Isnin, 25 November 2019

KOMET MINOR - Tere Liye


Ramalan hamba bahawa watak Batozar (rujuk novel Ceros Dan Batozar) akan muncul semula walaupun telah diledakkan sebelum ini adalah tepat. Beliau muncul dalam siri kali ini dan menjadi antara pendukung utamanya. Batozar muncul berteleportasi menerusi portal cermin yang dibawa Ali di dalam poketnya dan seterusnya membebaskan petualang tiga bersahabat berkenaan daripada cengkaman jaring perak.

Entah kenapa pada buku kali ini hamba merasa telah letih membacanya terutama apabila membabitkan kisah pertempuran. 100 mukasurat awal buku ini lebih banyak menceritakan perjalanan mereka di bumi klan minor yang kelihatan pelik, latihan kekuatan bersama Batozar serta pertempuran dengan cacing pasak yang menyaksikan Seli diracun haiwan tersebut.

Tere Liye apabila menimpakan sesuatu kepada wataknya tidak berbuat saja-saja kerana kekuatan persahabatan untuk menyembuhkan seorang sahabat beserta kekuatan diri untuk bertahan daripada serangan racun tersebutlah yang mendorong tuan Entre memberikan mereka kedudukan pertama cebisan senjata ampuh yang turut diburu oleh Si tanpa Mahkota. Ya setelah hamba dibosankan dengan 100 muka yang pertama, muka-muka surat yang seterusnya kembali membangkitkan adrenalin.

Senjata yang dicari mereka adalah hasil pertukangan Finale. Disebabkan satu peristiwa besar yang pernah berlaku ribuan tahun sebelum itu, Finale telah memisahkan senjata tersebut kepada tiga bahagian dan disimpan oleh tiga personaliti yang berbeza termasuk beliau. Ini kerana senjata tersebut pernah mencetuskan kebinasaan di dunia paralel beberapa ribu tahun yang lalu dan tidak seharusnya disimpan oleh sesiapa. 

Dua lagi bahagian senjata tersebut ada pada Arci dan Kulture. Tetapi untuk mendapatkan kesemua senjata tersebut bukanlah mudah apabila kumpulan petualang ini terpaksa menghadapi beberapa ujian sebelum penyimpan amanah senjata ini bersedia menyerahkannya. Tere Liye bijak menambahkan lagi rasa suspen pembaca apabila Si tanpa Mahkota berjaya merasmpas dua cebisan berkenaan dalam dua pertempuran. Ternyata beliau amat sukar ditumpaskan walaupun Raib, Seli dan Ali beserta Batozar telah menggabungkan kesemua kekuatan mereka.

Pertempuran terakhir mereka berlaku di sebuah kawasan lombong tempat Finale berada. Ia satu pertempuran yang hebat di mana Si Tanpa Mahkota bertemu dengan lawan yang setandingnya. Berbanding Si Tanpa Mahkota yang mempunyai pelbagai trik melawan (pukulan berdentum ,petir, berteleportasi dan sebagainya) lawan beliau kali ini - Finale, hanyalah seorang jaguh tangan kosong! Sekaligus menyampaikan mesej kepada pembaca bahawa seorang yang bijaksana boleh sahaja mengalahkan  musuhnya yang bersenjata.

Ya, Si Tanpa Mahkota akhirnya berjaya merampas cebisan terakhir dan menyatukannya, menjadikan para pembaca sesak nafas menantikan apa yang berlaku. Namun seperti biasa dalam buku-buku yang lalu, Ali sang geniuslah yang akan menyelesaikan masalah ini. Bagaimana? Bacalah sendiri.

Apabila Tere Liye memasukkan nama Ratu Calista dari Proxima Centauri, petualang baru bernama ST4R dan SP4RK serta kucing Raib si putih sebenarnya mempunyai kuasa yang tersendiri, hamba sudah mula mengeluh kerana memikirkan siri ini masih ada sambungannya dan belum lagi berakhir. Jangan risau Si tanpa Mahkota telahpun ditewaskan lewat buku ini. Kesemua nama di atas akan mempunyai novel lain yang terpisah kisahnya - seperti novel Ceros dan Batozar!

