Monday, July 8, 2013

ULASAN BUKU : HUD - A. Samad Ismail



Buku di tangan hamba ini adalah ulang cetak dari keluaran asal tahun 1967. Ia diterbitkan semula oleh Creative Enterprise pada tahun 1995. Barangkali tiada lagi cetakan baru yang dibuat ketika ini. Novel yang berharga asal RM8.90 hamba beli dalam keadaan baru (masih berbalut plastik lagi) dengan hanya RM2.00 atau RM5.00 sahaja kalau tak silap beberapa tahun yang lalu. Melalui carian di internet ada yang menawarkan untuk menjual novel ini dengan harga RM20.00. Novel ini kini telah bertaraf klasik.

Hud mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Yui Ma yang pulang semula ke tanah air setelah 14 tahun berada di London. Kepulangannya disertai oleh Salleh, teman sebiliknya di London. Di tanah air Yui Ma mempunyai seorang anak perempuan bernama Mei Li yang tidak pernah ditemuinya semenjak meningglkan tanah air dahulu.

Kisah di dalam novel ini hanya berlansung untuk beberapa hari sahaja. Walaupun baru sahaja pulang ke tanah air, kepulangan beliau tersebut telah dapat dihidu dan ditunggu oleh beberapa pihak. Antaranya ialah pihak polis dan kongsi gelap. Semuanya ingin tahu tentang satu perkara sahaja dari Yui Ma - wang.

Siapakah Yui Ma dan kenapakah kepulangannya itu amat dinantikan oleh ramai pihak. Itu anda perlu selami sendiri lewat pembacaan novel ini. Hamba tidak mahu spoil mood anda.

Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail merupakan tokoh wartawan negara yang juga dikenali dengan gerakan kiri politiknya. Latar belakangnya sebagai wartawan membuatkan penulisan dalam novel ini terlalu mudah difahami tanpa bahasa yang berbunga-bunga. Latar belakang novel ini pada tahun 60an menyebabkan para pembaca perlu membawa minda ke era sana. Keterangan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dalam novel ini mungkin tidak dapat dihayati oleh generasi baru yang lebih mengenali KLIA dan LCCT. Juga keadaan Puchong yang dikira hulu serta masih banyak hutan dan kebun getah.

Cuma hamba agak musykil dengan tajuk novel ini. Hud merupakan watak seorang pegawai polis dalam novel ini. Namun saya tidak melihat watak beliau sebagai seorang yang dominan, menguasai cerita berbanding Yui Ma yang menjadi pokok penceritaan novel ini. Tiada juga aksi-aksi polis yang diceritakan secara terperinci dalam novel ini. Hud lebih banyak digambarkan gemar menghisap paip. Hampir pasti ada cerita beliau mengisi paipnya dengan tembakau setiap kali watak ini muncul.

Walaupun kulit novelnya seolah membayangkan sebuah penceritaan yang penuh aksi namun ianya tidak berlaku. Tidak ada penceritaan terperinci bagaimana seseorang dibelasah samseng, pertarungan, polis memberkas penjenayah dengan adegan tembak menembak, kejar mengejar atau pergaduhan. Itulah satu kurangnya novel ini yang saya rasa sekiranya diceritakan dengan baik mampu membuatkan pembacaan lebih menarik lagi. Namun itu tidak menghairankan. Pada zaman itu belum ada lagi internet sebagai rujukan atau filem-filem yang memaparkan aksi perlawanan yang hebat. Paling mantop pun barangkali adalah siri filem James Bond.

Namun adalah tidak adil untuk mengkritik novel ini keterlaluan memandangkan penceritaannya dibuat sesuai dengan kegemaran masyarakat pada zaman itu. Hamba melihat novel Pak Samad ini mungkin lari dari kebiasaan para penulis novel pada zaman tersebut.

Novel ini hasil tangan seorang penulis besar dan telah bertaraf klasik. Ia adalah antara khazanah terbaik hamba.



Kulit novel asal tahun 1967



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...