Saturday, February 9, 2013

PESAN KSN BUAT KETUA JABATAN



Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam  sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Labuan  seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian Online pada 9 Februari 2013 berkata:-

“Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud... sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam,”

Hamba tidak tahu berapa ramai ketua jabatan yang membaca laporan ini dan daripada jumlah yang membacanya pula berapa kerat yang akan mengambil iktibar seterusnya mengamalkan pesan yang amat baik ini.

Dunia semakin berubah dan ke hadapan. Namun ada segelintir ketua jabatan yang masih berfikiran sama ketika hari mereka mula mula bekerja. Lantaran budaya yang mereka diperkenalkan ketika itu dibawa terus sehingga ke hari mereka memegang tampuk kuasa. Para penjawat awam adalah berkhidmat untuk kerajaan dan bukannya kuli ketua jabatan. Orang bawahan perlu sentiasa dikasihi, diberi tunjuk ajar dan dipimpin. Manakala yang bermasalah perlu dikenalpasti punca masalahnya, dididik serta diberi tunjuk ajar seterusnya diberikan pemulihan. Apabila tak makan saman juga maka barulah tindakan punitif diambil sebagai jalan terakhir.

Berapa keratkah ketua jabatan pada hari ini yang meyedari bahawa orang dibawahnya ramai yang tidak merasai keseronokan bekerja, sedangkan ia merupakan salah satu daripada tonggak 12 yang sering diajarkan kepada kita. Hamba sendiri stress, dan ramai sahabat yang stress. Kita kadangkala bukannya stress dengan kerja tetapi stress dengan perangai ketua jabatan. Stress di pejabat kadang-kadang berjangkit pula ke rumah hinggakan kebahagian rumah tangga dan keharmoniannya turut tergugat. Janganlah ingat hamba seronok mahupun terpana dengan sikap segelintir yang ketua yang gemar ‘memangkukkan’ pegawainya walaupun di khalayak ramai, menyuruh mereka terjun tingkap, memperlekehkan kerja mereka apatah lagi memaki hamun dengan secukup rasa. Orang-orang bawahan bukannya budak tadika yang baru nak mengenal ABC, mereka telah berusia bahkan ada yang lebih tua daripada ketua jabatan itu sendiri. Sebelum nak memaki hamun atau sebarang perlakuan yang merendahkan mereka, cubalah lihat wajah mereka, adakah mereka itu anak-anak atau adik beradik ketua jabatan? Kalau bukan tak usahlah berperilaku bagai komunis apatahlagi yahudi. Anak beranak anda bolehlah nak maki sebegitu, tapi kami tak ada hubungkait lansung dengan anda.

KSN menyebut perkara di atas kerana beliau sendiri tahu betapa ada lagi segelintir ketua jabatan yang tidak mengasihi orang bawahan mereka. Mereka diperah sehabisnya. Apabila mereka memerlukan sesuatu maklumat, mereka akan mengarahkan pegawai bawahan mereka untuk mencari dengan segera. Apabila maklumat telah diperolehi, usahkan terima kasih yang diterima, bahkan kutukan mungkin menjadi cenderamata. Ada sahaja yang tidak kena. Fakta kurang tepatlah, data tidak sempurnalah dan pelbagai lagi. Heii come on lah, kalau nak sempurna pergilah cari sendiri. Hal ini biasa terjadi apabila ketua hanya memberi arahan ringkas tanpa menerangkan dengan jelas apa kehendak sebenar mereka. Kita bukannya Nujum Pak Belalang yang bisa mengetahui isi perut ketua jabatan.  Begitu juga apabila pegawai diminta untuk mendraf sesuatu dokumen. Selepas didraf ketua jabatan akan bertindak seperti editor akhbar yang professional dengan membuat garisan dan penambahan di sana sini. Kadang-kadang pegawai macam menjadi terlalu bodoh yang amat. Kita pun tahu ketua jabatan sebenarnya bukanlah bijak sangat mendraf surat. Bahkan kadang-kadang tidak tahupun apa isi atau bagaimana ayat yang baik untuk memulakannya. Jadi melalui idea yang telah ditumpahkan oleh pegawai tadi barulah mereka mendapat bayangan bagaimana untuk melakukannya.

Hamba mohon maaf andainya tulisan hamba ini kurang digemari oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi orang seperti hamba tiada ruang untuk berbicara dengan bebas. Maka di ruang maya ini sahajalah tertumpahnya tinta menyurat apa yang tersirat. Bukan semua ketua jabatan yang berperangan idiot begedek ini. Bahkan hamba pernah bernaung dengan beberapa ketua jabatan yang hebat dan masih dalam kenangan hamba hingga ke hari ini. Mujurlah dalam penempatan kali pertama hamba mendapat boss yang mendidik (walaupun garang). Andaikata dalam permulan perkhidmatan telah mendapat boss yang idiot begedek itu, nescaya mandom berpanjanganlah perkhidmatan hamba.

Andai ditanya apa yang perlu dibuat dengan ketua jabatan yang tiada sifat mengasihi ini, maaflah terus terang bagi hamba anda tidak layak memerintah. Mungkin mereka akan berkata, kami dulu lagi teruk kena hamun tak ada pun komplen. Tolonglah, anda dulu berada di zaman Roomai Noor. Sekarang dah zaman Gangnam Style. Apa yang berlaku di zaman anda tidak semestinya masuk akal di zaman ini. Rasulullah yang menjadi penghulu sekalian umat pun tidaklah memaki hamun para sahabat Baginda dalam menyampaikan ajarannya. Jadi tuan hamba semua yang lebih kecil dari Baginda dan mengaku pula menjadi pengikutnya tak usahlah lebih sudu dari kuah. Kalaupun jabatan tuan hamba maju bukanlah disebabkan kepimpinan tuan hamba, bahkan kerana mereka takut dan tak larat dimaki seharian. Jabatan tuan hamba mungkin berjaya namun tiada keberkatan di dalamnya.

Sekali lagi hamba mohon maaf. Kasih sayang inilah ‘compensation’ yang hamba maksudkan dalam entry yang terdahulu. Nampaknya KSN telah dapat menangkapnya. Terima kasih KSN!!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...