Dan jangan lupa, misteri siapa ibu bapa sebenar Raib masih belum terlerai.

Jadi berapa buah lagi buku nak keluar ni...........!!


Ahad, 10 November 2019

KOMET - Tere Liye



Tiada siapa yang tahu di mana kedudukan sebenar Klan Komet, hatta daripada bijakpandai di Klan Bulan, Bintang mahupun Matahari. Tetapi Ali melalui sistem 3D yang dibina pada ILY menjangkakan Klan Komet merupakan salah satu pulau yang berada di klan Matahari berdasarkan sebuah puisi dalam sebuah buku lama. 

Mereka hadir di Klan Matahari saat pertandingan akhir pencarian bunga matahari yang pertama kali mekar sedang berlansung. Agak mengejutkan apabila bunga berkenaan akan tumbuh dan mekar di stadium Klan Matahari. Namun Si Tanpa Mahkota turut mengetahui akan dimana keberadaan bunga tersebut telah hadir bersama bala tenteranya yang membawa kepada pertempuran. Beliau telah berjaya membuka portal menuju ke Klan Komet melalui bunga tersebut yang memaksa ketiga-tiga remaja ini - Raib, Seli dan Ali turut menyusup masuk untuk menghalang Si Tanpa Kuasa.

Portal yang dibuka oleh Si Tanpa Mahkota telah membawa mereka ke sebuah pulau. Pengembaraan mereka selanjutnya akan berlanjutan dari satu pulau ke satu pulau yang akhirnya akan mereka ketahui bahawa gugusan kepulauan itu di kenali sebagai komet. Pada setiap pulau yang mereka singgah itu mereka dipertemukan dengan satu individu yang berlainan namun mempunyai wajah yang sama. Kesemua mereka mendakwa merupakan saudara kembar. Ternyata cabaran yang dihadapi oleh tiga sahabat pada buku kali ini begitu mencabar. Mereka bagaikan bertemu dengan lawan yang sama kuat. setiap serangan mereka dapat dibaca dan menyukarkan mereka untuk menumpaskan lawan.

Namun akhirnya mereka ketahui bahawa semua cabaran yang mereka tempuhi itu tidak lebih daripada satu ujian. Hanya mereka yang mempunyai hati yang tulus sahaja yang akan ditunjukkan jalan menuju ke tempat yang mereka hajati - Komet Minor. Dalam pengembaraan mereka ini, mereka ditemani oleh seorang pelaut bernama Max yang telah mereka selamatkan daripada perompak sewaktu dalam perjalanan ke Pulau hari Selasa. Semenjak itu Max rela mengikut mereka, menjadi pengemudi kapal walaupun tidak dibayar walau sesen. Pada mulanya hamba tidak merasakan apa-apa. Tetapi lama kelamaan watak Max ini mula menimbulkan kecurigaan kepada hamba. Tidak mungkin Tere Liye sengaja mewujudkan watak ini sekiranya lansung tidak mempunyai peranan yang besar.

Dalam cabaran terakhir mereka telah ditunjukkan portal bagi menuju ke Komet Minor. Mereka boleh sahaja lolos dengan syarat perlu mmebunuh Pelaut kay dan isterinya Bibi Nay. Mereka boleh membunuh begitu sahaja dengan Pelaut Kay dan isterinya tidak akan melawan. Dan hamba rasa pembaca boleh meneka dengan mudah bahawa remaja-remaja ini tidak sesekali akan membunuh. Ya mereka tidak akan membunuh dan dengan berat hati mahu sahaja pulang ke klan bumi. Cabaran keikhlasan yang terakhir inilah yang membolehkan mereka melalui portal ini menuju ke sebuah pulau yang sebenarnya sebiji benih raksasa yang kedudukannya di lautan selalu sahaja berubah-ubah.

