mana-mana jajahan. Beliau hanya seorang pekedai runcit yang berniaga di sebuah kedai kecil yang diubah suai daripada sebuah garaj kereta. Kedainya terletak di simpang berhampiran Zankat Jamal Eddine al Afghani. Namun lelaki biasa ini besar jasanya kepada hamba. Hamba anggap beliau antara guru bahasa Arab hamba secara tidak lansung. Nama beliau Muhammad dan hamba memanggilnya sidi Muhammad.

Di antara semua sahabat hamba yang sama mengaji bahasa Arab dulu, hamba menganggap diri hambalah yang paling kodok sekali penguasaan bahasanya. Tatkala orang lain sudah mula laju bertutur, hamba masih lagi tergagap-gagap dengan nahu yang berterabur (sampai sekarang pun nahu hamba masih berterabur). Di kedai beliau yang sempit inilah hamba selalu melepak sambil berbual. Kedai orang Maghribi biasanya tidak membenarkan pelanggan masuk ke dalam. Hadapan kedai telahpun dihalang dengan meja kaunter. Pembeli hanya boleh meminta barang yang dihajati dan pekedai akan mengambilnya. Untuk masuk ke dalam kedai ada satu pintu kecil di bawah sebelah kanan kaunter. Maknanya seseorang terpaksa menunduk dan menyusup di bawah kaunter untuk masuk ke kedai. Di belakang pintu itulah hamba biasa duduk.

Biasanya bila dah berada di dalam kedai, hamba akan minta beliau membuatkan hamba roti kumirah yang diisi dengan beberapa lapisan kosher. Kalau tidak pun hamba akan melahap merendina atau coklat gandour sambil minum roibi ataupun koka. Sambil-sambil itulah hamba akan berbual dengan beliau sambil meneliti penggunaan gaya bahasanya. Tidaklah hamba menjadi fasih dengan cara itu, namun sekurang-kurangnya hamba memaksa diri untuk bertutur.

Sidi Muhammad seorang yang multazim (taat pada ugama mengikut istilah orang tempatan). Kadang-kadang beliau bicara tentang agama dengan hamba. Beliau juga akan solat di kaki lima kedai sempitnya apabila tiba waktunya. Pernah sekali seorang pemuda ingin membeli garo (rokok) di kedai beliau. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa menghisap rokok adalah haram dan beliau tidak menjual barang tersebut. Benarlah beliau mungkin tidak berada pada tahap ulama’, tapi kesungguhannya kadangkala membuat hamba malu pada diri sendiri.

Di kedai ini tempat kami membeli beras. Orang Arab tak makan nasi, jadi stok beras memang tidak banyak di kedai beliau. Mat-Mat Malaya pula biasanya akan membeli sekarung beras yang beratnya 25 kg. Maka Sidi Muhammadlah yang akan mengambil beras dari gudang dan mengangkut dengan motor kayuhnya.

Di situ adalah tempat lepak pakcik Labas (Apa nama orang tua ini tidaklah hamba tahu. Tapi budak Melayulah yang menggelarnya pakcik Labas kerana kekerapannya bertanya khabar) dan seorang tua yang menjadi jaga di kawasan Jamal Eddine (Orang tua ini akan meronda waktu malam. Bagi menahan kesejukan, selain baju sejuknya, orang tua ini kadangkala akan turut mengikat kotak di badannya. Satu rumah di cas 10 dirham sahaja sebulan bersamaan RM3). Kini selepas  15 tahun hamba tidak pasti apakah kedua mereka masih ada lagi di dunia ini memandangkan ketika hamba tinggalkan Kenitra dahulu mereka telahpun tua benar.

Hamba berdoa agar hamba dapat menjejakkan kaki ke bumi Kenitra lagi.



Kredit buat saudara Chipto yang mengambil gambar Sidi Muhammad khas untuk hamba.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...