Selasa, 22 Disember 2015

ULU YAM DI LIVERPOOL - Nazali Noor




Buku ini seringkali saya lihat apabila mengunjungi sebuah kedai buku di sebuah pasaraya. Tajuknya menarik seakan menggamit hati untuk membacanya. Tetapi ketika itu hati masih belum mahu memilikinya lantaran merasakan di rumah masih banyak lagi buku yang belum di baca.........lagipun kedai tu tak ada diskaun....ha ha ha.

Tapi akhirnya buku ini hamba miliki dan telahpun mengkhatamkannya dua hari yang lalu. Tidak terlalu tebal - 496 mukasurat sahaja - hamba membacanya secara santai - bahkan perlahan - menghayati setiap bab penceritaan. Kata Nazali di awal permulaan buku, - "......Niat saya hanya satu. Semoga cerita-cerita budak kampung dan orang-orang biasa seperti saya menjadi sedikit dorongan pada mereka di luar sana yang ingin menggenggam azam mengubah sempadan potensi diri daripada kepompong kebiasaan dan kemudian mungkin berkata; Hmm....brother tu taklah pandai mana pun, orang kampung macam aku jugak. Cerita dia sama macam apa yang aku lalui sekarang. Kalau dia boleh mesti aku pun sama...."

Hamba rasa apa yang Nazali tuliskan mungkin benar. sememangnya cerita nazali biasa sahaja dan kebiasaan itu juga ada pada kita semua. Tetapi yang membuatkan Nazali istimewa adalah keazaman yang tinggi serta tidak putus asa untuk menggapai impian beliau walaupun antara impian beliau itu telah sangat hampir untuk beliau genggam.

Namun membaca keseluruhan buku ini dapat hamba rumuskan bahawa kejayaan beliau hari ini adalah kerana satu perkara - taat dan sayang kepada ibu tercinta. Hamba merasakan bahawa apa yang beliau perolehi hari ini adalah ganjaran di atas khidmat beliau kepada ibunya. Betapa beliau tidak jadi ke Uk kerana ibu, bertukar kerja kerana ibu serta bersegera mencari jodoh kerana ibu. Beliau sering melupakan kepentingan diri hanya kerana mendahulukan ibunya. Bahkan saat beliau hampir ke Liverpool apabila ibunya diserang angin ahmar, beliau bersedia untuk membatalkan hijrah tersebut sekiranya ibu tidak mengizinkan. Namun dengan tulus ikhlas ibunya mengizinkan sambil adik beradik yang lain memberikan semangat serta berjanji untuk menjaga si ibu yang sakit. Kerana taat kepada ibulah akhirnya hamba boleh katakan Nazali kini mendapat sama rata dua komoditi dalam hidup manusia - masa dan harta.

Apabila Nazali berkisah tentang pengalamannya bertanding di dalam Pesta pantung di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, hamba sedikit teruja kerana hamba bersekolah di sana ketika itu. Hamba memang menuruti pertandingan tersebut cuma hamba tidak ingat sekiranya ada menonton Nazali berpantun. Bahkan beberapa tahun selepas itu hamba juga menjadi sebahagian pasukan pantun sekolah sehingga berjaya menjadi Naib Johan Negeri Sembilan, juga ditewaskan oleh sekolah yang pernah menewaskan sekolah Nazali. Agak menarik apabila Nazali membuat pendedahan bahawa beliau mempunyai hubungan istimewa dengan pemantun utama sekolah berkenaan kemudiannya - dan hamba tumpang simpati di atas terbengkalainya hubungan cinta mereka.

Namun itu semua bukan menjadi hal apabila Nazali akhirnya dikurniakan Allah seorang isteri yang bagi hamba cukup hebat - sabar, setia dan mengharungi susah senang bersama - semua ini kerana faktor tadi - taat kepada ibunda tercinta. Juga dikurniakan cahaya mata yang cerdas kesemuanya menambahkan lagi ni'mat kehidupan yang dikurniakan Tuhan.

Sebagai anak nogori yang juga ada leluhur Minang, hamba bangga dengan Nazali yang juga seorang anak Minang di perantauan, membawa jatidiri anak Minang yang sememang hidupnya perlu merantau untuk sebuah kehidupan.