Dan di sinilah baru terserlah watak Max setelah ketiga-tiganya diperangkap dengan jaring perak. Max adalah Si Tanpa Mahkota yang menyamar! Si Tanpa Mahkota pernah mencuba masuk dua ribu tahun dahlu tetapi gagal dalam ujian terakhir kerana tidak mempunyai hati yang ikhlas. Bahkan sebenarnya bukan mudah untuk menumpaskan Pelaut kay dan Bibi Nay yang mempunyai kuasa luar biasa. Kedua orang tua ini walaupun boleh membaca hati Max tetapi membenarkannya masuk memandangkan dia berada bersama dengan kelompok tiga remaja tadi. Inilah muslihat yang digunakan beliau bagi mencapai hajatnya.

Kini tiga remaja itu tidak mampu untuk meloloskan diri dan Si tanpa Mahkota bisa membuat apa sahaja. Dunia paralel berada dalam keadaan bahaya. Dan ketika inilah Tere Liye sekali lagi menoktahkan novelnya memaksa kita untuk membaca di lanjutannya di Komet Minor.

Mencari penghujung sesuatu memang perkara yang melelahkan!!


TERBANG KE MERCU II - Kapten James Tan / Leoz



Ketika membeli komik ini, hamba mencari juga bahagian pertamanya. Namun ia mungkin telah kehabisan di kedai berkenaan. Kapten James Tan adalah merupakan seorang juruterbang termuda yang pernah mengelilingi dunia secara solo pada tahun 2013. Kejayaan tersebut turut dicatatkan di dalam Guinnes Book of Worlkd Record. Kisah inilah yang dipaparkan di dalam bahagian pertama komik ini.

Di bahagian kedua pula (buku ini) dipaparkan pula kisah kembara beliau bersama mentor beliau yang bernama Rick di Alaska. Walaun apapun, matlamat komkik ini bukanlah pada lukisannya tetapi adalah untuk memberikan semangat dan motivasi kepada semua pembaca bahawa dengan usaha gigih kita pasti akan mendapat atau mencapai apa yang diinginkan. Ini adalah kerana Kapten James sendiri adalah seorang penghidap disleksia yan telah berjaya mencabar dirinya sendiri untuk berjaya.

PENANG THEN & NOW - Marcus Langdon & Keith Hockton



Di sebuah kedai buku dalam sebuah bangunan yang terletak bersebelahan hotel lokasi hamba bermesyuarat dua minggu yang lalu, hamba tertarik melihat begitu banyak tajuk yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang. Kebanyakan buku-buku tersebut tidak ditulis oleh anak tempatan tetapi oleh pengkaji dari luar negara. Ada dua kemungkinan kenapa anak tempatan tidak menulis berkenaan sejarah tanah airnya sendiri. Pertama samaada kurang minat atau kepakaran untuk menulis atau kedua kurangnya dana atau penajaan untuk melahirkan buku sedemikian. Buku-buku yang hamba lihat rata-ratanya dicetak dalam edisi coffee table yang sememangnya berharga agak mahal. Dalam hal buku ini ia mendapat penajaan daripada dua pihak yang gambar lama premis mereka turut terkandung di dalamnya. Ini bukanlah kali pertama kedua-dua penulis buku ini menulis tentang Pulau Pinang. Mereka pernah melahirkan beberapa buku yang berkaitan yang mana tajuk-tajuknya ada dipaparkan di dalam buku ini.

Ketika memilih buku ini, penjual memberikan pujian atas pilihan tersebut dan menyatakan bahawa buku ini baharu sahaja diterbitkan beberapa bulan yang lalu. Dalam kesempatan itu beliau turut menerangkan serba sedikit tentang buku ini dan memberikan pandangannya sebagai seorang kelahiran Pulau Pinang. 

Buku ini sepertimana tajuknya memaparkan perbandingan gambar beberapa tempat di Pulau Pinang sejak lebih 100 tahun dahulu dan sekarang. Ia dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu :-
                             i.  The Waterfront
                             ii.  Beach Street
                             iii. The Esplanade
                             iv. George Town Streets, dan
                             v.  Beyond The Town.

