Thursday, May 8, 2014

SELAMAT MAJU JAYA DATO' DR. AZMAN BIN HAJI ABU BAKAR



Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, YBhg. Dato' Dr. Azman bin Haji Abu Bakar bakal meninggalkan anak buahnya di negeri ini bermula 12 Mei akan datang. Beliau akan mengisi jawatan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya. Hamba cuma berada lebih kurang 4 bulan 1/2 sahaja di bawah kepimpinan beliau. Boleh hamba katakan bahawa beliau adalah 'boss idaman pekerja' yang pastinya akan dirindui gaya kepimpinannya.

Kerana itu hamba lihat rata-rata warga Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merasa amat berat untuk melepaskan beliau pergi. Beliau boleh hamba sifatkan sebagai seorang pemimpin yang bersifat sederhana, tegas dalam lembut, boleh berbincang serta mendengar pandangan orang lain serta tidak berasa tinggi dengan kedudukan yang dimilikinya. Beliau juga boleh bekerjasama dengan baik dengan mereka yang berlainan skim perkhidmatan dengan beliau dan menghargai pandangan serta nasihat yang diberikan. Justeru tidak hairanlah majlis makan malam yang dianjurkan jabatan buat beliau pada dua hari lepas mendapat sambutan yang baik, dengan hampir kesemua wakil hospital dan pejabat jkesihatan daerah memberikan cenderamata masing-masing. Ini kali pertama hamba lihat orang yang diraikan perpisahannya menerima sebegitu banyak cenderamata.

Tidak ketinggalan para anak buah hamba yang menguruskan sumber manusia di negeri Selangor ini. Mereka ingin sama meraikan pengarah di hotel berkenaan tetapi harga yang terlalu tinggi mungkin membantutkan hasrat mereka. Namun atas semangat ingin sama meraikan mereka berpakat mengumpul sedikit sebanyak untuk mengadakan jamuan di sebuah restoran makanan Arab, juga di hotel yang sama. Pendek kata setiap seorang bayar untuk pinggan masing-masinglah. 

Dato' Dr. Azman sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan anak buah hamba. Mereka boleh berbincang dan bergurau dengan mesra seperti bapa dan anak. Bahkan kerana banyak urusan harian yang melibatkan beliau, anak buah hamba boleh berurusan terus dengan beliau tanpa sebarang kerenah birokrasi. Lantaran itu pemergian beliau membuatkan anak buah hamba 'risau' sekiranya pengarah yang baru nanti tidak seperti beliau.

Apapun ini adalah asam garam dalam perkhidmatan. Bertukar kerana keperluan perkhidmatan itu adalah lumrah. Tiada yang akan kekal selamanya di suatu tempat. setiap pemimpin yang datang itu pastinya mempunyai wawasan yang tersendiri. Adunan gaya kepimpinan, dan pengalaman itulah yang akan menjadikan sesuatu jabatan itu lebih mantap dari sebelumnya.

Buat Dato' Dr. Azman, kami mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik buat Dato'.

Bravo Zulu!!











Kredit buat saudara Nazri untuk semua gambar dalam entry ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...