Friday, February 27, 2015

RASHAD KHALIFA RASUL AGAMA KOD 19 - Mustaffa Suhaimi



Ini merupakan sebuah buku lama era akhir 80an. Pada pertengahan 80an dahulu di Malaysia tiba-tiba muncul satu fahaman dari luar mengenai keistimewaan angka 19 yang dibawa oleh Rashad Khalifa. Angka 19 yang diwar-warkan sebagai satu keajaiban Al-Quran pada awalnya mendapat respon yang baik daripada sebilangan umat Islam, namun sedikit demi sedikit akhirnya fahaman ini dilihat lebih kepada dakyah yang cuba menyesatkan umat Islam. Tidak sedikit umat Islam di Malaysia yang terpengaruh dengan fahaman ini, bahkan terdapat di antara mereka merupakan cendekiawan yang cukup dikenali. Bahkan golongan pengikut fahaman ini di Malaysia pernah melahirkan Al-Quran mereka sendiri yang diberi nama 'Bacaan' yang hanya mengandungi teks dalam bahasa Melayu. Golongan inilah yang dianggap sebagai pengikut anti hadith di Malaysia.

Fahaman ini menganggap nombor 19 sebagai satu nombor ajaib dan mendakwa banyak perhitungan huruf, ayat dan surah di dalam Al-Quran yang jumlahnya 19 atau boleh dibahagi dengan 19 tepat. Bahkan mereka mendakwa melalui kod 19 ini kandungan Al-Quran dapat dibuktikan datang dari Allah dan bukannya ciptaan manusia. Golongan ini menolak hadith secara total dan menganggap ia adalah ciptaan para ulama' Islam selepas Rasulullah . Pengasasnya Rashad Khalifa juga akhirnya mengishtiharkan dirinya sebagai rasul. Dakwanya Al-Quran hanya menyatakan bahawa Nabi Muhammad hanya merupakan Nabi yang terakhir dan bukan rasul yang terakhir. Justeru akan ada lagi rasul-rasul selepas itu. 



Walaupun Rashad Khalifa mendakwa kod 19 itu adalah perkara yang diilhamkan kepada beliau, sebenarnya penggunaan nombor 19 ini juga menjadi pegangan kepada fahaman sesat yang lain seperti Bahai dan ajaran Elijah Muhammad. Pengikut Bahai mengagungkan nombor ini kerana pengasasnya dilahirkan dalam tahun 1819 (1+8+1+9=19). Taqwim haribulan nahai mempunyai 19 bulan, bulan mereka mempunyai 19 hari dan angka-angka 19 di tulis di tempat-tempat ibadat mereka, di dinding, rumah atau perabot.

Buku ini datang sebagai satu jawapan kepada hujah-hujah Rashad Khalifa. Walaupun pengasasnya telah tiada kerana ditembak mati pada Januari 1990 (selepas buku ini dikeluarkan), tetapi hamba percaya saki baki pengikutnya masih ada, atau mungkin juga terdapat fahaman lain yang membawa semangat yang sama. Percayalah walaupun ajaran sebegini amat jelas kesesatannya, namun masih berjaya untuk mendapatkan sejumlah besar pengikut. Jagalah keluarga kita wahai kaum Muslimin, teguhkan aqidah kita, dalami ilmu pergilah bersila di hadapan tuan guru.

2 comments:

  1. https://www.youtube.com/watch?v=Ma8b5abITcg

    ReplyDelete
  2. Http://godprovenas1.com

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...