Saturday, September 12, 2015

CINTA TIGA SEGI a0teAr0a - Mohd Fudzail Mohd Nor



Dalam trilogi yang terakhir ini tentunya pembaca lebih ingin mengetahui tentang kesudahan perhubungan Ahmad bersama Rozita dan Raewyn. Agak malang, tiada istilah and they live happily ever after kerana Ahmad akhirnya melepaskan Raewyn manakala Rozita pula terlepas ke tangan orang lain akibat kehendak keluarga. Walaupun kakak Rozita mencadangkan Ahmad membawa Rozita lari ke New Zealand tetapi jiwa Ahmad sebagai seorang lelaki Melayu Islam tidak memungkinkan beliau berbuat demikian. Beliau tidak mahu Rozita menjadi derhaka selain mencemar nama keluarga kedua pihak. Dalam hal ini Ahmad berusaha menjadi positif dengan mengharapkan hikmah yang lebih besar di sebalik kejadian ini.

Buku terakhir ini sebenarnya turut menonjolkan kecemerlangan Ahmad. Berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang singkat setelah mengambil kertas tahun dua dan tiga bersekali, kali pertama dalam sejarah universiti, berpeluang menyambung ke peringkat sarjana bahkan mewakili universiti dalam perundingan bersama universiti di amerika untuk mewujudkan satu rangkaian apa yang dinamakan internet pada hari ini.

Bekerja sambilan di Bank Nasional memberikan peluang kepada Ahmad untuk menimba pengalaman bahkan pandangan beliau banyak yang diterima pakai sehingga beliau menawarkan khidmat penggodaman bagi menguji kekuatan dan kelemahan sistem pertahanan bank.Ia membawa kepada penubuhan KWit, syarikat berasaskan IT bersama sahabatnya Usama. Memandangkan beliau bertaraf pelajar maka syarikat tersebut dibuka atas nama Usama. Syarikat berkenaan akan membuat pengujian dan penggodaman ke atas sistem sekuriti komputer di bank. Usama akhirnya mendapat pekerjaan tetap di Bank Nasional dengan Ahmad berada di bawahnya. Di sinilah mulanya wujud konflik antara dua orang sahabat. Ahmad yang menyedari hal ini tidak mahu ia berlarutan, meletakkan jawatan dan keluar dari KWit, namun persahabatan berjalan seperti biasa. Ia membuatkan hamba melihat kepada situasi kerja hamba ketika ini apabila kira-kira dua minggu lalu sahabat hamba yang sama-sama pergi menghadiri interview dan sama masuk kerja kini menjadi ketua hamba setelah ketua asal dinaikkan pangkat. Ya mungkin secara asasnya tiada masalah memandangkan sahabat itu juga baik orangnya. tetapi secara peribadi hamba tak sedap hati. Hamba khuatir suatu hari nanti akan timbul konflik dalam pekerjaan sehingga menjejaskan persahabatan. Hamba tidak mahu berundur seperti Ahmad kerana hamba lebih dahulu berada di organisasi berkenaan dan hamba telah mengetahui selok belok urusan pejabat dengan sebaiknya. Kenaikan sahabat hamba itu juga memberikan bayangan bahawa alangkah tidak cemerlangnya hamba apabila dipintas sahabat sendiri!

Unsur-unsur Islam masih diterapkan dalam buku ini apabila Josephine, rakan sekerja Ahmad secara mendadak meminta diIslamkan. Agak mengejutkan Ahmad kerana Josephine baru bekerja beberapa hari dan lebih dikenali dengan perangai yang hu ha hu ha serta pernah mengamalkan sex bebas. Namun pengalaman mengIslamkan Usama digunakan sebaiknya dan bersama rakan lain yang turut membantu.

Kisah perjalanan Ahmad ke beberapa buah negara seperti Australia, Amerika, Britain dan Jepun agak menerujakan memandangkan ketika itu maklumat pelancongan tidak mudah diperolehi seperti sekarang. Tetapi Ahmad berjaya mengisi setiap lawatannya dengan berkunjung ke banyak tempat serta mendapatkan sebanyak mungkin pengetahuan dan pengalaman. Bahkan waktu singkatnya kembali ke Malaysia turut dimanfaatkan dengan bekerja sebagai buruh bagi mendapat sedikit upah sebagai belanja yang turut diberikan kepada orang tua dan adik-adiknya.

Walaupun ada diselitkan kisah wanita lain seperti Helen, adik Usama yang seperti tertarik kepada Ahmad, Josephine serta kemunculan watak Shahzadeh di akhir buku namun penulis tidak menghuraikan dengan lebih lanjut meninggalkan pembaca berfikir sendiri kerana merasakan trilogi ini seperti tiada penamatnya...


3 comments:

  1. As salam.
    Terima kasih atas ulasan yang menarik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. berbanding ulasan, isi kandungan buku tuan lebih hebat lagi....

      Delete
  2. As salam.
    Terima kasih atas ulasan yang menarik.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...