Gambar-gambar lama didapatkan oleh penulis daripada pelbagai sumber manakala bagi gambar 'hari ini' dirakamkan oleh Fox Foo. Dalam hal merakamkan gambar keadaan hari ini, jurugambar seboleh-bolehnya cuba mencari angle yang sama sepertimana gambar yang lama. Walau bagaimanapun tidak semua gambar dapat dirakam dalam kedaan yang sama. Ini disebabkan halangan seperti adanya adanya bangunan tinggi yang menghalang dan sebagainya. Oleh yang demikian, jurugambar turut menggunakan drone bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Pada tiap-tipa gambar yang dipaparkan, penulis memberikan keterangan ringkas tentang sejarah bangunan berkenaan seperti kegunaan asal, pemilikan serta keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Mana-mana bangunan yang mellaui perubahan, kerosakan atau dimusnahkan oleh sebab pepeprang turut sama diceritakan.

Tidak semua gambar lama yang dipaparkan masih wujud pada hari ini. Ada yang musnah disebabkan pengeboman zaman perang dunia serta perang Jepun. Ada juga yang rosak disebabkan peredaran zaman dan ada juga yang dimusnahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan yang lain. Contohnya seperti bangunan Chinese Palacial Residence seperti di bawah yang hari ini telah berdiri bangunan kondominium di lokasi yang sama. Ya bangunan yang saiznya umpama kompleks pejabat majlis perbandaran ini adalah sebuah kediaman. Bayangkan kekayaan pemilknya!


Jikalau diteliti, kesemua bangunan-bangunan ini amat sarat dengan senibina Eropah. Ia tidak menghairankan memandangkan penjajah tanahair datang dari dunia sebelah sana. Sekiranya tidak diberikan keterangan atau gambar berkenaan kosong daripada gambar manusia, tentu ada yang menyangka ia adalah gambar Eropah pada masa lalu. Sinibina lalu ini amat catik dan berseni. Binaannya juga kukuh serta masih banyak yang bertahan hingga ke hari ini. Walaupun demikian, dengan berlalunya masa, banyak bangunan ini mengalami sedikit perubahan sama ada dari segi renovasi kecil ataupun warna. Ada juga banguna yang ketika dahulu mempunyai kawasan yang lapang di sekitarnya kini telah berada di birai jalan.

Kalau kita menyangka semua yang dibina oleh bangsa Eropah ini adalah sempurna dan bebas daripada kecacatan, ia tidaklah begitu tepat kerana mereka juga adalah manusia yang sama dengan kita, pastinya ada melakukan kesilapan. Ini sepertimana catatan pada mukasurat 244 buku ini selepas menceritakan tentang projek landasan keretapi Bukit Bendera; '....It replaced an earlier attempt to construct a railway nearby, which, when completed in 1904, failed to operate due to serious flaws...'

Buku ini adalah satu koleksi terbaik untuk dimiliki oleh para pencinta sejarah. Adalah lebih seronok mempelajari sejarah melalui penceritaan bergambar beserta penerangan yang ringkas. Gambar bangunan-bangunan lama di Pulau Pinang masih banyak lagi yang boleh kita lihat di internet. Tidak semuanya ada dimuatkan di dalam buku ini disebabkan kekakangan tertentu. Anda boleh sahaja memilih mana-mana gambar lama (boleh sahaj di tempat anda sendiri) dan seterusnya cuba mencari lokasi kawasan berkenaan hari ini dan merakamkan gambar keadaan kawasan yang terkini. Hamba percaya ia akan menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan!


Sabtu, 2 November 2019

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2019



Sekali lagi tahun ini hamba dan rakan-rakan menyertai Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud. Istimewa pada tahun ini adalah peserta daripada semua kategori akan berpeluang untuk berlari di atas jambatan baru yang merupakan sebuah jambatan angkat (draw bridge). Seperti tahun lalu juga hamba dan rakan-rakan menumpang tidur di Institut Latihan Kmeenterian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Kuala Terengganu atas faktor lokasi penginapan dan acara larian adalah bersebelahan. Lagipun pada minggu itu bilik-bilik hotel di sekitar Kuala Terengganu telah penuh yang hamba rasa banyak diduduki oleh peserta larian. seorang sahabat dari Kota Bharu yang hamba terserempak di Pasar Payang mengeluh kerana masih belum mendapat penginapan walaupun hari telah menjelang petang.





