Monday, December 31, 2012

SEBUAH KARTUN LAMA

Ketika hamba mengemas bilik peralatan hamba yang sentiasa bersepah itu, hamba terjumpa dua buah Buletin PPTGWPKL, sebuah penerbitan sewaktu hamba bertugas di Pejabat Pengarah Tanah & Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lebih 10 tahun yang lalu. Terhentilah hamba seketika membelek-belek majalah tersebut. Maka terpandanglah hamba satu kartun yang hamba lukiskan untuk majalah tersebut yang mana hamba sendiri sudah hampir terlupa akan kewujudannya.

Hamba amat sukakakan lukisan kartun, malah hamba boleh katakan hamba membesar dengan majalah-majalah sebegitu. Melihat akan bapa saudara hamba yang suka dan pandai melukis, maka hamba cuba-cuba untuk mengikut jejak hobi beliau tersebut. Hamba semakin seronok dengan hobi melukis kartun tersebut apabila berjumpa sahabat-sahabat sealiran sewaktu di sekolah menengah. Tambah memberansangkan apabila hamba berpeluang melawat pejabat majalah Gila-Gila, sebuah penerbitan humor yang popular di zaman tersebut. Sempat hamba melahirkan sebuah komik panjang sewaktu di tingkatan 3 untuk majalah kenang-kenangan kelas hamba.

Namun hobi ini semakin malap apabila hamba berada di peringkat universiti. Kerana hamba telah mula meninggalkan pen lukisan, maka lama kelamaan skill itu semakin hilang. Andainya hari ini hamba diminta melukis gambar seekor kucing, mungkin kucing itu akan berupa kereta kebal. Namun walaupun hobi itu hamba tinggalkan, hamba masih lagi membaca komik-komik yang sewaktu dengannya. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang kartunis, hamba menyokong industri komik tempatan!!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...