Sabtu, 10 Jun 2023

SIGNATURE JALANAN - TEME ABDULLAH


 

Lama sudah rasanya tidak membaca kisah yang bertemakan budak-budak sekolah dalam sebuah buku. Kalau adapun cuma kisah-kisah ringkas berkenaan budak-budak SBP di laman FB. Buku ini adalah pilihan anak sulung hamba. Memandangkan hamba telah membaca trilogi Kapal Terakhir Di Dunia, hamba percaya naskhah yang ini tentunya menarik juga.

Kisah tulisan Teme ini lebih fokus kepada beberapa orang watak sahaja dengan latar masanya adalah sewaktu berada di tingkatan lima, beberapa bulan sebelum SPM bermula. Ben, seorang yang teramat aktif dalam berpersatuan dan kelab, gigih untuk mencapai pingat pengakap di-Raja seminggu sebelum peperiksaan percubaan bermula. Tidak sanggup menghampakan guru apabila diminta untuk membuat kerja -kerja mereka carta organisasi berpuluh-puluh persatuan dan mereka poster dan bunting walaupun terpaksa melupakan perancangan ulangkaji yang telah dibuat. Zack, pelajar sains agama, ketua BADAR, bersemangat dengan agama namun mempunyai tindakan yang kadangkala melukakan perasaan rakan-rakannya. Joe, mempunyai keyakinan yang rendah dalam beberapa mata pelajaran khususnya matematk tambahan. Namun Joe amat mahir dalam permainan bola keranjang. Alif pula dilihat sebagai pelajar yang bermasalah, sering tidak sehaluan dengan Zack serta menunjukkan minat yang rendah terhadap pelajaran. Terdapat juga beberapa watak kecil namun hamba melihatnya tetap memberikan sumbangan besar dalam penceritaan seperti watak Oki.

Kesemua mereka mempunyai konflik yang tersendiri terutamanya yang berkaitan dengan pelajaran serta perhubungan antara rakan. Apabila membacanya hamba terasa seperti dibawa kembali ke zaman hamba bersekolah dan mengambil SPM dahulu (namun melalui tulisan ini hamba tahu Teme jauh lebih muda daripada hamba). Satu yang menarik perhatian hamba, kisah mereka ini lansung tidak berkaitan dengan cinta, hubungan antara jantina yang berbeza, bahkan watak wanita hampir tidak wujud. Fokus hanya kepada watak pelajar lelaki.

Dalam persediaan menghadapi peperiksaan, hamba kagum dengan beberapa watak yang tidak mementingkan diri sendiri. Mereka bukan hanya mahu kejayaan menjadi milik mereka tetapi turut juga kepada kawan-kawan yang lain. Dalam hal ini watak Oki dan Ben dilihat sebagai figura yang bersemangat dalam pelajaran serta mengajar rakan-rakan mereka yang lemah dalam pelajaran. Ada kepuasan apabila melihat rakan mereka mempunyai peningkatan dalam pelajaran serta markah peperiksaan.

Perselisihan antara rakan adalah sesuatu yang lumrah, namun semua konflik ini diselesaikan dengan baik, secara orang dewasa tanpa perlu tercetusnya sebarang pergaduhan. Watak guru-guru walaupun diceritakan secara umum digambarkan sanggup berpenat lelah demi kejayaan anak murid mereka. Pendekatan pengetua di dalam menyelesaikan masalah Alif juga boleh kita jadikan sebagai contoh ikutan.

Membaca keseluruhan novel ini hamba seperti dapat meneka watak mana yang berkemungkinan mewakili diri penulisnya!!


Kalau anda boleh layan Signature Jalanan,
anda juga sebenarnya boleh melayani KENITRA!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BUJAL - EDISI KHAS ANNIVERSARI 51 TAHUN

  Karakter seorang budak lelaki berambut tebal, berjerawat dan selalu mengenakan t'shirt belang ini adalah satu watak yang amat dikenali...