Ahad, 10 November 2013

CHENG HO LAKSAMANA MUSLIM DARI NEGARA TEMBOK BESAR - Wiwid Prasetyo


Hamba membeli buku ini kerana merasakan pengetahuan hamba mengenai Cheng Ho begitu sedikit sekali. Jadi harapan hamba dengan membacanya akan bertambahlah maklumat baru mengenai pelayar hebat ini. Pada kulit hadapannya tercatat penerangan bahawa buku ini merupakan sebuah novel sejarah. Tetapi membacanya dari muka ke muka hamba lansung tidak merasakan bahawa hamba sedang membaca sebuah novel, bahkan umpama membaca sebuah buku biasa sahaja. Pembacaan hamba terasa tawar, perlahan serta membosankan.

Benarkah penulis mahu bercerita tentang Cheng Ho? Walaupun mempunyai ketebalan melebihi 600 muka surat, kisah mengenai Cheng Ho terasa seperti disentuh ala kadar sahaja. Hanya pada 100 muka surat yang terakhir barulah merasa sedikit bahawa pembacaan tertumpu kepada watak tokoh tersebut. Kadang-kadang hamba merasakan bahawa hamba sebenarnya sedang membaca buku sejarah negara China dan bukannya kisah Cheng Ho itu sendiri.

Buku ini sebenarnya merupakan versi yang diambil daripada versi asal yang berbahasa Indonesia. Di sana buku ini menggunakan tajuk Cheng Ho!!! Sang Laksamana Muslim Dari Negeri Seberang. Terdapat banyak pengkisahan yang hamba rasa bercanggah daripada fakta atau hakikat asal peristiwa berkenaan. Antaranya ialah kisah para sahabat yang pulang dari berhijrah kali kedua di Habshah. Dikatakan kepulangan mereka adalah kerana keadaan di Habshah ketika itu adalah lebih sukar serta ganas berbanding keadaan di Mekah. Kerana tidak tahan dengan keadaan itu maka para sahabat memilih untuk pulang. Perkara ini belum pernah hamba temui dalam mana-mana buku sejarah.

Perkara kedua adalah pelayaran pulang itu sendiri yang diketuai oleh Jaafar bin Abi Talib. Kapal yang bertolak dari Teluk Aden melintasi Laut Merah sudah belayar melebihi 10 hari dan masih belum sampai. Pada hari yang ke 11 kapal mereka dilanda badai sehingga tersasar ke Laut China Selatan. Allahu Akbar!! cubalah anda lihat di mana Laut Merah dan di mana Laut China Selatan. Dalam satu hari badai kapal mereka telah sampai ke sana. Ini bermakna kapal para sahabat ini bukan sahaja telah melalui Lautan Hindi bahkan telah melintas Selat Melaka juga, melengkok di Temasik dan membelok masuk ke Laut China Selatan. Alangkan setelah 10 hari masih belum tiba ke Tanah Arab, inikan pula dalam masa satu malam boleh melalui Selat Melaka dan terus ke Laut China Selatan. Kapal di zaman moden inipun tidak boleh belayar dalam masa sedemikian.

Di Laut China Selatan mereka bertemu dengan Pu Shou Keng yang dikatakan berketurunan Arab dan beragama Islam. Islam dikatakan telah diamalkan dan subur di China. Kita amat mengetahui bahawa dalam tempoh sahabat berhijrah ke Habshah itu adalah kerana Islam masih lemah lagi. Namun kisah ini seolah memperlihatkan Islam telah begitu diterima di China dan telah ada golongan Arab yang berkelana ke sana sambil mengembangkan Islam. Dikatakan juga Jaafar meninggalkan Saad bin Abi Waqqas untuk meneruskan kerja dakwah di China. Sejarah memang ada mencatatkan bahawa Saad antara sahabat yang merintis misi daawah ke China, tetapi hamba belum pernah dengar bahawa ia adalah atas arahan Jaafar.

Ada dicatatkan perbuatan Kaisar Shen Tsung yang menulis syair di atas lembaran papyrus. Ini juga memusykilkan hamba. Orang China memang menemukan kertas tapi rasanya bukan dari pokok ini kerana ianya hanya terdapat di Mesir.

Dan sekiranya anda meneliti perjalanan hidup Cheng Ho dalam buku ini, akan didapati seolah beliau hidup ratusan tahun. Penulis seolah menggambarkan bahawa beliau telahpun hidup pada zaman Dinasti Sung sehinggalah ia ditewaskan oleh orang-orang Monggol yang menubuhkan Dinasti Yuan. Cheng Ho dan rakan-rakannya juga telah ditangkap oleh Kublai Khan dan dijadikan sebahagian daripada tentera dinasti tersebut. Dikatakan Cheng Ho dan sahabatnya telah dikasi atas arahan Kublai Khan. Sehinggalah Dinasti Yuan berakhir dan Dinasti Ming bermula di mana rakan Cheng Ho sendiri, Zhu Yuanzhang menjadi kaisar pertamanya. Dan demikianlah beliau berkhidmat sehingga Kaisar Ming yang ketiga - Zhu Di di mana pelayaran terhebatnya bermula pada era kaisar ini.

Penceritaan ini amat menghairankan. Cuba lihat fakta ini. Dinasti Yuan adalah antara 1271-1368. Dinasti Ming pula bermula 1368-1644. Hayat Cheng Ho pula adalah 1371-1433. Adalah mustahil Cheng Ho berada pada zaman pemerintahan Kublai Khan, berperang untuk beliau dalam beberapa peperangan termasuk usaha untuk menakluk Jepun dan Indo China. Bahkan pada permulaan Dinasti Ming Cheng Ho hanya berusia lebih kurang 3 tahun. Jadi bagaimana mungkin Kaisar Ming yang pertama adalah sahabat beliau. Jika beliau telah hidup lama semasa Dinasti Yuan, pastilah semasa memulakan pelayarannya Cheng Ho telah begitu lanjut umurnya sedangkan penulis buku ini sendiri mencatatkan bahawa dalam pelayaran keempat usianya baru 43 tahun!

Walaupun kisah Cheng Ho cuba ditulis dalam bentuk novel, ini tidak bermakna bahawa penulis boleh menerawang ke mana-mana tanpa berpaut pada bumi yang nyata. Penceritaan tidak berdasarkan fakta sebenar ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai sekaligus menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah akan kita. Kerana kebosanan untuk menghabiskan pembacaan buku ini, hamba mengambil masa lebih daripada 3 minggu untuk menyudahkannya. Bahkan hamba kerapkali terlelap sewaktu membacanya (anda boleh bayangkan sendiri tahap kebosanan membaca buku ini).

Hamba tidak mengesyorkan buku ini berada dalam koleksi anda. Sekiranya anda ingin membacanya, anda boleh melihat kembali perkara yang hamba nyatakan seperti di atas. Sebenarnya banyak lagi perkara yang meragukan namun cukuplah sekadar itu yang hamba tuliskan. Para penerbit Malaysia yang ghairah membawa buku dari luar juga harapnya akan lebih sensitif serta menyemak dengan sebaiknya bahan yang akan diterbitkan.

Nampak gayanya hamba perlu mencari bahan lain berkenaan Cheng Ho!


1 ulasan:

  1. Assalamualaikum... Lamanya tak jenguk blog saudara.
    Kat Kuching ada sebuah Taman Sahabat yang dibina sebagai tanda persahabatan antara Malaysia dan China. Ada sebuah tugu Laksamana Cheng Ho jugak..

    BalasPadam

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...