Sabtu, 23 Disember 2023

KOYAK - Aini Bakar


 

Barangkali jika dilihat kepada susuk penulisnya, kita pasti tidak menyangka KOYAK ditulis oleh Aini Bakar. Aini yang hamba temui di SIBF 2023 berpenampilan sopan mirip seperti ustazah. Mungkin gaya yang sesuai bagi buku berbentuk kewanitaan, cinta ataupun healing. Tetapi KOYAK adalah sebuah karya yang woooooooooooooooooooooooooowww!! Ia adalah sebuah novel aksi yang tidak ramai penulis mampu menghasilkannya apatah lagi seorang penulis wanita. Namun Aini telah membuktikan gender dan penampilan bukanlah penentu baik atau tidaknya sesebuah karya. Dan ternyata naskhah KOYAK ini adalah buktinya.

Melalui kulit depannya serta sinopsi di kulit belakang, novel ini membayangkan tentang kisah para penggodam. Tapi hamba melihatnya lebih daripada itu. KOYAK adalah kisah kepolisian, tanpa perlu banyak menampilkan aksi polis itu sendiri. Sebaliknya menampilkan barisan penggodam yang [terpaksa] berkhidmat dengan PDRM dalam membongkar beberapa kes besar dengan menggunakan kemahiran IT yang mereka ada. 

Agak menarik walaupun sejak awal pembaca disajikan dengan keakraban mereka di alam maya, secara realitinya ada di antara mereka yang tidak pernah bertemu muka lansung. Bahkan mereka hanya dikenali melalui nama samaran sahaja.

Seorang hacker bernama Berns telah mengambil peluang berada di dalam kumpulan ini bagi menyiasat tentang kematian ayahnya yang dipercayai didalangi oleh individu berpengaruh dalam Perusahaan Sarif. Dalam hal ini Aini bijak memperdaya para pembaca sehingga kita tidak menyangka siapa watak yang sebenarnya di sebalik nama-nama yang dipaparkan. Begitu juga dengan beberapa plot twist yang kadangkala menumbulkan kejutan buat pembaca. Aini terus membiarkan pembaca berteka teki tetapi persoalan yang berlegar di kepala pembaca ini akan terjawab juga nanti.

Agak menarik apabila kes jenayah di dalam KOYAK ini selain diselesaikan dengan cara penyiasatan biasa, turut melibatkan penggunaan teknologi canggih oleh para penggodam. Ia juga menunjukkan perana media sosial yang walaupun kelihatan baik tetapi kadangkala amat keji dan boleh menipu. Hacker yang jahat juga boleh menyalahgunakan teknologi untuk membunuh karakter seseorang dan sekaligus memusnahkan hidup mereka. Namun ia juga boleh digunakan dengan cara baik untuk manfaat sejagat.

Hamba kira Aini meninggalkan persoalan kepada pembaca di dalam bab akhirnya. Semua penjenayah ini terlepas lari apabila black maria yang membawa mereka terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah Proton Saga Hitam. Adakah itu Proton Saga yang sama dipandu oleh Adam waris perusahaan Hamdan? Kalau benar, KOYAK belum berakhir lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...