Ahad, 13 Julai 2014

MATA TAK BERHIJAB SIRI 3; TANGISAN & JERITAN - Zulkifli Ahmad Idrus



Ini merupakan siri ketiga daripada siri Mata Tak Berhijab. Ulasan hamba terhadap Mata Tak Berhijab siri 1 serta Mata Tak Berhijab Siri 2 merupakan antara entry yang mendapat hit yang tertinggi di blog ini. Nampaknya orang kita amat suka dengan kisah-kisah seram dan misteri. Walau apapun hamba percaya penulisan buku ini bukanlah untuk menonjolkan elemen seram mahupun menakutkan orang. Adapun ia tidak lebih daripada perkongsian penulis yang diberikan kebolehan oleh Allah untuk melihat sesuatu yang di luar jangkauan pengelihatan insan biasa.

Hamba berpuas hati dengan persembahan penulis dalam buku kali ini. Tulisan beliau adalah lebih tersusun serta lebih santai berbanding dengan dua siri yang sebelumnya. Terlihat rasa rendah diri penulis yang tidak melihat kebolehannya itu sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan. Penulis juga berterus terang bahawa beliau hanya mempunyai kelebihan untuk melihat tidak untuk mengubat. Namun hamba percaya penulis sedikit sebanyak ada juga belajar serba sedikit amalan untuk berhadapan dengan makhluk halus ini berdasarkan beberapa cerita yang memerlukan beliau membaca ayat-ayat yang dipelajari dalam ilmu persilatan. Begitu juga apabila beliau ternampak makhluk yang mempunyai wajah yang hodoh serta menakutkan, penulis tidak berselindung dan berterus terang bahawa beliau juga sedikit takut apabila berhadapan dengan mereka, tidak seperti kisah hantu yang sering kita baca iaitu apabila orang berkenaan mempunyai ilmu tertentu beliau begitu berani sekali.

Sesuatu yang menarik perhatian ialah apabila penulis memulakan buku ini dengan kisah di tanah perkuburan. Tidak seperti pemikiran ghalib masyarakat yang menyangka tanah perkuburan adalah tempat makhluk yang berwajah mengerikan serta hodoh, penulis pula mempunyai pengalaman yang lebih menarik apabila tidak pernah bertemu makhluk sedemikian, sebaliknya melihat wajah-wajah manusia yang tenang dengan memakai jubah. Hamba berpandangan apa yang dilihat oleh penulis itu bukanlah makhluk yang mendiami tanah perkuburan bahkan mereka juga berziarah seperti kita. Apabila kita membaca surah al-Jin kita ketahui bahawa Nabi telahpun berdakwah kepada golongan jin. Justeru ada di kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan ada yang tidak. Dan golongan jin ini tentunya makhluk yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar.

Kisah Ulat Mayat & Lendir Sihir agak panjang berbanding kisah-kisah lain. Ia sebuah lagi kisah yang hamba suka mengenai pengalaman penulis sewaktu bertugas di Ipoh melihat seorang pemuda yang disihir. Dapat hamba ambil iktibar daripada kisah ini bahawa kita dalam pergaulan seharian hendaklah sentiasa beradab dan elakkan perlakuan yang menyakiti hati orang lain. Ini kerana manusia itu tidak sama. Ada yang dapat menerima perlakuan kita dan ada yang tidak. Dan lebih buruk lagi apabila yang tidak dapat menerima berkenaan cuba menghancurkan kita melalui cara yang amat keji sekali. Pemuda yang disihir berkenaan apabila telah sembuh cuba untuk mengembalikan stamina diri dengan bermain bola. Namun beliau akhirnya rebah dan setelah diselidiki di hospital adalah didapati bahawa keupayaan jantungnya adalah tidak ubah seperti oarng yang berumur 80an. Jelas pada hamba iaitu apabila makhluk jahat ini mendiami badan kita, ia bukan sahaja membuatkan kita meracau bahkan turut merosakkan organ-organ badan. Dari itu berhati-hati dalam pergaulan dan perbanyakkan amalan bagi mengelakkan gangguan syaitan.

Ada lebih kurang 19 buah kisah yang boleh kita ambil iktibar dalam buku ini. Hamba tidak tahu apakah akan ada lagi sambungan buku ini. Jikalau ada hamba harap buatlah tebal sedikit sehingga 300 mukasurat. Yang sekarang ini nipis sangat, sekejap sahaja masa untuk menghabiskannya.

Bulan ini bulan puasa, apakah penulis ada melihat apa-apa?


4 ulasan:

  1. salam

    boleh saya bertanya. bagaimana saya hendak cari buku mata tak berhijab 1 ke 3 di singapura.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tidak tahu sama ada buku ini ada di pasarkan di Singapura. Namun seeloknya rujuk dengan syarikat Utusan Malaysia. Cuba pergi ke facebook mereka di sini https://www.facebook.com/pages/MASTIKA/148747191113

      Padam
  2. Kepada yang ingin mencari buku tersebut, bolehlah pm fb penulis : zulkifli ahmad

    BalasPadam

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...