Saturday, September 12, 2015

PENGGODA DAN PENGGODAM r0eWy0 - Mohd Fudzail Mohd Nor



Buku kedua ini menghidangkan kisah yang lebih menarik berbanding buku pertama - Teruja Cinta Maori Wainuiomata. Memperlihatkan diri watak utamanya, Ahmad yang semakin dewasa. Berjaya menamatkan persekolahan menengah setahun lebih awal, Ahmad kini bergelar mahasiswa. Agak menerujakan permulaan buku ini dimulakan dengan kisah kembara Ahmad ke Pulau Utara secara hitch-hike ke Pulau Utara, melalui beberapa tempat sehingga ke Universiti Waikato, Hamilton untuk mendaftar. Ternyata New Zealand adalah sebuah negara yang aman tanpa Ahmad perlu takut akan berlaku perkara bersifat jenayah ke atasnya di dalam perjalanan. Bahkan ditunjukkan sifat murni beberapa warga New Zealand yang bukan hanya memberikan tumpang kenderaan mereka bahkan ada yang mempelawa untuk bermalam. Ternyata kisah hitch-hike beberapa hari ini memberikan banyak kisah yang menarik.

Entah apa charm yang ada pada Ahmad sehingga kelihatan seolah wanita mudah mesra dengan beliau. Ahmad ternyata diminati oleh dua wanita iaitu Rozita dan Raewyn bahkan Ahmad juga minat dengan mereka. Agak gentleman apabila Ahmad tidak menyembunyikan kisah Raewyn daripada Rozita. Namun Rozita berada dalam posisi yang lebih baik memandangkan beliau satu universiti dengan Ahmad, tinggal selang 3 pintu sahaja manakala Raewyn belajar di tempat yang lain. Namun jika hamba sendiri berada di tempat Ahmad pastinya sukar untuk membuat pilihan, dan ternyata dalam trilogi kedua ini Ahmad juga begitu.

Pada awal tahun 80an ini komputer masih lagi menjadi suatu yang alien. Keberadaan Ahmad di dalam pengajian sains komputer adalah amat baik kerana generasi inilah yang akan membawa kemajuan IT di bumi Malaysia. Amat menarik apabila Ahmad pada ketika ini sudah mula meminati aktiviti penggodaman sehingga pernah menggodam komputer universiti yang menggunakan satu sistem sekuriti yang dianggap kuat ketika itu. Bakatnya dalam komputer turut digunakan dengan berkhidmat sebagai kakitangan sambilan di Bank Nasional New Zealand dengan memperolehi pendapatan yang agak baik.

Terdapat segelintir pelajar bukan Melayu yang tidak senang dengan pelajar yang memperolehi biasiswa. Bahkan bangsa mereka sendiri yang memperolehi biasiswa kerajaan turut digelar anjing kerajaan. Agak malang apabila golongan minoriti ini turut memburukkan pelajar yang menerima biasiswa sehinggakan terdapat kakitangan universiti yang terpengaruh. Hal ini disulamkan dengan baik oleh penulis bermula dengan bab son of soil serta dalam beberapa bab lain. Ahmad mengambil hal ini secara positif dan melakukan counter dengan menunjukkan sifat kecemerlangannnya di dalam pelajaran serta pergaulan.

Buku ini turut menyentuh tentang perkembangan Islam di New Zealand yang dilihat agak asing dan baru. Teman serumah Ahmad yang berbangsa Kiwi akhirnya memeluk Islam - walaupun asalnya tertarik melihat keperibadian seorang pelajar Melayu - selain sememangnya sedang mencari-cari sesuatu yang bersifat rohani. Turut disentuh tentang jemaah Al-Arqam yang mulai meresapi ke dalam kelompok pelajar Malaysia di New Zealand. Mungkin agak mengejutkan bahkan hamba sifatkan sebagai tragedi apabila seorang pelajar yang dibuang sekolah kerana kerap ponteng akhirnya menyertai pergerakan hare rama hare krishna yang ternyata menyimpang dari akidah. Walaupun Ahmad terkejut melihat apa yang berlaku terhadap sahabatnya itu namun beliau tidak terus melatah bahkan menggunakan pendekatan yang baik untuk membawa kembali sahabatnya ke pangkal jalan.

Cabaran mula memasuki hubungan Ahmad dan Rozita apabila ibu beliau mahu menjodohkan beliau dengan seorang anak kenalan lamanya yang berpengaruh dan berharta. Ia menjadi pengakhiran buku ini yang akan bersambung ke buku trilogi yang terakhir.



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...