Ahad, 22 Oktober 2023

USTAZAH BASIKAL DAN DUA MALAIKAT PENJAGA GUNUNG - Ahmad Isa




 

Dalam jilid kedua ini, pasangan Ahmad dan Adila merentasi India, Nepal dan Pakistan pula. Kali ini perjalanan kedua mereka sememangnya amat mencabar dan sukar. Walau bagaimanapun dalam setiap kesukaran yang ditempuhi, akan ada kesenangan yang bakal menyusul.

Seperti yang pernah hamba nyatakan ketika mengulas buku yang pertama, pasangan ini kerap mencari masjid dalam setiap destinasi yang mereka singgahi. Begitu juga dalam perjalanan kali ini. Cuma kali ini masjid yang mereka singgahi adalah mereka yang mengikuti Mazhab Hanafi di mana kaum perempuan mereka tidak bersolat di masjid. Justeru tiada ruangan solat untuk wanita termasuk kemudahan tandas atau tempat berwudhuk.

Walaupun mengetahui akan hal ini, setiap kali singgah, Ahmad tetap akan bertanya sekiranya isteri beliau boleh bersolat di masjid. Jawapannya adalah sama sahaja. Namun kerana bertanya inilah akan ada jemaah yang memberikan Adilah ruang untuk bersolat di rumah mereka. Kadangkala persinggahan ini memberikan pula mereka rezeki yang lain seperti makan dan tempat tinggal.

Negara Nepal, walaupun bukanlah sebuah negara Islam, tetapi pasangan ini tetap berjaya mencari masjid untuk singgah. Terima kasih atas bantuan teknologi hari ini yang amat memudahkan pengembara untuk mencari lokasi yang mereka cari. Sebagaimana orang Islam di India, muslim di Nepal juga tidak keberatan untuk menghulurkan bantuan.

Kisah pengembaraan di Pakistan mungkin mengisi sebahagian besar penulisan di dalam buku ini. Selain daripada menyajikan pengalaman menarik melalui dan menziarahi kawasan yang cantik, Ia adalah bab di mana pasangan ini menghadapi ujian yang lebih berat. Perjalanan yang jauh, jalan yang tidak sempurna dan terpaksa melalui kawasan yang berbukit serta menghadapi udara yang sejuk. Di Pakistan jugalah Adila jatuh sakit sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Tetapi pengalaman di Pakistan ini memperlihatkan akan baiknya hati budi orang Pakistan ni ketika melayan tetamu mereka, tidak terkecuali anggota keselamatan seperti polis dan tentera. Bacalah bagaimana mereka seakan mendapat layanan VIP daripada pihak tentera apabila mengharungi lebuhraya Karakoram.

Di Pakistan mereka keran mendapat makanan dan tempat tinggal percuma. Paling kurangpun pihak hotel memberikan mereka ruang di dalam halaman mereka untuk pasangan ini mendirikan khemah untuk tidur. Bukan itu sahaja, bil rawatan Adila di hospital juga dibayar oleh mereka. Ahmad yang sudah kerisauan kerana mengenangkan duit yang tidak seberapa, mampu bernafas semula atas baik budi orang Pakistan ini. Bahkan ada juga mereka yang baru dikenali memberikan wang perbelanjaan di luar jangkaan mereka.

Buku Ustazah Basikal keluaran Karangkraf ini terhenti di sini buat setakat ini. Hamba harap Karangkraf akan menyambung mencetak buku yang seterusnya sehingga tamat pengembaraan. Jikalau tidak mungkin hamba terpaksa membeli naskhah terbitan asal yang sedikit mahal tetapi telahpun sampai ke penamatnya.


.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...