Tuesday, December 10, 2013

ULASAN BUKU : HALUSINASI - Jessy Mojuru



Agak kelelahan hamba nak menyudahkan novel setebal 747 mukasurat ini. Lebih 4 minggu terpaksa hamba ambil untuk membacanya. Begitu derita nak menamatkan pembacaannya. Mungkin resepi novel ini belum begitu kuat untuk membuatkan hamba melekap lama membacanya.

Hamba umpama mengambil risiko membeli buku penulis yang belum pernah hamba baca lagi karyanya sebelum ini. Melihat tajuk berserta sinopsisnya, hamba tertarik kerana ia bukanlah sebuah novel cinta. Harapannya novel ini mempunyai resepi yang seiring dengan penulisan Ramlee Awang Murshid.

Secara ringkasnya ia mengisahkan seorang penulis novel bernama Maya yang sedang dalam usaha menyiapkan sebuah penulisan yang berunsurkan mistik. Namun penulisannya itu secara kebetulan benar-benar terjadi. Beliau didatangi suara-suara halus, watak-watak misteri serta beberapa kisah kematian yang turut membabitkan mereka yang dikenalinya.

Sememangnya apa yang cuba disampaikan oleh penulis seolah suatu kisah yang amat menarik sekali. Tetapi umpama Maya juga, hamba begitu keliru mengikuti perjalanan novel ini. Di awal pembacaan hamba umpama membaca sebuah novel di dalam sebuah novel sehingga hamba sendiri tidak mengetahui yang mana satu penulisan Maya atau realitinya. 

Menuju ke penghujung novel, beberapa watak yang terlibat menerima undangan misteri ke sebuah banglo lama di dalam hutan. Di sinipun hamba keliru apabila ada watak yang dijemput itu digambarkan sememangnya telahpun mati. Jadi seolah mereka yang mati ini tidak sedar bahawa mereka telah tiada lagi di muka bumi dan sedang menghadapi kisah misteri lagi. Rasa nak ketawa pun ada juga apabila mereka yang telah mati ini hendak dibunuh lagi. Di sinilah hamba rasa ketiadaan ilmu tentang akidah serta kehidupan setelah mati penulis. Hamba tidak tahu apa pegangan agama sebenar penulis walaupun wataknya digambarkan beragama Islam kerana ada babak bersolat serta sebutan kalimah Allah dalam beberapa dialognya. Tetapi sesungguhnya mati itu telah memutuskan kelazatan kehidupan dunia dan episod selepas mati tidak mungkin sama seperti apa yang penulis tuliskan.

Mungkin ada pengaruh Harry Potter dalam beberapa adegan di banglo itu apabila tangganya boleh bergerak dan watak-watak boleh memasuki potret yang disifatkan umpama pintu yang boleh membawa ke tempat lain.

Secara tiba-tiba novel ini tiba ke penghujungnya. Maya sebenarnya koma kerana kemalangan dan apa yang berlaku sebelum itu hanyalah halusinasinya sahaja. Huh! bagaimanakah dia berhalusinasi sebagai seorang penulis novel yang juga berhalusinasi dengan pelbagai perkara dalam menulis novelnya. Walaupun penulis mempunyai kebolehan dalam penggunaaan ayat dan gaya bahasa yang baik, novel ini perlu dibaiki lagi perjalanan ceritanya. Tidak perlu terlalu tebal andainya penamatnya itu begitu mendadak dan mengecewakan pembaca.





2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...