Walaupun larian ini dikira berprestij dan khabarnya mendapat tajaan yang banyak, hamba lihat peserta bagai tidak merasai barang tajaan tersebut. Larian yang kecil sekalipun jika disertai, peserta akan mendapat pelbagai barangan daripada penaja. Hamba lihat peserta hanya diberikan roti dan air minuman dalam cawan sahaja setelah tamat larian. Hamba kira urusetia dah banyak untung. Lagipun larian ini peserta perlu membayar sepertimana larian yang lain.






Terdapat acara lain yang turut berlansung di Pantai Batu Buruk. Pameran daripada tiap-tiap daerah di Negeri Terengganu dengan tempat pameran dibina seperti rumah tradisional dengan para pempamernya turut berpakaian umpama orang Melayu zaman dahulu, lengkap bertanjak, bersamping dan bercapal.











Jawi Peranakan Mansion




Tidak jauh daripada Rumah Teh Bunga, hamba terjumpa sebuah bangunan yang amat cantik binaan serta halamannya. Di pagar batunya tertulis Jawi Peranakan Mansion. Tiada keterangan lain yang dapat dilihat di situ. Hamba memberanikan diri sahaja untuk masuk ke dalam halaman untuk mengambil gambar. Terdapat sebuah binaan pancuran kecil di tengah halaman yang dikelilingi pokok serta wakaf berehat. Di bawah porch bangunan pula kelihatan sebuah kereta kuda klasik. Pintu bangunan tertutup dan hamba tidak pula cuba untuk menghampirinya.



Hanya setelah pulang, melalui carian Google, bangunan berkenaan kini merupakan sebuah hotel butik. Walaupun dinamakan Rumah Agam Jawi Peranakan, menunjukkan kepada kaum pemilik asal bangunan tersebut, rumah ini ternyata bukan lagi milik mereka bahkan telah dimiliki seorang hartawan yang turut memiliki beberapa lagi bangunan dengan konsep yang serupa.


Rumah Teh Bunga



Hamba mempunyai masa lebih kurang dua jam sebelum keluar dari hotel selepas selesai menghadiri mesyuarat. Masa yang terhad itu hamba ambil masa untuk berjalan kaki dari kawasan hotel menuju ke Pasar Chowrasta. Di Pulau Pinang yang terkenal dengan banyaknya bangunan lama yang dibina sebelum perang ini, adalah amat berbaloi untuk berjalan kaki kerana dapat kita melihat dengan lebih dekat akan keindahan serta keunikan bangunan-bangunan lama yang ada.


Tidak jauh dari hotel hamba ternampak satu papan tanda kecil yang tertulis Galeri Melayu Pulau Pinang. Di sebuah kawqasan yang berpagar batu tersergam sebuah rumah agam berwarna kuning yang kelihatan amat indah sekali. Tiada sebarang kenderaan terdapat dihalamannya mmebuatkan hamba ragu-ragu sama ada rumah berkenaan boleh dilawati. Ditepi pagar terdapat sebuah pondok keselamatan dengan pengawalnya sedang menikmati makanan di dldalam bekas styrofoam. Selepas bertanya hamba menuju ke rumah berkenaan sambil terlebih dahulu mengambil beberapa gambar laman hadapan. Memandangkan masa hamba amat sempit, hamba memutuskan hanya untuk melihat-lihat tanpa membaca apa-apa yang tertulis. Sememangnya agak rugi apabila tidak membaca fakta yang dipaparkan, tetapi hamba berharap akan dapat berkunjung lagi kemudian.




Rumah ini dinamakan Rumah Teh Bunga sempena warnanya yang kekuningan. Ia asalnya milik seorang hartawan Jawi Peranakan sebelum beberapa kali berpindah milik. Pernah juga dimiliki oleh seorang hartawan cina yang menempatkan beberapa keluraga sekaligus di rumah besar itu. Rumah itu kini menjadi sebuah tempat pameran mengenai masyarakat Melayu di Pulau Pinang. Di bahagian bawah ada pameran tentang perjalanan haji, diorama kedai emas, ruang makan rumah tersebut dengan beberapa peralatan lama seperti jam besar serta mangkuk tingkat (tepen).