Rabu, 16 Disember 2015

PERMAINAN MAUT - Helmi Effendy, Aida Adia, Ebriza Aminuddin, Syasya Bellyna



Novel ini asalnya bukanlah pilihan hamba kerana hamba cuma pernah membaca hanya tulisan seorang daripada empat penulisnya iaitu Helmi Effendy. Justeru hamba khuatir tulisan penulis lain tidak akan dapat memenuhi 'nafsu pembacaan' hamba hingga menyebabkan hamba menjadi bosan sepanjang pembacaan. Namun apabila anak hamba telah memasukannya ke dalam bakul belian maka hamba perlu juga membacanya apabila ia telah jadi milik keluarga sendiri. Ternyata telahan hamba betul kerana dari empat orang penulis yang bergabung, hanya dua sahaja  karya yang berjaya menjadikan penumpuan hamba hingga ke tahap maksima.


Permainan Maut - Helmi Effendy

Karya penulis ini diberi penghormatan sebagai tajuk novel ini. Tiada sebarang permainan yang membawa maut di dalam kisah ini walaupun ia bertajuk begitu. Begitu juga tragedi pembunuhan yang berlaku, tidak berbentuk umpama satu permainan seperti yang dapat kita lihat dalam filem 12 Rounds. Satu reunion yang berlansung di kediaman keluarga Hakimy telah berakhir dengan berlakunya beberapa pembunuhan ke atas mereka yang hadir. Pembaca tentunya akan tertanya-tanya pada awal cerita siapa gerangan si pembunuh dan atas sebab apa pembunuhan tersebut dilakukan.

Mengetahui bahawa pembunuhnya adalah Hakimy sendiri tidaklah begitu mengejutkan hamba, tetapi sebab untuk dia membunuh rakan-rakannya pada malam itu kelihatan seperti terlalu mudah. Hakimy yang pernah membunuh seorang wanita bernama Tiara beberapa tahun yang lalu terperanjat apabila seorang yang mempunyai wajah persis wanita berkenaan muncul pada majlis reunion berkenaan. Kata Hakimy, "Aku ingat kau ialah hantu Tiara yang datang untuk beritahu tentang kesalahan aku pada semua kawan aku pada malam reunion ni. Sebab tu aku bunuh semua kawan kita. Aku takut yang kau akan beritahu mereka......."

Kalau difikir-fikir, kenapa perlu bersusah payah hendak membunuh orang lain yang belum tentu mengetahui rahsia tersebut. Lebih elok ditumpukan kepada usaha untuk membunuh Tiara aka Trisya itu sendiri. namun dalam kesemua pembunuhan itu terdapat satu pembunuhan yang memusykilkan hamba. Kematian Akma kerana terjatuh dari tingkat empat rumah berkenaanmenjadi misteri kerana tidak diketahui siapa pembunuhnya. Ini kerana Hakimy si pembunuh utama tidak berada di tempat kejadian, dia berada bersama-sama rakannya yang lain ketika itu. Walaupun mereka yang di bawah ternampak kelibat seperti Tiara/Trisya namun watak itu sendiri ke majlis berkenaan bukan untuk membunuh sesiapa bahkan tiada pengakuan di akhir cerita.

Cerita yang dibawa Helmi Effendy adalah yang biasa kita ketemui dalam filem-filem Hollywood, sama juga ketika dia menukilkan The Lost World yang mirip dengan penceritaan Jurassic Park. Satu kelebihan Helmi adalah dia pandai bermain dengan watak yang ramai dan tidak menyebabkan pembaca hilang punca kerana terlalu ramai watak yang muncul. Setiap watak utama mempunyai kesudahannya serta persoalan yang terjawab. Secara keseluruhannya cerita ini tidak mengecewakan hamba tetapi penulis perlu juga berhati-hati dengan typing error seperti perkataan antispetic dan anspectic di mukasurat 40 yang sepatutnya ditulis anti septic.


Nenek, Tolong Keluar - Aida Adia


Cerita ini mudah sahaja, berkenaan saka. Terbahagi kepada dua zaman, zaman dahulu dan masa kini. Epised masa lalu menumpukan kepada kehidupan Andika sebagai seorang pemuda. Bagaimana dia kahwin lari dengan Embun Murni, hidup berkeluarga sehinggalah kepada kisah beliau mendapatkan saka bagi hidup mewah. Dalam episod masa lalu ini hati hamba bagai sudah ditambat dan bersedia untuk mengikuti kisah selanjutnya. Tetapi tiba-tiba sahaja ia berakhir dan disambung dengan kehidupan masa kini tentang keluarga Raudhah yang juga merupakan keturunan Andika serta usaha beliau untuk melepaskan diri daripada saka tersebut.

