Friday, December 6, 2013

MEMETIK FARAWALAH



Buah strawberry memang tidak dapat dipisahkan dengan Cameron Highland. Tumbuhan ini hidup subur di kawasan tanah tinggi ini sesuai dengan hawanya yang dingin. Hamba tidak pasti sekiranya buah ini turut ditanam di kawasan tanah tinggi yang lain di negara kita. Namun kerana buah ini dan beberapa tanaman lainlah yang menyebabkan para petani tanah tinggi ini ghairah meneroka tanah hingga menjejaskan ekosistem. Kita biasa dengar cakap-cakap orang bahawa kedinginan CH hari ini adalah tidak sama dengan kedinginannya di masa lalu. Maka beberapa kerat peneroka inilah antara pemegang sahamnya.

Terdapat banyak ladang dan kebun yang membuka pintunya untuk dikunjungi oleh para pelawat. Bahkan para pemilik homestay seperti di Kampung Taman Sedia, walaupun mempunyai tanah yang kecil, turut menanam strawberry sebagai tarikan. Di sesetengah tempat, para pengunjung dibenarkan untuk memetik sendiri buah yang mereka ingini. Anak-anak kecil amat gembira diberi peluang sebegini bahkan para pemilik ladang dan pekerja mereka juga gembira kerana tidak perlu bersusah payah untuk memetik buah ini buat jualan. Segala yang dipetik pengunjung tidak kira buah itu baik atau tidak, atau juga masih belum layak untuk dipetik, perlu dibayar harganya. Jadi tauke kebun sudah dapat mengurangkan kos buruh disamping mendapat bayaran atas harga jualan.


Bentuk buah ini juga banyak digunakan dalam cendermata yang dijual di sini. Namun kita juga tahu bahawa kebanyakan cenderamata ini walaupun mempunyai cap CH, namun penghasilannya kita ketahui bukanlah dibuat di sini. Mungkin harganya telah ditingkatkan kerana kos pengangkutannya untuk dibawa ke kawasan gunung ini pastinya telah diambilkira.

Sebaiknya buah yang telah anda beli terus dihabiskan di sini sahaja. Ini kerana kebiasaannya apabila telah dibawa turun rasanya tidak lagi seperti apabila anda mula membelinya. Kecualilah anda membelinya kerana ingin membuat jem sendiri di rumah!!







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...