Thursday, September 5, 2013

MENUNGGU KEJATUHAN HARGA RUMAH

            

Isu harga rumah yang tinggi bukan lagi merupakan satu isu yang baru. Ia telah mula hangat diperkatakan semenjak beberapa tahun yang lalu. Hari ini harga sebuah rumah dengan ukuran standard 20X70 telah melebihi RM350 ribu. Rumah yang sama saiz dan rekabentuknya dahulu boleh dibeli dengan harga kurang RM150 ribu.

Sama seperti orang lain, hamba juga menginginkan sebuah rumah kediaman yang selesa untuk didiami bersama ahli keluarga. Namun kekangan kewangan yang tinggi menyebabkan hamba tidak berdaya untuk memiliki rumah pada tempoh awal pekerjaan. Semenjak mula menyertai perkhidmatan hingga ke hari ini, hamba tinggal jauh daripada pejabat. Paling jauh adalah 60km dan yang paling dekat adalah 38km. Pernah juga hamba cuba memohon untuk bertukar ke tempat yang lebih dekat, namun yang jauh juga dihantarnya. Bukanlah hamba tidak mahu mendiami kuarters yang dekat dengan pejabat, namun kedudukan isteri hamba sebagai pekerja di sebuah syarikat swasta menyukarkan hamba untuk bertukar. Ini akan menyebabkan beliau terpaksa berhenti bekerja. Kebetulan sewaktu zaman hamba mula berumahtangga ia merupakan zaman kemelesetan ekonomi dunia dan mencari pekerjaan bukanlah satu perkara yang mudah. Tambahan pula tempat hamba tinggal sekarang merupakan sebuah kawasan kampung yang selesa untuk tinggal dengan segala kemudahan seperti klinik, kedai, kedai makan dan sebagainya yang dekat. Bahkan sekolah anak hamba cuma dalam lingkungan 250 meter sahaja dari rumah. Memikirkan keselesaan keluarga adalah yang paling utama, maka hamba cuba bertahan untuk berulang alik ke tempat kerja walaupun jauh. 

Berulang alik jauh ini bukan sahaja menuntut kesabaran namun juga menagih wang yang banyak. Duit gaji hamba banyak terbuang di atas jalan raya sahaja untuk pembayaran petrol dan tol. Di awal perkhidmatan dahulu terasa amat siksanya kerana apabila tiba sahaja hujung bulan sahaja hamba kadang-kadang terpaksa meminjam. Sering hamba tidak makan sewaktu di pejabat. Amat bersyukur sekali rasanya sekiranya pada sesuatu hari itu diadakan mesyuarat. Maka akan berisilah perut untuk hari itu. Kadang-kadang juga terpaksa merebus mee segera. Itupun dilakukan pada jam 3 petang dengan anggapan orang lain tidak akan menggunakan pantry untuk makan, maka dapatlah hamba sedikit privacy untuk menikmatinya. Tetapi pernah juga hamba kantoi dengan kakitangan. Pada pemikiran mereka golongan pegawai ini banyak duit maka makan mee segera ini semacam tidak wajar pula.

Kerana sering tidak cukup wang itulah hamba tidak dapat menyisihkan sedikit pendapatan bulanan untuk membeli rumah. Dari sehari ke sehari, seiring peningkatan gaji tanggungjawab kewangan juga semakin bertambah apabila ahli keluarga juga mula bertambah dan keperluan mereka juga berbeza-beza. Dalam pada itu harga rumah juga sedikit demi sedikit mula meningkat. Dan akhirnya setelah lebih 15 tahun bekerja barulah hamba terdaya untuk membeli sebuah rumah. Hasrat hati nak membeli rumah di Putrajaya kerana di situlah hamba bekerja. Tetapi harga rumah di sini semua pun maklum, harganya di luar kemampuan penjawat awam. Lagipun tempoh perkhidmatan hamba juga telah banyak berkurangan dan hamba tidak mampu untuk memiliki yang mahal.

 Walaupun kerajaan telah mula mengadakan beberapa skim untuk membantu mereka yang belum memiliki rumah, agak malang kerana orang seperti hamba tidak layak untuk menyertainya. Antaranya umur tidak dalam lingkungan yang disyaratkan serta pendapatan keluarga yang tinggi. Memanglah sekarang pendapatan sekeluarga agak tinggi kerana masing-masing telah lama bekerja, tetapi dengan tempoh perkhidmatan yang semakin pendek, pembayaran bulanan bagi rumah yang melebihi RM350 ribu umpama menjerut leher sendiri. Kerana merasakan tidak akan ada kemudahan kerajaan untuk orang seperti hamba ini maka hamba gagahkan juga diri untuk membeli sebuah rumah.

Akhirnya dapatlah juga hamba mencari sebuah rumah yang hamba rasa boleh hamba lunaskan bayaran bulanannya. Tidak dapat hamba beli di Putrajaya, ke Seremban hamba memperolehinya. Di Seremban sendiri harganya telah mula mahal, namun secara kebetulan rumah yang hamba beli ini pembeli asalnya tidak dapat meneruskan komitmen kerana tiada bank yang meluluskan pembiayaannya. Maka dapatlah hamba harga rumah pada kadar harga lama. 

Buat mereka yang baru mula bekerja, mulalah merancang untuk membeli rumah impian anda. Utamakanlah ia sebelum membeli kenderaan yang besar. Hamba risau sekiranya fenomena harga rumah mahal ini berterusan akan menyebabkan anak cucu hamba tidak berumah atau mereka terpaksa tinggal dalam kontena nanti.

Menunggu kejatuhan harga rumah - ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.....

(Semua gambar rumah untuk entry ini adalah untuk tujuan hiasan semata-mata...)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...