Entahlah, hamba rasa macam potong stim sahaja. Maaflah ya wahai penulis, hamba rasa macam penulis nak cepat habis menulis je. Sudahlah Andika sendiri nampak begitu mudah untuk menerima pelawaan seorang nenek untuk menerima seorang pendamping tanpa berfikir panjang, tiba -tiba terus beralih latar masanya. Hamba lebih suka sekiranya penulis menumpukan pada zaman Andika sahaja kerana hamba yakin banyak yang penulis boleh explore, contohnya tentang adat perpatih yang ada diselitkan sedikit sebanyak.

Apapun, layan jugalah.....



Pena - Ebriza Aminuddin

Cerita ini kadang-kadang buat hamba gelak dalam hati. Banyak sangat unsur mistiknya. Macam cerita Harry Potter pun ada rasanya. Penumpuan cerita adalah kepada watak Farra Fauzana yang pada permulaan cerita nampak begitu naif. Bila bermimpi buruk, nampak takut sangat sampai menangis-nangis. Begitu juga apabila ada akar-akar 'puaka' yang memenuhi rumah beliau hingga beliau sendiri dibelit akar berkenaan dan sukar untuk melepaskan diri sehingga dibantu oleh suaminya. Tetapi tiba-tiba dia menjadi hebat apabila kembali semula ke villanya untuk mendapatkan jawapan terhadap gangguan tersebut. Dia berani menghadapi serangan akar-akar berkenaan, pandai pula membacakan ayat-ayat ruqyah serta tidak lansung gentar. Suaminyapun beliau tak ajak sama, pehhh ajaib sungguh.

Bila ada penceritaan roh orang yang sudah mati diseru semula kembali ke dunia untuk diseksa kerana membalas dendam, hamba merasakan tidak sewajarnya orang Islam menulis sebegitu. Yang mati tetapkan mati, berada di alam yang lain dan tidak mungkin kembali semula ke dunia. Tidak ada roh yang boleh diseru untuk kembali ke dunia, kalau ada dah lama orang bertanyakan pengalaman mereka menghadapi malaikat Munkar dan Nakir atau kubur mereka sempit atau luas. Walaupun hanya sekadar cerita tetapi menulislah selaku orang Islam yang berilmu, jangan terikut dengan mereka yang lain akidahnya. 

Bagi melawan puaka berkenaan Farra perlu mendapatkan sebatang pen yang mempunyai kuasa merealisasikan apa yang dicatat. Pen itu pula tersembunyi di sebuah perpustakaan ghaib. Sekali lagi hamba tergelak di dalam hati membaca kegilaan ini. Apabila penulis menggambarkan pen berkenaan mempunyai semangat tertentu, bagi hamba dah tentu ini satu unsur syirik. Takkan ada malaikat duduk dalam pen, dah tentu makhluk lain. Jadi menggunakan unsur syirik untuk melawan sesuatu yang syirik tentunya tidak boleh diterima akal. Bila ustaz itu sendiri tidak mampu melawan dan bersetuju farra menggunakan pen berkenaan, ustaz itu bukanlah seorang ustaz. Bila ustaz itu boleh pula membuka hijab sebuah perpustakaan ghaib, hamba merasakan umpama penulis telah mewujudkan watak Albus Dumbledore dan bukannya seorang ahli agama. Banyak sangat dah mengarutnya. Dan hamba lebih rasa nak tergelak apabila membaca dialog, "....Rumah ustaz ni tak macam sayang bayangkan. Cantik dan besar pulak tu. Sudah pasti ilmu yang dimilikinya sangat tinggi kan bang?......" Nampaknya kalau ustaz itu rumahnya cantik dan besar mesti ilmunya tinggi. Maaflah dik, tinggi ilmu ahli agama bukan dinilai pada rupa rumahnya, juga bukan tinggi ilmunya kalau dia boleh menghalau jin syaitan. Kalau pandai menghalau pun tapi menghurai hadith tak pandai, hurai tafsir tak tau, kitab ulama' besar pun tak pernah singkap, berguru bertalaqqi dengan ulama pun tak pernah, maka tak ada besar manalah ilmunya.

Ustaz tu pula boleh membantu dari jauh menggunakan angin....pehh memang setaraf Harry Potter dan cerita ini. Membaca siri-siri Mata Tak Berhijab dari seorang yang benar-benar boleh melihat alam ghaib pun tak rasa 'fantastic' sebegini....



