Isnin, 25 Disember 2023

IBNU YAQZAN, CERITA TERAWAL TENTANG TARZAN - Ibnu Tufail Al-Andalusi


 

Hamba percaya bahawa anda semua pernah mendengar, membaca atau menonton kisah mengenai Tarzan, Mowgli dan Robinson Crusoe. Kesemuanya adalah hasil karangan orang barat yang berkait dengan kehidupan manusia di belantara secara bersendirian ataupun bersama haiwan. Namun tahukah anda bahawa kesemua kisah berkenaan adalah diinspirasikan daripada kisah Hayy ibnu Yaqzan yang ditulis oleh Ibnu Tufail Al-Andalusi lebih 800 tahun yang lalu!

Naskhah ini adalah hasil terjemahan Wan Rusli Wan Ahmad. Beliau tidaklah menterjemahkan keseluruhan teks asal bahkan telah meringkaskannya bagi disesuaikan untuk tujuan pengajaran bahasa Arab. Memandangkan Ibnu Tufail adalah seorang ahli falsafah, karya asal beliau sebenarnya sarat dengan unsur berkenaan. Unsur falsafah ini telah banyak ditinggalkan oleh Wan Rusli dan hanya memfokuskan tentang kisah Hayy sahaja.

Memandangkan naskhah ini bertujuan untuk pengajaran bahasa Arab, ia datang dalam bentuk dwiteks iaitu bahasa Arab diikuti tejemahannya di dalam bahasa Melayu. Sebagai seorang yang pernah mempelajari bahasa Arab, hamba agak selesa dengan gaya persembahan buku ini. Ia membantu hamba memahami perkataan yang tidak hamba ketahui maknanya. Hamba juga mendapati Wan Rusli tidaklah menterjemahkan perkataan demi perkataan, namun lebih kepada penterjemahan keseluruhan ayat yang lebih sesuai dengan bahasa Melayu.

Seorang adik perempuan kepada raja telah menghanyutkan anaknya ke laut kerana bimbang berlaku sesuatu kepada bayinya. Ini kerana abangnya tidak suka beliau mempunyai pasangan hidup dengan alasan tidak ada lelaki yang sekufu dengan adiknya. Adik beliau telah berkahwin secara rahsia sehingga melahirkan seorang bayi.

Bayi yang hanyut di sebuah pulau itu akhirnya dibela oleh seekor rusa. Begitulah seterusnya perjalanan bayi ini sehingga dewasa dan sehingga menemui manusia seperti beliau bernama Absal.

Seperti yang hamba sebutkan tadi, kisah ini sebenarnya sarat dengan falsafah. Ia juga sarat dengan pemikiran. Hayy yang melihat kematian rusa yang memeliharanya berfikir kenapa ibunya itu mati. Puas dicari puncanya tetapi tidak kedapatan. Beliau merumuskan ada sesuatu yang telah keluar daripada jasad ibunya itu yang menyebabkannya mati. Banyak lagi unsur pemikiran yang mendatangi Hayy sehingga beliau dapat berfikir dengan baik dan menyelesaikan beberapa perkara seperti membuat pakaian, tempat kediaman, memasak makanan dan sebagainya.

Kisah Hayy ini juga mempunyai unsur atau kisah yang diinspirasikan daripada kisah para nabi. Contohnya kisah beliau dihanyutkan ke laut adalah seperti kisah Nabi Musa yang dihanyutkan ke sungai Nil. Begitu juga apabila Hayy mendapat idea bagaimana mahu menguburkan ibunya yang telah mati dengan melihat perlakuan dua ekor gagak yang bertarung sehingga salah seekornya mati. Seekor yang hidup itu telah menggali lubang dan menguburkan gagak yang mati. Kisah ini sama seperti kisah anak nabi adam iaitu Habil dan Qabil.

Pertemuan Hayy dan Absal juga adakah kisah tentang pencarian manusia akan Tuhan, cuma dalam buku ini ia dikisahkan dengan amat ringkas sekali. Unsur pencarian Tuhan ini juga tidak anda jumpa di dalam kisah Tarzan, Mowgli dan Robinson Crusoe.

Buku ini diakhiri dengan beberapoa perkataan di dalam teks Arab yang diberikan makna atau penjelasannya juga di dalam teks Arab. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...