Sabtu, 21 Oktober 2023

KOMBO NGERI - Gina Yap Lai Yoong


 

Membaca buku ini bermakna anda akan membaca sebanyak tiga buah novel. Kombo ini menghimpunkan karya Gina Yap Lai Yoong yang bertajuk Ngeri, Mangsa dan Obsesi. Dari segi nilai, membeli kombo ini mungkin agak menguntungkan berbanding membelinya satu per satu. Lagipun pembelian secara kombo membolehkan pembaca menikmati kesemua siri secara terus menerus.

NGERI - Sekumpulan pelajar telah diarahkan oleh pensyarah mereka untuk menghasilkan sebuah skrip filem pendek. Tanda tanya dan misteri timbul apabila skrip yang dihasilkan oleh kumpulan yang terdiri daripada Samuel, Rehan dan Joanne menjadi kenyataan di dunia nyata. Pada awalnya skrip yang dihasilkan oleh kumpulan mereka ditolak menyebabkan Samuel menghasilkan skrip dengan persembahan yang agak ekstrim kerana melibatkan pembunuhan kejam. Skrip ini juga ditolak dengan alasan ia tidak logik. Namun kejadian yang berlaku seterusnya dan 'sebijik' macam skrip yang ditulis oleh Samuel mula menimbulkan persoalan dan seterusnya ketakutan.

Penolakan skrip itu membuatkan Samuel menghasilkan lagi skrip yang lebih ganas, dan misterinya terus berterusan apabila kesemua skrip Samuel selepas itu menjadi kenyataan. Persoalannya, siapakah yang melakukan semua pembunuhan seperti yang tertulis di dalam skrip berkenaan. Adakah Samuel sendiri,  memandangkan beliau sendiri yang menulis skrip dan mengetahui setiap teknik pembunuhan dengan teliti, atau atau orang lain di dalam kumpulan beliau atau juga orang lain yang berpeluang membacanya dan terinspirasi dengan skrip berkenaan. Pada peringkat awal ini, semua petunjuk menghala kepada Samuel atas beberapa sebab. Namun sebagai pembaca hamba tahu ini tidak mungkin. Biasanya penulis tidak akan terlalu straight forward untuk terus merungkai segala misteri.

Dalam penulisan buku ini, semua skrip ngeri berkenaan diceritakan secara ringkas sahaja termasuk kejadian pembunuhan yang berdasarkan skrip berkenaan. Hamba sebenarnya mengharapkan ia diterangkan dengan lebih terperinci agar hamba sendiri dapat membuat penilaian sama ada cerita yang dihasilkan itu benar-benar ngeri dan menakutkan. Justeru membaca installasi pertama ini ia tidaklah membangkitkan rasa takut hamba hingga takut nak ke bilik air pada tengah malam.

Ngeri diterbitkan pada tahun 2011 dan Gina menggunakan teknologi yang ada ketika itu untuk menulis beberapa dialog perbualan antara Samuel, Rehan dan Joanne. Banyak perjalanan cerita di dalam Ngeri menggunakan teknik perbualan secara dialog sama ada dialog di dalam group e-mel, chat ataupun telefon. Walaupun ia teknik yang baik dan cuba menunjukkan mood cerita, tetapi apabila terlalu banyak, hamba sendiri mula rasa bosan dengan cara itu.

Tidak sukar untuk hamba mengagak siapa pembunuh sebenar di dalam Ngeri memandangkan watak yang ada tidaklah banyak. Tetapi apabila di penghujung novel, Detektif Hema mula mengesan pembunuh mempunyai rakan subahat, ia mula mendatangkan rasa teruja. Malangnya keterujaan itu dengan segera dibunuh apabila penulis menyambung dengan perenggan yang mendedahkan siapakah persona misteri itu sebenarnya!


MANGSA - Mangsa membawakan kisah yang baharu. Tetapi nanti ia akan berkait juga dengan novel yang sebelumnya. Kami ini hamba melihat gaya penulisan Gina adalah lebih bagus daripada yang pertama. Penceritaan juga berlaku dengan baik sekali.

Kami ini kisah bertumpu kepada watak Nazwan dan Natalia yang mempunyai hubungan secara friends-with-benefits. Maknanya secara kasar, mereka ini cuma kawan rapat, bukannya sepasang kekasih, tetapi mempunyai lanjutan sehingga ke tempat tidur. Apa yang berlaku selepas kejadian di tempat tidur akan berjalan seperti biasa tanpa ada apa-apa.

Sebenarnya hamba jijik dengan watak ini. Ia adalah watak orang Melayu beragama Islam yang digambarkan sangat rendah akhlak dan moralnya. Sudahlah berzina, minuman keras juga seperti air kosong lagaknya. 

Kisah pembunuhan di dalam Mangsa adalah lebih ngeri lagi apabila mangsa diculik, diletakkan sebilik dengan ular sawa boa dan mereka dirakam saat-saat kematiannya secara lansung. And guess what, rakaman ini dilakukan oleh orang yang sama di dalam Ngeri. Beliau sudah ketagih untuk merakamkan aksi ngeri sedemikian.

Natalia yang bercuti di sebuah homestay telah hilang dan menjadi salah sorang mangsa yang akan diletakkan di dalam arena bersama ular sawa ini. Watak Detektif Hema masih lagi muncul sebagai insan yang yang benar-benar mahu menangkap pembunuh utama kes Ngeri.

Kes kehilangan ini berjaya diselesaikan, namun pembunuh utamanya masih bebas!!


OBSESI - Perkataan atau tajuk obsesi ini sebenarnya merujuk kepada Hema. Hema telah berhenti daripada perkhidmatan polis namun masih lagi obses untuk memburu pembunuh kes Ngeri. 

Kali ini semua watak utama di dalam Ngeri muncul kembali, termasuk juga watak Nazwan dan Natalia. Namun kali ini pembunuhnya menyasarkan Samuel kerana rasa cemburu dengan kejayaan yang beliau miliki. Secara kebetulan ketika usaha ini dilakukan, Nazwan dan Natalia muncul secara tidak dirancang di hadapan sang pembunuh yang terus melakukan penculikan terhadap anak luar nikah mereka.

Watak utama di dalam installasi ketiga ini adalah Hema sendiri yang begitu serius dan obses memburu sang pembunuh. Walaupun terpaksa menggunakan dana sendiri, menghadapi kejadian yang mampu meragut nyawanya, Hema ternyata tidak berputus asa.

Dipendekkan cerita, pembunuh sebenarnya tumpas di tanagn polis dan kehilangan nyawanya. Namun Gina mungkin bakal melahirkan seorang pembunuh baharu lagi!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...