Wednesday, June 17, 2015

TERUJA CINTA MAORI WAINUIOMATA - Mohd Fudzail Mohd Nor



Membaca kisah di dalam novel ini, walaupun bercerita tentang kehidupan seorang penuntut ilmu yang baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi New Zealand, tidak dapat tidak turut sama membawa hamba hanyut kepada kenangan sewaktu berada di Maghribi. Ada persamaan antara kami - sama-sama naif dengan persekitaran baru, sama-sama bukan dari keluarga yang senang serta sama-sama bukan pakar dalam bahasa di negara yang baru dijejaki.

Walaupun cerita ini berdasarkan pengalaman penulis sendiri, tetapi hamba percaya ia telah diadun dengan sedikit fiksyen berdasarkan catatan penerbit. Sememangnya berada sendirian di satu daerah tanpa kehadiran rakan-rakan sebangsa akan memberikan cabaran yang besar. Seawal penceritaan lagi telah diperlihatkan dengan satu cabaran buat seorang Muslim Melayu apabila terpaksa tinggal di rumah keluarga angkat yang mempunyai anjing yang mesra. Kagum juga hamba dengan Ahmad yang begitu rajin untuk menyamak tubuh atau pakaiannya setiap kali dijilat anjing yang bernama Boy itu. Begitu juga dengan makanan apabila pada hari pertama di rumah keluarga angkat Ahmad telah menyantap daging kambing yang pastinya tidak disembelih mengikut cara Islam. Hamba percaya bahawa Ahmad berperang dengan perasaan sendiri ketika ini, serba salah untuk menyatakan perkara yang sebenar. Kesilapan Ahmad adalah tidak menerangkan perkara yang sebenar kerana sehingga ke sudah keluarga angkatnya tidak mengetahui akan masalahnya dengan anjing serta maksud sebenar makanan halal. Satu yang hamba respek, Ahmad cukup menjaga soal solatnya. Walau ke mana beliau pergi, solat tetap ditunaikan walaupun di celah-celah bangunan ataupun di bawah pokok. 

Menyedari bahawa dirinya adalah perantau, Ahmad berusaha dengan gigih untuk maju dalam pelajaran. Ujian pertama beliau untuk lulus dalam peperiksaan bagi membuktikan bahawa beliau layak berada di dalam tingkatan tujuh dapat dilalui dengan usaha yang gigih. Begitu juga dalam peperiksaan tingkatan tujuh yang menentukan kemasukan ke universiti dapat beliau hadapi dengan baik. Untuk mencapai kejayaan sebegitu bukanlah mudah, tetapi watak Ahmad memanfaatkan pergaulannya dengan keluarga angkat dan rakan persekolahan untuk mendapatkan lebih bayak ilmu. Dalam hal ini ibu angkatnya banyak membantu terutamanya di dalam memahami teks teks sastera Inggeris begitu juga dengan sahabat wanitanya Raewyn. Bahkan beliau memuat kawan baru dengan seorang lelaki yang menjual komputer epal terpakainya dengan mengambil manfaat untuk mendalami lagi ilmu tentang komputer (Awal tahun 80an komputer masih lagi alien kepada orang Malaysia).

Satu ketika atas permintaan keluarga angkatnya, beliau telah memasak nasi lemak sebelum pergi bercuti panjang ke pulau selatan. Tanpa ibu angkatnya sedar, Ahmad telahpun memasukkan sedikit MSG walaupun telah diberikan peringatan agar tidak mencampurkan bahan tersebut di dalam masakan. Tujuan Ahmad adalah tidak lebih daripada sekadar bergurau serta menguji ibu angkatnya itu. Namun sebaik pulang daripada bercuti beliau disambut dengan khabar buruk bahawa ibu angkatnya telah meninggal dunia. Lalu timbullah persoalan dan penyesalan apakah bahan MSG itu yang menyebabkan ibu angkatnya meninggal dunia.

Tanpa Ahmad sedari bapa angkatnya adalah merupakan seorang freemason peringkat pertengahan. Lebih mengejutkan lagi apabila ketua freemason kawasan berkenaan adalah pengetua sekolahnya sendiri, bahkan ada dinyatakan bahawa kemasukan Ahmad ke tingkatan tujuh juga adalah atas usaha bersama ahli freemason yang berada di dalam Kementerian Pelajaran New Zealand. Dinyatakan bahawa gerakan tersebut adalah satu fraternity dan bukannya satu agama. Walaupun begitu kepercayaan semua ahli mereka adalah kesemua agama adalah sama. Tambah mengejutkan Ahmad adalah di dalam lodge mereka (Ahmad berpeluang memasukinya) terdapat lima buah kitab AlQuran! Beliau bahkan dipelawa untuk membaca AlQuran tersebut.

Banyak lagi kisah menarik yang diceritakan di dalam novel ini. Hamba memuji cara penulisan novel ini yang mudah diikuti serta menggunakan bahasa yang tepat serta tidak membosankan pembaca. Ada dua lagi novel dalam siri ini, harapnya dapat hamba sudahkan dengan seberapa segera.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...