Monday, September 30, 2013

YE OLDE SMOKEHOUSE - MAKHLUK DI BALIK KURUNGAN


Reka bentuk klasiknya pasti akan memikat siapa sahaja yang memandang. Ditambah pula dengan hiasan taman ala Inggeris yang menghiasi halaman. Beberapa pelancong yang melintasi bangunan ini berhenti bagi melihat-lihat kawasan sekitar. Tentunya mahu juga melihat masuk ke kawasan halaman. Malangnya Ye Olde Smokehouse di Cameon Highland ini tidak membenarkan para pelawat untuk memasuki kawasannya dengan sesuka hati. Hanya pelanggannya sahaja yang boleh menjejakkan kaki memasuki kawasannya. Seutas tali direntang di hadapan jalan masuk dengan seorang pengawal bangsa asing menjaganya.


Nampaknya anak bangsa hanya boleh meninjau-ninjau sahaja dari kejauhan. Rumah binaan gaya Tudor penjajah Inggeris ini masih lagi untuk jejakan kaki dewa-dewa sahaja. Maka jadilah ia umpama seekor binatang di dalam zoo, hidup dalam kurungan menjadi tontonan ramai. Dan hamba merasakan diri hamba bagaikan pelawat zoo itu, tercangak-cangak melihat keindahan bangunan dari kawasan luar kurungannya. Beberapa pelancong yang ingin memasuki halaman terpaksa surut pulang dengan hati yang hampa.


Bagi peminat fotografi, hati manalah yang tidak geram melihat keindahan ini terbiar tanpa merakamnya melalui lensa. Namun terhad amatlah sudut yang boleh diterokai kerana hamba umpama insan yang mengintai-ngintai anak dara di balik pagar yang tinggi. Lara amatlah hati ini, berpijak di bumi sendiri tetapi lantainya jadi hak orang. Orang pula tidaklah budiman, tuan rumah dibiar diluar menahan kesejukan.

Hati masih meratapi nasib anak bangsa.













No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...