Wednesday, January 15, 2014

PESTA PULAU PINANG



Beberapa minggu lepas ada tersiar berita mengenai seorang kanak-kanak yang terjatuh daripada sebuah roda besar merry go round di tapak Pesta Pulau Pinang. Musykil juga hamba kepada bapa beliau yang melepaskan anaknya pergi merayau sesuka hati. Walaupun bapa kanak-kanak itu berniaga makanan di tapak pesta tersebut, bukan bermakna beliau boleh melepaskan anaknya begitu sahaja sehingga anak itu mencuba sesuatu permainan tanpa ditemani oleh seorang dewasa. Hairan juga hamba kenapa petugas permainan berkenaan boleh melepaskan kanak-kanak sekecil 6 tahun itu untuk bermain roda tersebut tanpa pengawasan sesiapa.


Apapun, perkembangan kisah ini tidak hamba ikuti. Yang penting bayaran untuk bermain apa-apa sahaja permainan di tapak pesta tersebut amatlah mahal dan akan merabakkan poket mereka yang mempunyai anak yang ramai. Anak-anak hamba cuma dapat main satu permainan sahaja, yang mana hamba rasa sudah cukup mahal buat orang kebanyakan seperti hamba ini. Hamba layan ambil gambar cukuplah.


Ini kali pertama hamba ke pesta ini. Katanya ia cuma diadakan setahun sekali sahaja. Dan pada masa pesta ini tidak dilansungkan, tapak pesta ini dikatakan tidak digunakan lansung. Hamba tak tahu, mungkin orang Pulau Pinang boleh bagi confirmation. Sebab sekiranya tapak ini hanya digunakan sekali sahaja dalam setahun maka hamba nampak kerugian yang besar di situ memandangkan tapak ini menyediakan binaan yang kekal untuk para peniaga.



Walaupun hamba pergi pada hari bekerja, namun pengunjungnya memang ramai. Tapak meletak kereta boleh dikatakan penuh. Hamba meletak kereta di halaman rumah seorang Cina yang rumahnya terletak bersebelahan pagar sahaja dengan tapak pesta. Beliau mengambil kesempatan mencari pendapatan pada musim ini dengan menjadikan halaman rumahnya sebagai kawasan meletak kenderaan pengunjung. Kawasan itu hamba lihat seperti tempat pengumpulan barang-barang lusuh. Walaupun kawasan tersebut tidak sebaik kawasan meletak kenderaan yang disediakan oleh penganjur pesta, namun kedudukannya yang berdekatan dengan pintu masuk agak memudahkan hamba dan keluarga.



Orang yang sifatnya suka berbelanja mungkin akan merasa gembira hadir ke tempat sebegini. Pelbagai barangan (yang pastinya banyak yang tiruan) dijual dengan harga yang murah. Namun walaupun tiruan, pada pengamatan hamba kualitinya boleh tahan juga. Cuma jangan terpedaya dengan peniaga yang menjual pen drive dengan harga yang murah. Hamba bertemu dengan pen drive yang menggunakan satu jenama yang popular, mempunyai kapasiti 64G tetapi hanya dijual dengan harga RM20 sahaja. Hamba ada membelinya kerana menyangkakan ia asli lantaran pembungkusannya serta rekabentuknya yang serupa dengan yang asli. Pen drive ini memang mempunyai kapasiti seperti yang dinyatakan tetapi urusan memasukkan data ke dalamnya amatlah perlahan dan terdapat beberapa fail yang hamba pindahkan ke dalamnya tidak boleh dibuka. Hamba ada melihat pen drive yang serupa dijual di tepi jalan berhampiran Sogo dan Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam. Nasihat hamba agar anda tidak membelinya. Ini kerana walaupun ia boleh digunakan, namun prestasinya tidaklah seperti yang asli dan dikhuatiri ada fail yang disimpan lansung tidak boleh dibuka.




Tempat ini sesuai untuk mencari beg sekolah anak-anak. Harganya hamba lihat begitu murah dengan kualitinya yang sederhana. Terlalu banyak pilihan memandangkan terdapat beberapa premis yang menjual barangan yang sama. Satu beg kecil yang hamba beli masih elok selesa digunakan walaupun harganya cuma RM25 sahaja.



Ada juga pameran dari luar negara iaitu Indonesia dan Thailand yang tidak sempat hamba kunjungi kerana kesuntukan masa. Bukan sahaja barangan dari negara mereka bahkan makanan istimewa mereka juga turut dijual.

Walaupun ini kali pertama hamba berkunjung ke sini, hamba rasa nak datang lagi tahun depan....





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...