Friday, April 12, 2013

BERTEMU KEMBALI SI JELITA ANNABAH


Sewaktu hamba belajar Bahasa Arab pada penghujung tahun 90an dahulu, hamba suka menonton rancangan kartun atau animasi dalam bahasa tersebut. Negara Arab ketika itu memang tiada yang mengeluarkan produk animasi mereka sendiri. Kebanyakannya adalah keluaran barat dan Jepun yang dialih suara atau mudablaj ke dalam ke dalam bahasa Arab. Belajar melalui animasi amat sesuai dengan hamba memandangkan dialog yang digunakan biasanya adalah merupakan dialog kita seharian yang sememangnya amat berguna kepada hamba dalam perbualan harian dengan rakan-rakan berbangsa Arab. Ia berbeza dengan bahasa yang digunakan di dalam kitab memandangkan gaya bahasanya lebih formal. Banyak animasi yang hamba tonton sewaktu zaman pengajian dan ada beberapa yang melekat di minda sehingga ke hari ini. Biasanya animasi yang ditonton itu ditayangkan pada waktu tengahari sebaik sahaja sampai ke rumah dari universiti. Ia ditayangkan di saluran 2M yang merupakan saluran berbayar sebelum penghujung 90an dahulu. Ia hanya menyiarkan rancangan percuma pada satu jam pertama permulaan siaran sahaja sebelum 'memblurkan' betul ke bahasa hamba ni) siaran sehingga waktu penamat. Pada waktu percuma inilah siaran kartun untuk kanak-kanak, juga untuk kanak-kanak dewasa seperti hamba, dikeudarakan.

Maka setelah berpuluh tahun semua animasi itu berlalu, maka baru-baru ini hamba tidak sangka dapat bertemu lagi animasi yang pernah ditonton dahulu. Terima kasih kepada internet atau lebih tepat lagi You Tube. Amat menerujakan dapat bertemu semula dengan hasna' Annabah, seorang puteri jelita dalam animasi bertajuk Rehlah Annabah atau tajuk asal dalam bahasa Jepangnya Taimu Toraburu Tondekeman. Ia adalah sebuah animasi berkisar mengenai pengembaraan masa. Alat masa atau time machinenya pula berbentuk seperti sebuah cerek yang boleh berkata-kata. Apa yang penting bagi hamba adalah perbualan atau dialog di dalam animasi ini amat membantu hamba di dalam perbualan dengan bangsa Arab sendiri. Hamba boleh mengenal ayat yang sesuai digunakan ketika marah, gembira, sedih dan pelbagai suasana lagi. Walaupaun janggal sebenarnya apabila menggunakan bahasa Arab yang standard bila berbual dengan Arab yang lebih kerap menggunakan dialek mereka sendiri (dalam konteks hamba adalah bahasa Darijah yang digunakan oleh orang Maghribi), namun sekurang-kurangnya ia membantu dalam menghidupkan perbualan harian.

Selain Rehlah Annabah ada dua lagi animasi yang masih melekat dalam ingatan hamba iaitu animasi Kapten Majid (Kapten Tsubasa) dan Namir Moqanna'. Kapten Majid adalah animasi tentang perlawanan bolasepak manakala Namir Muqanna' mengenai perlawanan gusti. Dua animasi sukan ini amat membantu dalam menambah perbendaharaan kata mengenai bidang sukan, istilah yang digunakan dalam perlawanan serta gaya bahasa yang sesuai apabila mengulas sesuatu perlawanan.

Mungkin ada yang memandang lekeh perbuatan mempelajari bahasa berpandukan animasi yang biasanya untuk kanak-kanak, namun hamba berpandangan ia adalah satu jalan yang amat berkesan terutamanya buat yang malu nak bertutur secara lansung dengan bangsa Arab. Sekurang-kurangnya dengan menonton animasi sebegini, seseorang akan dapat mengetahui penggunaan perkataan atau jalan bahasa yang betul. Cara hamba mungkin tak sama dengan cara orang lain belajar tapi tak salah kalau anda nak cuba!!



4 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...