Isnin, 11 Disember 2023

MELAYU DI MATA RAFFLES , SEBUAH KRITIK KEPADA ORIENTALISME - Khairudin AlJunied


 

Suatu hari sedang hamba melayari muka buku, hamba tertarik dengan satu posting seorang kawan yang memaparkan sebuah poster tentang pemberian buku percuma bertajuk Melayu Di Mata Raffles. Ia hanya diberikan percuma kepada pengunjung Toko Buku Pujangga Baru yang terletak di Menara Mutiara Majestic, Petaling Jaya. Tarikh yang diberikan juga singkat iaitu dari 23-26 November sahaja. Berpakat dengan seorang rakan, kami menggunakan sedikit waktu selepas solat Jumaat untuk berkunjung ke lokasi tersebut.

Walaupun bangunan Menara Mutiara Majestic ini kelihatan gah berdiri tinggi, tetapi apabila melangkah ke dalamnya hati hamba mula tertanya-tanya adakah betul tempat yang hamba kunjungi lantaran melihat lot-lot kedai yang tertutup kesemua pintunya. Namun hati hamba menjadi lega apabila melihat toko buku yang ingin dikunjungi beroperasi pada waktu tersebut.

Memang benar, toko buku ini ada memberikan secara percuma buku tersebut. Pengunjung hanya perlu mencatatkan nama mereka dan jumlah naskhah yang diambil sahaja. Oleh itu di kesempatan ini hamba ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih di atas pemberian naskhah ini. Walaupun premis ini kecil sahaja, mata hamba lekas sahaja menangkap buku-buku lkain yang berada di rak pameran. Ternyata toko buku ini turut menjual naskhah buku-buku lama yang sukar untuk di dapati di tempat lain. Yang nyata harga yang ditawarkan juga adalah harga collector dan bukannya harga biasa.

Di atas kulit buku Melayu Di Mata Raffles ini ada tercatat perkataan 'Inisiatif Belanjawan 2023" diikuti lambang tiga buah penerbit buku besar di Malaysia. Hamba tidak mengetahui mengenai inisiatif lantas cuba mencari maklumat melalui carian Google. Ternyata di bawah inisiatif ini kerajaan memberukan dana khas kepada tiga buah penerbitan ini untuk mengeluarkan buku dan diedarkan kepada khalayak. Ada pelbagai tajuk sebenarnya yang dikeluarkan, dan inilah salah satunya berada di tangan hamba.

Penjajah bernama Raffles ini boleh jadi menjadi satu figura suci di negara jiran. Beliau dianggap sebagai pengasas Singapura walaupun kita mengetahui Singapura telah lama diasaskan lama sebelum beliau lahir lagi. Buku ini adalah tesis sarjana penulis di National University of Singapore dalam bahasa Inggeris bertajuk Rethinking Raffles : A Study Of Stamford Raffles  Discourse On Amongst Malays (2005). Walaupun tajuk terjemahan Melayunya membayangkan pandangan Raffles mengenai orang Melayu, kajian ini sebenarnya telah dikecilkan kepada pandangan Raffles terhadap orang Melayu daripada sudut agama Islam, Hindu-Buddha, pagan dan Kristian.

Ternyata pandangan Raffles terhadap agama boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Walaupun pada mulanya beliau melihat kemulian Islam yang menjadi anutan porang Melayu, dengan berlalunya masa beliau mula memberikan pandangan yang berbeza. Antaranya beliau melihat Islam telah memundurkan orang Melayu berbanding ketika mereka masih berada dalam agama Hindu-Buddha. Pandangan itupun sekadar dibuat kerana agama berkenaan ada meninggalkan tanda-tanda sejarah yang dilihat sebagai satu tamadun dan kemajuan seperti tinggalan-tinggalan candi. Bahkan lebih melampau lagi apabila beliau melihat orang pagan adalah lebih baik daripada Melayu Muslim.

Semestinya Raffles memandang agama Kristian adalah yang terbaik. Namun walaupun orang Melayu beragama Kristian, Raffles akan tetap memandang mereka sebagai umat kelas dua! Raffles tidak dilihat sebagai seorang yang warak. Beliau bolehlah diangggap sebagai penunggang agama juga kerana menggunakan Kristian untuk menguatkan kekuasaan Inggeris di sebelah timur.

Bercerita mengenai Raffles, kita tidak dapat lari daripada turut membicarajkan tentang Munsyi Abdullah. Munsyi Abdullah telah mengundang kritikan atas kerka-kerja beliau menyterjemahkan Injil ke dalam bahasa Melayu. Dalam nota kaki penulis di mukasurat 103 mengenai Munsyi Abdullah, satuy catatan mengenai figura ini agak mengejutkan hamba. Tulis Khairuddin -


 'Terdapat perdebatan dalam kalangan sejarawan tentang kecenderungan Abdullah terhadap Kristian. J.A. Bethune Cook memaklumi bahawa Abdullah telah meninggal sebagai seorang Kristian. Anthony Milner memurnikan pendapat ini dengan berhujah bahawa Abdullah mungkin sahaja tertarik dengan ajaran Kristian namun mengekalkan kepercayaannya. Pandangan ini juga dibincangkan oleh H.F.O.B. Trail yang menegaskan bahawa Abdullah tidak pernah tertarik dengan agama Kristian. Tetapi, dia hanyalah "berminat secara akademik". Selain itu, G.E. Marrisan pula memberikan kesimpulantentang anggapan Abdullah terhadap ajaran Kristian. Marrisan mengemukakan usaha Abdullah dalkam memperbetulkan kesalahan terjemahan kitab Injil oleh mubaligh yang dilihat sebagai satu strategi subversif dalam mengolah "penyimpangan" ajaran Kristian ke arah yang benar, bertentangan dengan ketertarikan Abdullah kepada  ajaran tersebut....'

Selain naskhah percuma, buku ini juga mempunyai cetakan untuk jualan biasa. (nak cari yang percuma sekarang ni rasanya takkan jumpa lagilah!!).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...