Malam Ogos - Syasya Bellyna

Komen hamba - Syasya Bellyna pandai menulis!!

Kisah Malam Ogos boleh hamba kategorikan berunsur thriller. Walaupun hamba tidak pernah membaca mana-mana tulisan beliau sebelum ini, Malam Ogos antara tulisan yang berbaloi untuk dibaca. Jalinan antara watak-wataknya dibuat dengan cantik serta tidak mengusutkan penceritaan. 

Kisah Farhan yang menyewa sebuah taman tema selama satu malam bagi meraikan hari lahir Nayang, yang turut disertai oleh Khairul dan Ganesan. Hamba terfikir mesti Farhan ini melampau kayanya sehingga mampu menyewa sebuah taman tema untuk kegunaan khas mereka sahaja. Selepas itu berlakulah beberapa peristiwa yang berjaya digarap dengan baik oleh penulis. 

Hamba tak mahu komen lanjut tentang tulisan Syasya ini, nanti spoil mood anda. Layan saja......



Selasa, 8 Disember 2015

BRUCE LEE THE CELEBRATED LIFE OF THE GOLDEN DRAGON - Edited by John Little



Siapa yang tidak kenal dengan nama Bruce Lee. Lebih-lebih lagi bagi peminat dan pengamal seni bela diri nama ini tentunya sering dikaitkan dengan kehebatan dan kelincagannya beraksi di dalam filem. Dilahirkan pada tahun 1940 - year of the dragon - dan meninggal dunia pada tahun 1973, satu usia yang cukup muda. Namun walaupun pergi dalam usia yang muda, apa yang telah beliau lakukan ketika hidup menyebabkan namanya masih lagi disebut sehingga ke hari ini.

Buku ini memuatkan tulisan yang diambil daripada perkataan Bruce sendiri diiringi dengan banyak gambar ekslusif terutamanya gambar beliau ketika kecil serta zaman muda beliau. Jika diteliti, kebanyakan perkataan Bruce penuh dengan unsur falsafah terutamanya yang berkaitan dengan seni bela diri yang diasaskannya iaitu Jeet Kune Do. Walaupun mempelajari seni Wing Chun daripada Grand Master Yip Man, beliau tidak terlalu cenderung dengan gaya berlawan yang banyak 'bunga-bunga'nya. Kerana itu kita lihat gaya aksi beliau di dalam filem lebih cenderung kepada street fighting dan tidak banyak bunga kuntaunya seperti yang dilihat dalam filem-filem kungfu lama. Kerana perubahan gaya permainan itu jugalah yang mencipta kelainan di dalam persembahan seni bela diri di dalam filem ketika itu sehingga menjadi satu fenomena baru.

Buku ini hamba beli di pameran Big Bad Wolf 2015 yang sedang berlansung sekarang sehingga 14 Disember nanti. Menawarkan harga yang berpatutan dan menjadi carian utama hamba tempohari. 


Rabu, 2 Disember 2015

TOWN MALL - Hasrudi Jawawi



Hasrudi Jawawi mengambil inspirasi sebuah bangunan pusat perniagaan yang pernah terbengkalai untuk menghasilkan novel ini. Bangunan yang terletak di Seremban itu dikatakan mempunyai misteri yang tersendiri sehingga kisahnya pernah tercatat di akhbar serta di ruang-ruang blog. Walaupun Hasrudi menggunakan nama Town Mall sebagai gelaran untuk nama bangunan ini, berkemungkinan mengelakkan berlakunya isu tuntutan dan sebagainya di kemudian hari, namun beliau secara nyata memaklumkan nama sebenar bangunan tersebut di dalam ulasannya. Dalam penceritaan novel ini juga dengan jelas penulis melakarkan duduk letak bangunan ini termasuk penceritaan bangunan yang ada berhampiran dengan mall tersebut.Bahkan beliau juga turut memberikan 'iklan' percuma kepada beberapa buah perniagaan yang ada di dalam bangunan berkenaan yang dikatakan turut menjadi penyewa di dalam town mall. 

