Rabu, 6 Disember 2023

MEMOIR RASHIDAH ISMAIL PENDETA ZA'BA DAN KISAH SILAM


Hamba memang tidak mengenali diri Rashidah Ismail ini. Satu-satunya sebab hamba membeli memoir ini adalah kerana hamba menyangka bahawa keseluruhan buku ini adalah memoir beliau bersama Pendeta Za'ba yang juga merupakan bapa saudara Rashidah yang beliau sendiri panggil sebagai Pak Long.

Rupanya tidak begitu. Kenangan bersama dengan Pendeta Za'ba hanya merangkumi sebahagian kecil sahaja dalam buku ini. Bermakna secara keseluruhan buku ini adalah rangkuman memoir Rashidah sendiri. Tulisan di dalam buku ini sebenarnya adalah himpunan tulisan beliau di dalam majalah Jelita di antara tahun 1985 sehingga 1992. 

Pengantar buku ini diberikan oleh Azah Aziz (isteri Profesor Di-Raja Ungku Aziz) yang telah menghidangkan permulaan yang baik apabila memuatkan kisah panggilan telefon oleh Rashidah pada satu malam yang agak lewat memaklumkan tentang pemergian Pendeta Za'ba. Azah turut menceritakan sedikit pengalaman beliau yang pernah bertugas dengan beliau sewaktu berkhidmat di Universiti Malaya.

Ada 11 bab dalam bahagian 1 yang khusus tentang memoir Rashidah bersama Pendeta Za'ba dan ahli keluarga beliau yang lain. Walaupun Rashidah ini anak saudara Pendeta Za'ba tetapi beliau telah dipelihara sebagai anak angkat dan tinggal lama dengan Za'ba. Justeru kisah beliau ini agak ekslusif bagi hamba kerana ia adalah kisah Za'ba dari sisi yang lain.

Memoir ini bagi hamba ia bukanlah sekadar kisah Rashidah semata-mata. Memoir ini juga adalah satu rakaman sejarah. Ini memandangkan Rashidah yang lahir sekitar 30an pernah melalui perit kehidupan di zaman Jepun. Ada bahagian khusus yang menceritakan pengalaman beliau di zaman Jepun ini.

Selain itu apabila beliau menceritakan kisah zaman kanak-kanak dan remaja beliau pula, beliau sebenarnya menceritakan tentang zaman itu sendiri, zaman lalu yang saya dan ramai orang hari ini tidak pernah melaluinya. Ini termasuklah aktiviti remaja ketika itu, kesukaan mereka, pelakon pujaan, sambutan hari raya dan lain-lain lagi. Gambaran mengenai Kuala Lumpur (khususnya Kampung Bharu) dan Singapura masa lalu pastinya sukar itu kita bayangkan lantaran terlalu banyaknya perubahan yang berlaku.

Rashidah juga berkisah tentang pengalaman beliau menjadi wartawan yang pernah bernaung di bawah dua penerbitan besar iaitu Utusan Melayu dan Berita Harian. Memandangkan tulisan ini asalnya adalah untuk siaran majalah, ada juga tulisan yang menyatakan pandangan beliau terhadap isu semasa ketika itu ataupun perilaku masyarakat yang berbeza dengan masa lalu.

Hamba menggalakkan para pembaca untuk membaca buku ini khususnya bagi mereka yang mahu mendapatkan gambaran tentang negara kita dan masyarakatnya pada masa lalu. Ingat kata hamba, buku ini bukan sekadar memoir penulisnya bahkan ia adalah catatan sejarah silam negara!


KENITRA ditulis dengan semangat
yang sama untuk mencatat sejarah
semasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...