Wednesday, December 25, 2013

ULASAN BUKU : BIARAWATI QASEH PUTERI - Moh Dat Molok



Sewaktu kerja-kerja membersihkan tapak Dataran Pahlawan di Melaka, para pekerja telah menjumpai satu ruang rahsia yang tersimpan pelbagai artifak purba. Salah satu barang yang ditemui adalah sebuah manuskrip yang dikatakan ditulis oleh seorang bernama Qaseh Puteri. Seterusnya kisah yang dipaparkan lewat novel ini adalah sepertimana yang dicatatkan dalam manuskrip tersebut.

Hamba percaya bahawa nama Qaseh Puteri itu adalah merupakan sebuah nama moden. Penggunaan huruf Q dan bukannya K adalah gaya orang hari ini. Walaupun huruf Q yang digunakan namun bagi orang Melayu huruf tersebut adalah berat di lisan. Maka orang Melayu tetap akan melafazkan huruf K dan bukan sebaliknya. Pada zaman Melaka orang Melayu menulis menggunakan huruf Arab ataupun Jawi. Dan tentunya jika seseorang bernama Kasih, beliau akan menulis namanya menggunakan huruf   dan bukannya . Ini kerana dalam Bahasa Arab, perubahan huruf boleh membawa kepada perubahan makna. Oleh yang demikian sekiranya ia manuskrip Jawi, ia akan bertulis ﻜﺎﺴﻪ dan bukannya ﻗﺎﺴﻪ. Saya yakin orang Melaka yang mahir menulis Jawi tidak akan menggunakan huruf bagi pemilik nama Kasih. Adalah ganjil juga sekiranya mereka menuturkan dengan huruf yang tebal tersebut. Justeru kurator yang menemui manuskrip tersebut tidak seharusnya mengalihkan nama tersebut ke tulisan rumi dengan nama Qaseh (Dalam hal ini penulis novel itu sendirilah).

Manuskrip Qaseh mengandungi tiga cerita iaitu kisah beliau sendiri, kisah perjuangan Tun Mahmud dan kisah serangan Jawa ke atas Melaka. Hamba dapati kisah Tun Mahmud ataupun Bujang lebih mendominan novel ini berbanding Qaseh itu sendiri. Sedangkan menurut Qaseh kisah Tun Mahmud ini hanya beliau perolehi daripada penceritaan lisan Hang Nadim dan Andak, dua orang pemuda yang sama ditawan bersama Qaseh oleh orang Portugis. Sewajarnya kisah Qaseh itu sendiri yang mendominasi novel ini berdasarkan tajuk novel ini. Hamba berpandangan kisah penemuan manuskrip purba itu tidak perlu lansung bahkan boleh diteruskan dengan kisah Qaseh itu sendiri. Mungkin penulis berpandangan sukar untuk membawa dua cerita berbeza jika tidak menggunakan landasan penemuan manuskrip purba. Sebenanrnya ia boleh sahaja dilakukan sepertimana novel Air Mata Raja yang memaparkan dua kisah iaitu berkaitan Tun Sri Lanang dan yang kedua kisah waris kesultanan Melaka yang berusaha untuk mendapatkan kembali negerinya. Kedua kisah ini walaupun berbeza namun dipersembahkan dengan cemerlangnya di dalam satu buku. Kisah serangan Jawa juga hamba lihat sebagai pelengkap novel ataupun sebagai 'penyendal' sahaja. Penulis boleh memasukkan kisah tersebut seiring dengan penceritaan Tun Mahmud walaupun mungkin pada waktu yang berbeza.

Memandangkan kisah Tun Mahmud dan serangan Jawa adalah daripada dengar cakap, amatlah mustahil sekiranya Qaseh dapat juga mengetahui tentang pemikiran dalaman seseorang. Bahkan di dalam kisah beliau sendiri beliau mencatatkan tentang konflik dalaman Tuan Besar Keramat Antonio Arantez, pembacaannya, pandangannya yang penuh bernafsu kepada Qaseh, dialog hatinya dan segala yang biasanya hanya diketahui oleh tuan punya badan itu sendiri sahaja. Kerana itulah hamba dari mula merasakan bahawa kisah ini boleh sahaja terus bermula tanpa diikat dengan penemuan manuskrip. Ini kerana sekiranya ia berdasarkan manuskrip, penceritaan hanya boleh dilihat dari sudut pandangan orang pertama sahaja. Persahabatan Hang Nadim dan Andak dengan Tun Mahmud yang seketika tidak memungkinkan mereka mengetahui begitu detail sekali kisah Tun Mahmud. Hamba menjangkakan tatkala mereka mendengar kisah Tun Mahmud itu, beliau telahpun kembali ke acheh dari berjuang. Namun dalam kisah Tun Mahmud sendiri ia tergantung setakat selepas beliau dan angkatan lanun selamat tiba di Bentan.

Seperti yang hamba sebutkan juga tadi kisah Qaseh tidak begitu mendominasi novel ini walaupun tajuk diberikan atas nama beliau. Sewajarnya penulis mengembangkan lagi penceritaan diri Qaseh dengan memasukkan lebih banyak elemen soal siasat, paksaan yang dikenakan, penderitaan yang dilalui, pandangan Qaseh terhadap penjajahan Portugis, pandangan beliau terhadap pemaksaan beragama, penyiksaan dan penindasan ke atas orang Melayu, kehidupan di biara dan banyak lagi. Hamba yakin sekiranya pembaca menumpukan ke atas kisah Qaseh, kita mungkin tidak akan berpuas hati dengan perjalanan kisahnya yang ringkas. Bahkan kisah Tun Mahmud juga seakan tergantung begitu sahaja tanpa kesudahan yang nyata.

Novel ini sekiranya digarap dengan lebih teliti pastinya akan menjadi lebih baik. Apabila penulis memasukkan elemen perbincangan mengenai agama, ia sebenarnya telah boleh menarik minat pembaca. Pembaca akan mengharapkan ia dipersembahkan lagi di bab- ab mendatang. namun itu sahajalah satu-satunya dialog perbincangan yang ada. Hamba juga merasakan adalah tidak perlu penulis memasukkan begitu banyak ayat-ayat bible berkaitan zina sewaktu Antonio Alvarez sedang menelaah perkara tersebut sehingga hamba menjadi bosan membacanya.

Novel ini adalah baik namun memerlukan lebih banyak kajian serta penambahbaikan. Bahasa yang digunakan adalah mudah dan difahami. Percubaan penulis dalam penulisan membabitkan perbincangan atau dialog antara agama adalah dialu-alukan. Penulis telahpun mempunyai satu asas dan kita menunggu buah tangan beliau yang lebih mantap lagi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...