Novel ini terlalu tebal bagi hamba. Hamba bermula dengan lancar membaca novel ini namun di pertengahan rasa bosan mula menghinggapi. Terasa seperti cerita ini sengaja dipanjang-panjangkan dengan meletakkan banyak 'bunga-bunga penceritaan' di dalamnya. Secara ringkas, telah terjadi satu pembunuhan di bangunan tersebut di mana mayat seorang wanita telah ditanam di dalam sebuah dinding bangunan. Semenjak itu beberapa kejadian misteri telah berlaku seperti kematian serta banyak aral yang menyebabkan pembinaan bangunan tersebut tertangguh. Selepas 10 tahun pembinaan disambung semula dan menyaksikan berlakunya kembali beberapa gangguan. Gangguan telah terjadi kepada beberapa individu yang dikatakan pernah melihat pembunuhan tersebut tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan wanita berkenaan.

Kesian juga dengan mereka yang menjadi mangsa hanya kerana mereka pernah menjadi saksi peristiwa tersebut. Sedangkan individu yang bertanggungjawab membunuh serta menyimen mayat ke dalam dinding tidak menerima apa-apa gangguan. Tidak tercatat di mana-mana dalam novel ini individu yang menjadi culprit menerima sebarang gangguan bahkan siapa mereka turut menjadi misteri sehingga ke akhir cerita walaupun nama ketua mereka ada disebut pada akhir cerita. Maknanya 'hantu' berkenaan membalas dendam bukan pada orang sepatutnya walaupun tiga orang yang menganiaya beliau berada di dalam kedudukan dekat dengannya. Sedangkan mangsa-mangsa yang lain berada boleh dikatakan agak jauh dari tempat kejadian, kecuali watak Rusdi yang pada asalnya salah seorang daripada culprit bertiga tetapi menarik diri pada saat akhir, terutamanya watak Ariani yang hanya berada di luar bangunan tersebut semasa kejadian.

Kadang-kadang melihat perhubungan watak dalam novel ini keadaannya seperti Keluarga 69. Ada empat beradik iaitu Akma, Rezuan, Zairul dan Marini. Kesemuanya merupakan adik kepada wanita yang dibunuh. Zairul mempunyai kekasih bernama Ariani. Ariani merupakan orang atasan kepada Redzuan. Akma merupakan watak misteri pada awal cerita yang penulis lakarkan sekejap macam hantu dan sekejap tidak yang kerap 'mengganggu' watak Rusdi yang juga dikenali oleh Ariani sebagai rakan kerjasama dalam pembangunan Town Mall. Zairul mengenali watak Yusof apabila kerap menemani Mawar ke kedai buku dan Yusof merupakan rakan baik Marini. Redzuan juga kerap ke gym yang menjadi tempat bekerja Adha yang juga rakan baik Marini. Walaupun dihubungkan sedemikian rupa, watak ini tidak mengenal antara satu sama lain. Andainya Hasrudi tidak buat hubungan sedemikianpun rasanya jalan cerita tidak akan rosak sebab kaitan sedemikian tidak membawa apa-apa kepada hamba. Ini kerana hamba lebih ingin melihat pengakhiran yang berlaku kepada para pembunuh bukannya mereka yang tidak sengaja berada pada waktu yang salah.

Sampai satu tahap hamba rasa bosan dengan cara hantu ini mengganggu mangsa-mangsanya. Almaklumlah wataknya ramai dan hantunya sekor tu sahaja. Sebab semua gangguan yang berlaku lebih kurang sama sahaja. Hantu boleh menyamar dan muncul walaupun di siang hari, Orang yang telahpun mati dilihat masih hidup (seperti yang berlaku kepada watak Rusdi dan Ariani), Kalau seram mesti ada ayat air liur terasa kesat bla bla bla, selepas ada gangguan biasanya ada ayat lebih kurang ... dan tanpa mereka sedari ada kelibat seperti pocong merenung dengan muka marah yada yada yada..., dua tiga watak yang ke tandas town mall yang pada mulanya ingatkan ada orang bersama rupanya tiada siapa, tandas kosong lepas tu tandas hujung terbuka sendiri, ada bunyi keriut dan keluarlah apa benda pun yada yada yada.... atau secara ringkasnya perkara yang lebih kurang sama berulang-ulang. Macam dah tak kreatif lansung hantu tu mengganggu manusia. Ini satu cabaran buat penulis yang suka menulis novel yang benar-benar tebal (novel ini melebihi 700 muka surat) agar tidak terlalu kerap mengulangi ayat atau peristiwa juga gangguan yang lebih kurang sama sehingga pembaca sudah boleh mengagak apa yang akan berlaku seterusnya.




PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...