Jumaat, 27 November 2020

AKU, KAU & KOMIK #1




Hamba suka dengan frasa yang terletak di bawah tajuk komik ini - 'Apabila aku & kau membaca komik, orang lain juga patut membacanya'. Komik sering dikaitkan dengan bahan bacaan kanak-kanak. Kadangkala ia dianggap sebagai bahan bacaan yang tidak mendatangkan faedah. Pandangan ini telah ada sejak zaman hamba bersekolah pada awal 80an dan sebelum itu lagi. Namun generasi yang membesar dengan komik pada era 80an itulah yang kemudiannya pernah membuktikan bahawa komik bukan sekadar bahan bacaan santai, ia juga adalah penarik kepada minat membaca selain melahirkan barisan pelukis komik serta kartunis tempatan yang ada di antaranya berjaya mencipta nama di luar negara. Pelukis komik dan kartunis ketika itu boleh dianggap juga sebagai selebriti dan mempunyai pendapatan yang baik. Dari komik ia berkembang kepada perkara lain seperti rancangan kartun, filem dan permainan video yang seterusnya berkembang kepada bahan niaga atau merchandise berkaitan sesuatu cerita atau watak berkenaan.

Perkara-perkara yang hamba nyatakan di atas cuba dipaparkan oleh barisan pelukis komik ini dengan memaparkan kebaikan atau perkara positif yang ada di dalam sesebuah komik. Terdapat 9 buah kisah daripada 9 orang pelukis yang mana kebanyakan atau majoroti mereka melukis dan menulis kisah yang berkaitan dengan alam persekolahan. Kisah-kisah yang terkandung di dalam komik ini adalah seperti berikut:-

DAKWAT BIRU - Ard One
Menekankan akan kepentingan untuk menuntut ilmu hingga ke peringkat yang paling tinggi walaupun hanya bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis komik. Pelukis komik juga harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang tinggi untuk membantu menghasilkan karya yang bermutu.

TANGERINE - Tan Teck Hwa
Kisah gabungan dua tenaga - seorang melukis manakala seorang lagi sebagai pencerita - hingga berjaya merealisasikan impian untuk menerbitkan komik mereka sendiri.

ADIWIRA - PAC
Dua orang adik beradik yang kematian ibu bapa mereka dalam satu serangan bom bertekad untuk menjadi adiwira yang mempertahankan negara melalui penyertaan mereka di dalam angkatan bersenjata.

BATON KOMIK - Froggypapa
Bagaimana komik boleh mengubah seseorang untuk menjadi lebih berjaya.

TEATER - Jas
Meon yang ditugaskan oleh gurunya untuk mengendalikan sebuah persembahan teater berjaya melaksanakannya hasil idea daripada sebuah komik yang ditemuinya di jalanan.

ESEI - Gemuruh
Sebuah kisah tanpa dialog mengenai perpaduan di negara kita. Antara karya yang memaparkan lukisan yang menarik pada hamba.

KOMIK ITU - Bop
Bagaimana sebuah komik telah berjaya mengubah seorang kanak-kanak untuk menjadi lebih berani. Semangat kisahnya menyamai kisah Baton Komik di atas.

MAYA - Hafiz
Kisah sorang pelukis komik yang cuba untuk mendapatkan kembali kasih sayang anaknya.

PENCAK RIMAU - Adiemus
Sebuah komik menjadi pendorong kepada seorang budak lelaki untuk menyelamatkan rakannya daripada menjadi mangsa buli.


Rabu, 25 November 2020

DAN MALAM APABILA IA BERLALU - Sasterawan Negara Abdullah Hussain


 

Melihat tajuk novel ini hamba seperti merasakan ia diambil daripada terjemahan ayat Al-Quran. Telahan hamba itu benar apabila membuka helaian awal, terpapar terjemahan ayat daripada surah Al-Fajr ayat 1-5. Bab awal novel ini telah mula mendatangkan rasa tanda tanya serta misteri kepada pembaca apabila penulis memulakan cerita dengan watak Zaman yang tiba-tiba tersedar daripada tidur dan mendapati dirinya berada dalam sebuah gua yang berada dalam sebuah hutan tebal. Tandatanya Zaman terhadap bagaimana keberadaannya di dalam hutan itu akan membuatkan kita sendiri tak sabar-sabar untuk mengetahui kisah yang selanjutnya. Zaman berusaha untuk mencari jalan keluar dari hutan tersebut di samping usaha untuk mengisi temboloknya yang lapar. Watak Zaman digambarkan sebagai seorang yang taat kepada Allah kerana walaupun berada dalam keadaan kepayahan di tengah hutan, namun tanggungjawab beliau terhadap Allah tetap dilakukan dengan penuh rasa redha.

