Sabtu, 21 Oktober 2023

SEBUAH PERJALANAN - Abdullah Hussain


 

Kira-kira sebulan yang lalu saya bertemu dengan bekas pegawai saya sewaktu di ILKKM Sungai Buloh. Ketika itu kami hadir dalam satu majlis di sekolah anak di Bagan Datuk. Beliau bertanya mengapa blog saya lama tidak dikemaskini. Akaun tik tok saya juga sepi tanpa sebarang video baharu.

Saya agak sibuk berada di penempatan kerja yang baharu. Blog ini lama tidak dikemaskini kerana saya juga tidak mempunyai masa yang terluang untuk membaca. Sudahnya pada bulan lepas (September), satu entrypun tidak berjaya saya hasilkan.

Sebuah Perjalanan adalah sebuah naskhah yang telah lama saya cari. Saya telah membaca beberapa biografi SN Abdullah Hussain, tetapi biografi yang pertama ini sukar saya temui lantaran ia sudah tiada lagi di pasaran. Secara kebetulan apabila hamba berpeluang membeli sebuah buku beliau yang bertajuk Noni dan berbual secara maya dengan penjualnya, beliau bertanyakan hamba sudahkan membaca buku ini kerana isinya yang menarik. 

Lalu hamba jawab sahaja belum. Beliau ketika itu tidak pula menyatakan hasrat untuk menjual buku ini. Beberapa hari kemudian hamba bertanya pada beliau sekiranya beliau berminat untuk menjualkan kepada hamba buku ini. Pada mulanya beliau enggan dan hamba pula tidaklah mendesak lagi. Namun ditakdirkan beliau berubah fikiran dan sedia menjualkannya kepada hamba.

Buku ini bukanlah sebuah naskhah yang baharu. Ia adalah buku lupus perpustakaan yang sudah agak uzur kulitnya. Tetapi jangan sangka buku seuzur ini harganya hanya RM5 atau RM10 sahaja, bahkan melampaui berganda daripada nilai harga jualan asalnya. Namun kerana terlalu ingin membacanya maka hamba belinya juga. Dan ternyata keseronokan membaca Sebuah Perjalanan melebihi nilai yang telah hamba keluarkan.

Time frame Sebuah Perjalanan adalah dari zaman Abdullah sebagai seorang kanak-kanak di Sungai Limau, Kedah sehinggalah ketika beliau meninggalkan Penerbitan P. Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem atau lebih tepat lagi pada tarikh 31 Disember 1960. Justeru pengkisahan beliau adalah meliputi dari zaman sebelum merdeka (termasuk zaman perang) sehinggalah hampir 3 tahun selepas merdeka.

Walaupun ni adalah kisah peribadi Abdullah Hussain, hamba turut melihatnya sebagai sebuah catatan sejarah negara memandangkan Abdullah turut melalui banyak peristiwa penting yang ada di antaranya tidak pernah tercatat di mana-mana. Begitu juga dengan tokoh-tokoh yang biasa kita temui di dalam pembacaan, tidak kira mereka tokoh pejuang kemerdekaan (Malaya dan Indonesia), tokoh sastera mahupun artis wayang gambar.

Membaca kisah beliau di kampungnya sahaja sudah cukup mengujakan memandangkan suasana berkenaan amat berbeza dengan masa kini. Suasana hidup ketika itu secara tidak lansung mengasuh diri untuk menjadi seorang yang berani, tidak kira berani dalam kehidupan ataupun berani membuat keputusan. Jarak yang jauh bukan satu halangan. Walaupun tiada kenderaan, destinasi yang ditujui tetap ditujui walaupun hanya berjalan kaki, berbasikal atau menaiki keretapi. 

Abdullah melakukan pelbagai kerja dari zaman mudanya hinggalah dewasa. Beliau tidak memilih kerja dan beliau juga tidak risau jika kehilangan kerja dan terpaksa mencari yang lain. Masyarakat ketika itu hidup bantu membantu. Sebuah bilik yang kecil boleh dihuni oleh beberapa orang, walaupun tanpa alas tidur yang selesa. Tinggal menumpang di rumah orang adalah satu kebiasaan jika berpergian ke mana-mana.

Abdullah adalah satu watak penting dalam kemerdekaan Indonesia khususnya di wilayah Aceh. Walaupun pernah menulis tentangnya dalam buku Peristiwa Kemerdekaan Di Aceh, pengkisahan ddalam buku ini juga membawakan kisah-kisah lain yang tidak dinyatakan di dalam buku tersebut.

Di era dan masa mana pun kisah tentang Abdullah diceritakan, kisah tentang buku dan penulisan pastinya ada. Abdullah Hussain ini bukanlah seorang yang bersekolah tinggi, tetapi sikap beliau yang suka membaca, menulis dan menuntut ilmu secara tidak lansung menjadikan beliau seorang intelek. Terjemahan beliau kepada karya The Old Man And The Sea oleh Ernest Hemingway telah mendapat pujian.

Kadangkala membaca buku ini terasa seperti membaca sebuah kisah perisikan juga. Ini disebabkan oleh perana Abdullah sendiri sebagai seorang pejuang kemerdekaan. Melalui buku ini juga saya baru mengetahui tentang tiga buah wilayah yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam, dan Abdullah sendiri mempunyai kaitannya dalam hal ini. Namun pada akhirnya beliau menarik diri apabila melihat perjuangan kumpulan ini mula menyimpang daripada tujuan asalnya.

Terlalu banyak cerita di dalam buku ini yang tidak mungkin hamba dapat meringkaskannya di dalam ruangan yang singkat ini. Hamba mengharapkan agar pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka dapat menerbitkan lagi edisi baharu Sebuah Perjalanan agar kisah yang Abdullah paparkan dapat dibaca oleh generasi hari ini dan kekal sebagai sebuah catatan sejarah silam tanah air.




Tulisan Abdullah Hussain telah 
menginspirasikan Kenitra!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...