Di sebelah atas juga ada sebuah pentas yang memaparkan diorama boria, kamar tidur, alatan lama seperti sofa dan tv serta beberapa gambar personaliti ternama di Pulau Pinang. Ada satu ruang yang sebenarnya tidak dibenarkan naik tetapi hamba naik juga dan dapat hamba melihat beranda belakang tingkat atas yang bersambung dengan sebuah bangunan di bahagian belakang.

Hamba tak boleh berlama-lamaan. Itupun sudah habis setengah jam di rumah ini walaupun hanya sekadar menjenguk-jenguk sahaja. Lain kali hamba datang lagi ya...





CEROS DAN BATOZAR - Tere Liye



Ceros dan Batozar sepatutnya menjadi buku yang ke-lima dalam siri ini. Tetapi ia dilabelkan sebagai buku ke 4.5! Berkemungkinan kerana kisah di dalamnya agak lari sedikit yakni tidak melibatkan petualang bagi menyelamatkan kemusnahan semua dunia paralel uoleh Si Tanpa Mahkota. Ia masih sebuah kisah petualangan namun umpama kisah selitan dalam siri ini. namun percayalah ia tidak kurang menariknya dibandingkan dengan siri-siri yang lain. Seperti namanya, pengkisahan buku ini terbahagi kepada dua iaitu kisah Ceros dan kisah Batozar.

Sewaktu mengikuti rombongan lawatan sekolah mereka ke sebuah tempat bersejarah, gajet Ali mengesan aktiviti dunia paralel di kawasan tersebut. Menggunakan ILY, mereka mengesan tempat tersebut yang letaknya di bawah bumi. Walaupun lokasi yang dikesan tersebut berada di bawah tapat bersejarah yang mereka lawati, tetapi pintu untuk memasukinya berada nun jauh di tengah lautan.

Kehadiran mereka di kawasan bawah tanah berkenaan telah disambut dengan serangan oleh dua makhluk yang menyerupai badak bercula empat bersaiz rasaksa yang bergelar Ceros. Ternyata pertarungan mereka dengan makhluk ini amat sukar memandangkan mereka tidak datang dengan memakai pakaian klan bulan yang dapat melindungi mereka daripada kecederaan. Satu kebiasaan bagi penulisan tere Liye untuk mendatangkan suasana suspen hingga ke kemuncak, saat hero tidak lagi bisa berbuat apa-apa, tiba-tiba akan berlaku keajaiban atau pertolongan yang tidak diduga.

Secara tiba-tiba mereka dibantu oleh dua orang pemuda yang kemudiannya dikenali dengan nama Nggalaggeran dan Nggalaggeram. Pertukaran malam dan siang di dunia bawah tanah berkenaan amat cepat tidak seperti di dunia atas bumi. Dan apabila tiba waktu malam kesemua mereka diminta untuk tidak berada di luar dan berada di satu tempat. sementara itu kedua pemuda tadi tidak bersama mereka dan berada di tempat lain. Ali si bijaksana dapat membongkarkan rahsia situasi berkenaan dengan mengetahui bahawa kedua pemuda itulah yang menjelma menjadi ceros di malam hari dan berubah kepada bentuk asal di siang hari. kebolehan kedua pemuda berkenaan memanipulasi ruang dan waktu membolehlehkan mereka memulihkan semula kawasan yang telah mereka musnahkan sebelum itu.

Mereka tidak dapat mengawal diri mereka daripada bertukar disebabkan sarung tangan milik mereka telah dicuri oleh Si tanpa Mahkota ribuan tahun dahulu. Justeru mereka mengurung diri mereka di bawah bumi dengan dilitupi teknologi yang membuatkan mereka tidak bisa lolos kecuali jika mempunyai sarung tangan berkenaan. Ali akhirnya mengakui bahawa sarung tangan mereka itu ada pada beliau. Kini masalah untuk pulang telah selkesai apabila kedua pemuda tadi mendapat semula sarung tangan mereka. tapi risiko pada Ali apabila tidak mempunyai sarung tangan tersebut yang menyebabkan beliau boleh bertukar menjadi beruang tanpa kawalan pada bila-bila masa. Justeru bagaimanakah mereka bisa lolos daripada dunia bawah tanah itu?

