Rabu, 9 Ogos 2023

MAXWELL - Naim Tamdjis


 

Novel Maxwell adalah merupakan naskhah terbitan sendiri ataupun swaterbit oleh penulisnya sendiri, Naim Tamdjis. Menjadikan Bukit Maxwell ataupun Bukit Larut sebagai latar tempatnya, ia mengisahkan tentang sekumpulan anak muda yang hilang secara misteri ketika bercuti di kawasan berkenaan. 

Hamba secara ringkasnya boleh membahagikan perjalanan cerita novel ini kepada tiga bahagian iaitu yang pertama adalah kisah sekumpulan anak muda yang bercuti di Bukit Maxwell sehinggalah mereka hilang secara tiba-tiba. Bahagian kedua adalah kisah pencarian mereka ini sama ada oleh polis ataupun mereka yang diupah oleh Tan Sri Akhar, bapa kepada watak Fendi, salah seorang pemuda yang hilang. Di sini muncul watak Raiqal, watak yang pernah muncul dalam salah sebuah novel tulisan Naim Tamdjis. Bahagian ketiga hamba lihat tidak ada kena mengena lansung dengan perjalanan kisah Maxwell dan tanpa kehadirannyapun kisah Maxwell masih boleh berdiri dengan sendirinya. Ia adalah kisah watak Aiman Aklaken, juga salah sebuah watak ciptaan Naim dalam salah sebuah novelnya yang mengalami pelbagai pengalaman misteri dalam satu malam sahaja. Watak ini ada bertemu dengan watak Raiqal. Namun mereka tidak mengalami pengalaman Maxwell bersama.

Kisah yang berlaku di Bukit Maxwell adalah misteri yang sama sekali tidak berkait dengan hantu. Namun para pembaca tentunya akan merasai kisahnya dibauri adunan mistik sebelum mengetahui sebabnya kemudian. Ia adalah seperti kisah Scooby Doo, di mana dalam kisah Scooby Doo semua misteri yang berlaku bukanlah disebabkan oleh makhluk ghaib melainkan disebabkan oleh ulah dan perilaku manusia dan kadangkala menggunakan teknologi.

Begitu juga halnya dengan kisah kehilangan di Bukit Maxwell. Watak-watak ini hilang bukanlah disebabkan oleh perkara ghaib namun oleh satu sindiket penjualan organ manusia. 

Walaupun watak Raiqal cuba ditinjolkan dalam bahagian kedua, hamba secara peribadi tidak melihat wataknya begitu menonjol. Bahkan watak Hawk salah seorang henchman Tan Sri Akhar lebih menyerlah. Beliaulah yang sebenarnya berjaya menyelamatkan dan menyelesaikan misteri kehilangan para pemuda ini.

Dalam pada itu hamba suka untuk menyarankan kepada penulis agar merujuk ayat karangan beliau di dalam bahasa Inggeris kepada mereka yang mahir agar betul dari segi penggunaan dan tatabahasa. Contohnya dalam bab tiga mukasurat 21 beliau menulis, "Rose! Please open the light. Rose, please open the TV. Rose...."



Anda dah beli KENITRA?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...