Sabtu, 21 Oktober 2023

USTAZAH BASIKAL, KEMBARA MUSTAHIL KE MEKAH - Ahmad Isa


 

Sewaktu Ustazah Basikal mula diterbitkan, hasrat untuk memilikinya sudah ada. Tapi hamba terpaksa menahan diri apabila melihatkan harganya yang agak tinggi. Hamba memutuskan untuk menunggu, manalah tahu harganya akan turun. Namun kemudian hamba dapati penerbitan Karangkraf turut menerbitkan buku ini dengan harga yang lebih murah. Hamba mendapat harga yang lebih murah lagi apabila membelinya secara kombo di Jualan Gudang Karangkraf kira-kira sebulan yang lalu. Cuma hamba tidak tahu adakah isi kandungan di dalam buku terbitang Karangkraf ini adalah 100% sama dengan terbitan asalnya, sama ada daripada sudut isi ataupun gambar yang dipaparkan.

Agak menarik apabila ibu bapa saudara Ahmad mensyaratkan untuk beliau bernikah terlebih dahulu sebelum beliau memulakan kembara secara berbasikal. Ia bukan sahaja cabaran untuk mencari isteri yang sekufu tetapi juga untuk mencari isteri yang memahami akan cita-cita ini dan kalau boleh bersama menyertainya. Akhirnya Ahmad bertemu jodoh dengan pasangan yang dipilih sendiri oleh ibunya.

Buku ini tidak tyerus menceritakan tentang kembara Ahmad dan Adila. Ia bermula secara ringkas tentang hobi beliau yang suka mengembara diikuti dengan peringkat awal kehidupan bekerja, hobi berbasikal, berumah tangga sehinggalah datangnya idea besar ini yang membawa kepada persiapan yang giat.

Bukan mudah untuk berjalan di negara orang apatah lagi dengan hanya berbasikal yang memerlukan tenaga dan semangat yang kuat. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan diperingkat persediaan untuk mengumpulkan sebanyak mungkin dana pembiayaan, namun akhirnya di hari pelepasan mereka hanya mempunyai sebanyak RM1900 sahaja! Wang yang ada sebelum ini telah banyak dihabiskan untuk usaha persediaan. Namun mereka tetap nekad untuk meneruskan usaha kembara mereka untuk berbasikal menuju ke Makkah. Di sini hamba dapat lihat betapa tingginya tawakkal mereka.

Kembara mereka memasuki bumi Thailand, walaupun ada kesukaran, tetapi hamba melihat mereka masih belum benar-benar teruji. Ini kerana di Thailand masih banyak masyarakat Islam. Di setiap destinasi yang mereka tujui akan ada masjid yang membolehkan mereka untuk berhenti rehat dan sebagainya.

Kesusahan mereka sebaik sahaja memasuki Myanmar. Jika di Thailand mereka boleh sahaja bermalam di akwasan masjid, tetapi di Myanmar, usahkan di masjid, di rumah penduduk tempatan juga mereka tidak boleh bermalam. Jika kedapatan, mereka dan tuan rumah boleh dipenjarakan!

Oleh itu mereka terpaksa bermalam di hotel, sekaligus membimbangkan mereka kerana akan menyebabkan mereka kekurangan simpanan. Di Myanmarlah bermulanya mereka mula terpaksa memberanikan diri untuk berkhemah di kawasan tersorok dalam perjalanan. Perkhemahan di kawasan sebegini pula kerap mendatangkan kebimbangan sekiranya ada orang yang berniat jahat ataupun binatang buas dan berbisa. Tetapi pengalaman pertama ini dan seterusnya telah menjadikan ustazah Adilah semakin berani.

Di Myanmar masih ada masjid. Dan antara sebuah masjid yang mereka singgah di sini adalah sebuah masjid yang jemaahnya hanya menerima Al-Quran tetapi menolak hadith. Golongan anti hadithlah kiranya. Jika di Malaysia agak mudah untuk mengekang golongan sebegini kerana kita masih mempunyai pihak berkuasa agama. Tetapi bila di Myanmar agak susah sedikitlah kerana tiada pemantauan.

Walaupun sebelum memasuki Myanmar, mereka ada ditakutkan dengan kisah pembunuhan terhadap orang Islam, mereka tetap nekad untuk memasukinya kerana tidak yakin dengan kisah sebegitu. Ternyata telahan mereka benar apabila sepanjang kembara di Myanmar banyak sahaja orang Islam yang ditemui termasuk masjid. Mereka yang menjadi mangsa junta ini hanya orang Rohingya sahaja yang secara kebetulan beragama Islam juga. Justeru bukanlah semua orang Islam di Myanmar itu berbangsa Rohingya kesemuanya.

Satu yang hamba kagum dengan pasangan ini ialah kegigihan mereka mencari masjid di perjalanan. Mereka bukan semata-mata menjadikan masjid sebagai tempat rehat dan bermalam tetapi juga untuk beribadat. Mereka akan bersolat di masjid dan apabila waktu pagi akan bangun lebih awal sebelum orang masuk ke masjid lagi. Pada hari Jumaat pula hamba lihat saudara Ahmad sebolehnya mahu berjemaah di masjid.

Perjalanan ke India menggunakan jalan darat tergendala apabila sempadan ditutup kerana ada kejadian rusuhan. Mereka tiada pilihan selain terpaksa menggunakan jalan udara. Buku ini berhenti di sini sebelum diteruskan ke jilid yang seterusnya!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...