Sabtu, 5 Ogos 2023

SETEGUH TEMBOK ANDALUSIA - Rosli Mokhtar


Hamba percaya tidak banyak penulis tempatan yang menulis dan membahaskan tentang sejarah Andalusia. Penulisan buku-buku 'healing' lebih banyak lagi rasanya. Kerana itu hamba tidak ragu-ragu untuk menjadikan buku ini sebagai salah satu koleksi peribadi hamba. Melalui buku ini Dr Rosli Mokhtar cuba membawa kita menelusuri secara ringkas sejarah Andalusia semenjak awal sehinggalah kejatuhannya.

Tempoh 850 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat. Tetapi itulah tempoh masa yang pernah mencatatkan kuasa Islam pernah berada di semenanjung Iberia. Jika hendak di tulis satu persatu, mengikut rentetan peristiwa, hamba percaya buku tentang sejarah Andalusia akan memakan cetakan yang berjilid jilid banyaknya. Kerana itu membaca buku ini bagaikan terasa tidak puas. Terdapat banyak lagi perkara mahupun persoalan yang tidak dipapar atau dihuraikan. 

Tidak mudah untuk bertapak di Andalusia. Pengorbanan generasi awal serta ketulenan niat dan jiwa mereka untuk mengembangkan agama telah membuka jalan yang luas. Namun kemakmuran yang diperolehi selepas itu membuatkan wujudnya segelintir pemimpin yang mula lupakan diri dan tanggungjawabnya. Cinta kepada agama telah bertukar kepada cinta dunia. Kerana kuasa, persaudaraan sesama Islam bagai diletakkan di belakang. Bahkan ahli keluarga juga boleh menjadi mangsa kerakusan untuk terus berkuasa. Sehinggalah apabila nyawa Andalusia hampir tiba ke penghujung, amat mengaibkan apabila terdapat pemerintah yang meminta bantuan kuasa asing untuk menghapuskan saudara sendiri. Perjanjian yang dibuat sesama mereka walaupun amat berat sebelah dan tidak memihak sama sekali kepada pemerintah Islam seakan tidak memberikan apa-apa. Bahkan dalam banyak hal, perjanjian itu seringkali dicabuli kuasa asing.

Secara kebetulan buku ini hamba baca ketika bahang Pilihanraya Negeri (PRN) semakin memuncak. Sejarah Andalusia yang hamba baca terasakan amat dekat seolah ia sekarang terjadi di negara kita. Dr Rosli seolah menghasilkan buku ini sebagai satu teguran halus kepada para pemimpin serta masyarakat hari ini bahawa andai tidak dijaga negara ini dengan betul dan mengikut landasan yang benar, ia boleh saja tergadai serta musnah - musnah yang tidaknakan dapat diperbaiki lagi. 

Kerana itu sejarah bukannya sebuah pengajian kisah-kisah lama. Ia adalah sebuah pengajian masa lalu bagi memperbaiki kehidupan kita di masa akan datang. Manusia yang mempelajari sejarah serta mengambil iktibar daripadanya adalah manusia yang beringat. Kesilapan yang pernah berlaku adalah satu pengajaran pahit yang tidak seharusnya diulang. Bertolak daripada kesilapan itulah kita memperbaiki dan seterusnya membina masa hadapan yang lebih gemilang.

Sejarah boleh sahaja berulang, sama ada gemilang atau kehancuran. Bola ada di tangan kita, terpulanglah ke hala mana nak menggoleknya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...