Tuesday, December 22, 2015

ULU YAM DI LIVERPOOL - Nazali Noor




Buku ini seringkali saya lihat apabila mengunjungi sebuah kedai buku di sebuah pasaraya. Tajuknya menarik seakan menggamit hati untuk membacanya. Tetapi ketika itu hati masih belum mahu memilikinya lantaran merasakan di rumah masih banyak lagi buku yang belum di baca.........lagipun kedai tu tak ada diskaun....ha ha ha.

Tapi akhirnya buku ini hamba miliki dan telahpun mengkhatamkannya dua hari yang lalu. Tidak terlalu tebal - 496 mukasurat sahaja - hamba membacanya secara santai - bahkan perlahan - menghayati setiap bab penceritaan. Kata Nazali di awal permulaan buku, - "......Niat saya hanya satu. Semoga cerita-cerita budak kampung dan orang-orang biasa seperti saya menjadi sedikit dorongan pada mereka di luar sana yang ingin menggenggam azam mengubah sempadan potensi diri daripada kepompong kebiasaan dan kemudian mungkin berkata; Hmm....brother tu taklah pandai mana pun, orang kampung macam aku jugak. Cerita dia sama macam apa yang aku lalui sekarang. Kalau dia boleh mesti aku pun sama...."

Hamba rasa apa yang Nazali tuliskan mungkin benar. sememangnya cerita nazali biasa sahaja dan kebiasaan itu juga ada pada kita semua. Tetapi yang membuatkan Nazali istimewa adalah keazaman yang tinggi serta tidak putus asa untuk menggapai impian beliau walaupun antara impian beliau itu telah sangat hampir untuk beliau genggam.

Namun membaca keseluruhan buku ini dapat hamba rumuskan bahawa kejayaan beliau hari ini adalah kerana satu perkara - taat dan sayang kepada ibu tercinta. Hamba merasakan bahawa apa yang beliau perolehi hari ini adalah ganjaran di atas khidmat beliau kepada ibunya. Betapa beliau tidak jadi ke Uk kerana ibu, bertukar kerja kerana ibu serta bersegera mencari jodoh kerana ibu. Beliau sering melupakan kepentingan diri hanya kerana mendahulukan ibunya. Bahkan saat beliau hampir ke Liverpool apabila ibunya diserang angin ahmar, beliau bersedia untuk membatalkan hijrah tersebut sekiranya ibu tidak mengizinkan. Namun dengan tulus ikhlas ibunya mengizinkan sambil adik beradik yang lain memberikan semangat serta berjanji untuk menjaga si ibu yang sakit. Kerana taat kepada ibulah akhirnya hamba boleh katakan Nazali kini mendapat sama rata dua komoditi dalam hidup manusia - masa dan harta.

Apabila Nazali berkisah tentang pengalamannya bertanding di dalam Pesta pantung di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, hamba sedikit teruja kerana hamba bersekolah di sana ketika itu. Hamba memang menuruti pertandingan tersebut cuma hamba tidak ingat sekiranya ada menonton Nazali berpantun. Bahkan beberapa tahun selepas itu hamba juga menjadi sebahagian pasukan pantun sekolah sehingga berjaya menjadi Naib Johan Negeri Sembilan, juga ditewaskan oleh sekolah yang pernah menewaskan sekolah Nazali. Agak menarik apabila Nazali membuat pendedahan bahawa beliau mempunyai hubungan istimewa dengan pemantun utama sekolah berkenaan kemudiannya - dan hamba tumpang simpati di atas terbengkalainya hubungan cinta mereka.

Namun itu semua bukan menjadi hal apabila Nazali akhirnya dikurniakan Allah seorang isteri yang bagi hamba cukup hebat - sabar, setia dan mengharungi susah senang bersama - semua ini kerana faktor tadi - taat kepada ibunda tercinta. Juga dikurniakan cahaya mata yang cerdas kesemuanya menambahkan lagi ni'mat kehidupan yang dikurniakan Tuhan.

Sebagai anak nogori yang juga ada leluhur Minang, hamba bangga dengan Nazali yang juga seorang anak Minang di perantauan, membawa jatidiri anak Minang yang sememang hidupnya perlu merantau untuk sebuah kehidupan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...