Saturday, April 27, 2013

ULASAN BUKU : OPS! ZULAIKHA - Hasrudi Jawawi



Hamba membeli buku ini kerana tajuknya, tajuknya seperti menyatakan kisah yang akan dipaparkan adalah berbau thriller yang penuh unsur suspen. Selain itu tulisan Hasrudi Jawawi telah pernah hamba baca sebelum ini. Lantaran itu RM hamba melayang syahdu bertukar dengan buku ini.
Namun ia bukanlah satu thriller sepantas debaran tulisan Khairul Nizam Khairani apatah lagi Ramlee Awang Mursyid. Tajuk dan gambar kulit sahaja yang memberikan gambaran sedemikian, jalan ceritanya lebih kepada ragam hidup seharian. Biasa-biasa pun ceritanya, Hasrudi Jawawi mampu menulis lebih 700 muka surat!
Membaca novel ini hamba rasa seperti menonton drama-drama tv di waktu petang.Malah penulis sendiri mengakui pada helaian terakhir novelnya bahawa televisyen mempengaruhinya di dalam penghasilan novel ini. Walaupun ia kurang unsur thriller dan suspen seperti yang hamba harapkan ia masih mampu untuk menghiburkan hamba sepanjang pembacaannya. Walaupun hati hamba tidak bertanya-tanya apa yang akan berlaku pada helaian-helaian seterusnya, penulis masih mampu mengikat hamba untuk membaca novelnya sehingga ke akhir tanpa perlu hamba mencampakkannya ke bawah meja.
Novel ini mengisahkan seorang anggota polis bernama Zulaikha dan rakan setugasnya bernama Kamal yang ditugaskan menyiasat mengenai satu kes berkaitan dadah di sebuah syarikat pembinaan. Siasatan itu memerlukan mereka menyamar dan menjadi sebahagian keluarga syarikat tersebut. Dalam penyiasatan itu pula Zulaikha tersepit dengan dua watak lelaki yang terpikat dengannya, manakala Kamal juga menyimpan perasaan dalam diam. Sebenarnya rasa suspen telah mati pada awal novel lagi apabila pembaca telah didedahkan bahawa watak Qadir merupakan seorang pengedar dadah serta mempunyai kaitan dengan penangkapan dua penjenayah serta kemalangan seorang pengedar lain sebelum itu. Jadi membaca kisah yang telah diketahui culprit di sebaliknya membuatkan pembacaan telah kurang sedikit rasa seronoknya. Cubaan penulis memberi hint di akhir novel bahawa watak Darwish yang sepanjang novel kelihatan seperti seorang yang naïf dan tidak berwawasan sebenarnya merupakan tokan besar dadah dalam cerita ini tidakpun mendatangkan apa-apa rasa kepada hamba.
Bagi sesiapa yang menyukai happy ending dalam sesuatu cerita maka novel ini bukanlah untuk anda, lebih-lebih lagi pengakhiran dukanya adalah kematian. Apapun percubaan Hasrudi boleh diberi pujian. Semoga dalam novel yang akan datang di samping berusaha untuk menebalkan novelnya cuba fikirkan sesuatu yang boleh menyebabkan pembaca melekat pada pembacaan serta sentiasa tertanya-tanya apa yang akan berlaku seterusnya umpama seorang pelawak yang memerlukan punch line untuk kejayaan lawaknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...