Khamis, 17 Ogos 2023

LELUHUR - Arman Jazee


 

Penulis ini adalah satu jenama yang hamba tidak ragu-ragu untuk membeli buku tulisannya. Hamba mengenali penulis ini lewat novel-novelnya yang bercorak aksi pertarungan serta permainan senjata api. Masih mengekalkan gaya aksi, namun novel kali ini bercampur dengan unsur seram dan mistik.

Permulaan novel ini sudah cukup menarik dengan berlakunya pembunuhan misteri melibatkan seorang kupu-kupu malam. Kepalanya terpotong, hati dan jantungnya hilang manakala darah dalam badannya kering begitu sahaja. Ia kemudiannya diikuti dengan dua lagi pembunuhan yang memeningkan pihak berkuasa.

Mereka ini dibunuh oleh makhluk yang hidup sejak 400 tahun dahulu. Mereka muncul sekali setiap lima puluh tahun dan setiap kali muncul mereka akan membunuh lima nyawa yang dikatakan memiliki 'pati geni'. Kali ini adalah pembunuhan terakhir mereka dengan mangsa terakhirnya adalah pemilik darah agung.

Pembaca akan mengetahui mengenai misteri kejadian ini secara perlahan-lahan lewat penyiasatan Inspektor Damia. Inspektor Damia yang sebelum ini kelihatan hebat kerana banyak menyelesaikan kes-kes berat agak tercabar kali ini apabila dianggap gagal oleh atasan beliau apabila masih gagal menyelesaikan kes pembunuhan yang berlaku.

Babak-babak pembunuhan mahupun pertarungan di dalam novel ini sekiranya diterjemahkan ke layar perak amatlah mengerikan dan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak mahupun mereka yang lemah semangat. Begitu banyak nyawa yang melayang akibat dibunuh. Namun dari segi penceritaan pertarungan hamba rasa setakat ini penulis Hilal Ashraf lebih berjaya melukiskannya lewat penulisan sehingga terasa terbayang di depan mata. Ini boleh dilihat menerusi novel-novel siri Nirnama.

Entah kenapa untuk ending novel ini hamba merasakan tidak semantap babak-babak awal ceritanya. Seakan boleh diagak bahawa Damia adalah pemilik darah agung ini. Walaupun watak Damia kerap ditampilkan, beliau tidak menjadi hero di akhir cerita. Hero akhir cerita adalah Adi Jagat yang pada awalnya kelihatan seperti watak tempelan sahaja. Ternyata sebagai pemilik darah agung, hanya darah beliau sahaja yang kelihatan bernilai, namun beliau tidak sama sekali menyertai pertarungan akhir dan hanya kelihatan lebih banyak berada di belakang Adi Jagat. 

Walau apapun, novel ini masih hebat kerana gaya penulisan Arman adalah amat baik, tidak terlalu tergesa-gesa mahu menamatkan cerita dan beliau menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan. Walaupun hamba secara peribadi tidak berapa bersetuju dengan penampilan watak Samiri - personaliti yang cuba menyesatkan umat Nabi Musa dengan memperkenalkan penyembahan patung lembu - novel ini bolehlah hamba anggap satu permulaan untuk Arman mengorak langkah dalam penulisan bergenre seram dan mistik.



Tiada yang mistik dalam KENITRA,
hanya penceritaan semula kisah nyata.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...