Batozar adalah satu watak yang digambarkan sebagai seorang penjenayah berbahaya yang terlepas daripada penjara di klan bulan. Ini menyebabkan dunia paralel berada dalam keadaan bahaya. Ternyata Batozar telah lolos ke klan Bumi dan telah ditemui oleh petualang tiga sahabat ini.

Mereka akhirnya berpakat untuk mengintip Batozar bahkan Ali dengan beraninya mendekati serta cuba berbual dengan beliau. Mereka merumuskan Batozar tidak merbahaya dan apa yang beliau mahu hanyalah bantuan Raib untuk memperlihatkan semula wajah isteri dan anaknya yang telah beliau lupai. 

Walaupun Raib apa awalnya gagal menggunakan kebolehan beliau untuk tujuan tersebut, namun akhirnya berhasil menggunakannya apabila gabungan tentera dunia paralel mula mahu memusnahkan Batozar. Raib berjaya memperlihatkan satu 'tayangan video' tentang masa lalu Batozar sekaligus membongkar apa sebenarnya yang berlaku ke atas beliau hingga menyebabkan beliau dipenjarakan.

Namun agak terlewat untuk menahan serangan apabila Batozar dibedil bertalu-talu tanpa beliau kelihatan cuba meloloskan diri. Namun TereLiye memberi satu bayangan bahawa Batozar berkemungkinan tidak mati. Adakah watak berkenaan akan muncul lewat novel Komet?

Ahhh sungguh bosan dengan teka teki ini..ha ha ha...


BINTANG - Tere Liye



Selepas mengetahui rancangan penguasa Klan Bintang yang mahu menghancurkan pasak bumi, Raib, Seli dan Ali kembali semula ke klan berkenaan berkenaan bagi mencari pasak yang dijangka akan dimusnahkan. Jali ini mereka bukan sahaja bertiga tetapi turut disertai Cikgu Selena serta gabungan pahlawan Klan Bulan dan Klan Matahari. Sebelum berkelana Ali terlebih dahulu telah melakukan"homework"nya dan berjaya menyenaraipendek 6 teras bumi yang berkemungkinan bakal dimusnahkan. Jadi tugas mereka adalah untuk mencari di antara enam kedudukan teras tersebut.

Seperti biasa kisah petualangan mereka bukanlah mudah. Untuk ke kawasan teras berkenaan mereka terlebih dahulu terpaksa melintas beberapa kawasan yang ada diantaranya melibatkan pertempuran, cabaran pertukaran musim yang singkat dan lain-lain lagi. Pengembaraan kali ini turut mengorbankan nyawa salah seorang panglima klan yang turut serta.

Dalam buku ini Tere Liye mengambil kesempatan untuk mempromosi bukunya secara tidak lansung apabila menulis bahawa buku petualangan tiga remaja ini diterbitkan di klan Bulan! Ya kita tahu bahawa buku-buku berkenaan tidak lain dan tidak bukan adalah apa yang telah hamba tatap selama ini.

Episod kali ini penting apabila Ali mendapat sarung tangan bumi sepertimana sarung tangan yang dimiliki Raib dan Seli. sarung tangan ini membolehkan Ali menggunakan kuasa beruangnya tanpa perlu bertukar menjadi makhluk berkenaan.

Ternyata mereka harus mengharungi keenam-enam kawasan untuk mengetahui akan kedudukan sebenar teras berkenaan sehingga kawasan terakhir menyebabkan mereka kembali ke kawasan penjara tempat mereka ditahan sebelum ini (sila rujuk novel Matahari). inilah kawasan yang paling sesuai memandangkan tiada orang awam yang bisa memasukinya dan ia dikawal dengan begitu ketat sekali. 

Mengelakkan teras berkenaan daripada dimusnahkan rupanya mempunyai risikonya yang tersendiri. Ia menyebabkan penjara bayangan di bawah bayangan terbuka dan membebaskan Si Tanpa Mahkota yang telah ribuan tahun terpenjara. Kebebasan beliau akan menyebabkan lebih banyak bencana sekiranya tidak dapat dihalang.

Malangnya kisah in bersambung di buku yang akan datang!!

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...