Tuesday, March 8, 2016

BERBONDONG-BONDONG KE BROGA



Jikalau ada aktiviti yang hendak diletakkan dalam senarai yang terakhir, mendaki tanah tinggi mungkin menjadi pilihan. Namun ajakan seorang teman sekolah yang begitu bersungguh-sungguh mengajak - menelefon sendiri dan kerap mengingatkan di kumpulan Whatapps - membuatkan hamba memaksa diri sendiri untuk menyahut seruan mendaki Bukit Broga kira-kira dua minggu yang lalu. Memang agak berat untuk melakukan aktiviti ini memandnagkan stamina hamba tidaklah segagah mana. Lagipun kedudukan kediaman di klang yang agak jauh dari Semenyih membuatkan hamba sedikit malas kerana perlu bergegas di awal pagi.



Kali terakhir mendaki tempat tinggi adalah pada tahun 2007 iaitu Gunung Gwan Ak di Korea Selatan. Maknanya sudah hampir 9 tahun hamba tidak mendaki sebarang bukit atau gunung. Jadi sudah pastilah tidak dapat tidak hamba akan mencungap kepenatan nanti walaupun Bukit Broga hanyalah berketinggian sederhana berbanding dengan gunung yang lebih tinggi. Jadi hamba dan anak perempuan yang berumur 8 tahun, sebelum azan Subuh lagi telah meninggalkan rumah untuk ke destinasi. Solat Subuh ditunaikan di kawasan RnR Dengkil - mujurlah waktu Subuh ketika itu lewat masuknya jadi tidaklah hamba risau akan terlajak waktu.



Walaupun ini kali pertama hamba ke sini, hamba telah sedia maklum bahawa pada hari Ahad tentunya akan ramai pengunjung yang akan datang beriadah. Jangkaan hamba tepat apabila kawasan letak kereta telahpun penuh dan hamba terpaksa meletakkan kenderaan sedikit jauh dari kawasan masuk.



Bukit Broga pada hari Ahad bolehlah hamba ibaratkan umpama sebuah lebuhraya yang sesak dengan kenderaan di kedua-dua haluan. Begitu ramai yang mendaki sehinggakan kadangkala kita terpaksa berhenti seketika bagi memberikan laluan kepada orang di hadapan atau kepada yang mahu turun. Syukur saja hari berkenaan tidak hujan kerana melihatkan laluannya hamba pasti ia akan menjadi terlalu licin dan merbahaya sekiranya hujan turun denga lebatnya.



Kelakuan manusia ketika mendaki ada pelbagai. Ada yang laju dan ada yang perlahan. Mana-mana yang berstamina tinggi, mereka akan berlari-lari anak tertamanya ketika menurun. Tetapi perbuatan berlari ketika menurun ini sebenarnya boleh membahayakan keselamatan orang lain kalaupun tidak diri sendiri. Lebih-lebih lagi di kalangan pendaki ada yang terdiri daripada kanak-kanak kecil yang lebih mudah terjatuh sekiranya berlanggar dengan mereka yang mahu menunjuk-nunjuk akan kecergasan diri mereka ini. Pada hamba mereka boleh saja berbuat demikian, tetapi lakukanlah pada hari yang tidak ramai pengunjung.



Trek pendakian boleh hamba katakan bersih, cuma ia sedikit tercemar dengan asap rokok dan vape daripada segelintir pengunjung yang kurang akal fikirannya. Bukankah tujuan kita bereakreasi ini kerana mahu mendapatkan tubuh yang sihat. Jika ingin sakit sendiripun tidak perlulah melibatkan pendaki lain. Lagipun putung rokok yang tidak dipadamkan sepenuhnya boleh pula mencetuskan kebakaran hutan.



Walaupun penat tetapi Alhamdulillah merasa juga ke destinasi yang menjadi tumpuan ramai ini. Yang paling best sekali ialah sahabat yang beria-ria mengajak mendaki ini tak naik lansung, bahkan asyik 'mendaki' nasi lemak bungkus di kaki bukit....pehhhhh...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...