Dtemui pengsan di tepi hutan, Zaman diselamatkan oleh sebuah keluarga sikh. Keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka - dua lelaki dan seorang perempuan tinggal di sebuah rumah dengan ketua keluarganya menternak lembu dan menjual susunya di bandar. Amat menakjubkan apabila keluarga ini membaca akhbar Utusan Melayu! Utusan Melayu adalah akhbar berbahasa Melayu yang bertulis dalam tulisan Jawi. Mereka menguasai tulisan tersebut serta membaca akhbar Melayu kerana merasakan sebagai rakyat Malaysia mereka patut berasimilasi dengan budaya Melayu dan itu semua boleh didapati dengan membaca akhbar tersebut. Ketua keluarganya Encik Manjit nampak begitu patriot sekali. Beliau bahkan mempunyai senaskhah tafsir Al-Quran yang diletakkan di dalam bilit anaknya, Amrit. Zaman telah diberikan rawatan sebaiknya dan dilayan dengan penuh tanggungjawab. Keluarga berkenaan juga memberikan bantuan sebaiknya dan membenarkan Zaman untuk menunaikan solat di rumah mereka. Keberadaan Zaman di rumah berkenaan walaupun sekejap - hanya satu malam sahaja, telah melahirkan satu ikatan yang kuat sehinggakan keluarga mereka merasakan mereka bagaikan telah lama kenal dengan Zaman.

Zaman mengisahkan bahawa beliau sebelum itu datang dari Kampung Cahaya membuatkan Manjit keliru memandangkan beliau tidak tahu lokasi kampung berkenaan walaupun mengetahui setiap ceruk lembah Klang. Ia akan membuatkan pembaca turut berfikir barangkali Zaman sebelum itu berada di sebuah kampung bunian. Zaman dibantu oleh Manjit untuk mencari keluarganya namun tidak berjumpa. Zaman kemudian diturunkan di kawasan Masjid Golden Triangle kerana dikatakan keluarga Zaman pernah tinggal di kawasan berkenaan.

Secara kebetulan ketika itu akan diadakan majlis perdebatan antara kumpulan nihilisme - satu kumpulan yang tidak percayakan Tuhan dengan Imam masjid Golden Triangle. Dengan tidak disangka-sangka Zaman menjadi wira dalam majlis perdebatan berkenaan. Watak zaman nampak dominan serta kelihatan seperti protagonis atau hero sehingga ke peringkat ini sahaja. Selepas itu watak beliau hanya sekali sekala muncul. Membaca keseluruhan novel ini jelas bahawa novel ini hampir seperti tidak ada hero. Penulis mengungkapkan pelbagai isu yang hangat berlaku sekitar sebelum dan awal millennium. Antara isu yang dikenalpasti adalah kumpulan manusia yang tidak percayakan Tuhan, manusia yang mencari-cari kebenaran, black metal, korupsi, isu Tuhan mencarut, politik yang menggunakan agama, ahli agama yang berkelakuan sumbang, rusuhan disebabkan agama, fitnah-memfitnah, bersumpah dengan Al-Quran di dalam tempat ibadat, penerimaan orang bukan Islam terhadap keluarga mereka yang memeluk Islam dan banyak lagi.Cara penulisan sebegini mengingatkan hamba kepada novel Orang Kota Bharu. Jika Orang Kota Bharu mengungkapkan keadaan di Kota Bharu sekitar 50an hingga 70an, maka novel ini membayangkan suasana negara sekitar 1998-2005.

Semua isu-isu berkenaan diungkapkan melalui watak-watak atau peristiwa di dalam novel ini. Apabila membicarakan tentang isu mereka yang tidak percayakan Tuhan, penulis mengadakannya dalam bentuk perdebatan manakala bagi isu suara perempuan itu aurat atau kedudukan wanita dalam Islam, penulis mengadakannya dalam bentuk forum. Bagi kedua-dua perkara ini seseorang memerlukan pengetahuan yang mendalam untuk mengupas isu berkenaan. Penulis sememangnya menjadikan novel ini sebagai satu dakwahnya kepada masyarakat. Justeru penjelasan isu-isu berkaitan dibuat secara terperinci melalui penyampaian yang santai oleh watak-wataknya. Dalam hal ini penulis akan membuat notakaki menjelaskan dari mana point-point di ambil. Bahkan dalam banyak lagi di tempat-tempat lain penulis memuatkan nota-nota kaki. Contohnya apabila penulis menggambarkan satu perlakuan atau pengucapan watak-wataknya, beliau akan meletakkan nota kaki ayat atau hadith yang berkaitan. Boleh juga hamba katakan bahawa novel ini adalah kesinambungan novel Imam memandangkan corak penulisannya yang hampir sama di samping beberapa kaitan antara watak yang dipaparkan.


Nota: Buku ini dipinjam daripada perpustakaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh.

Isnin, 16 November 2020

JANJI - Noor Azlin


 

Seorang gadis bernama Tengku Shafika aka Chika yang tersedar daripada koma telah berubah personaliti kepada Azira Khidir, seorang pelakon yang baru meningkat naik atau suam-suam kuku. Azira Khidir, mengikut namanya adalah nama Melayu juga nama orang Islam. Dah emak Azira Khidir ni ustazah, ugamanya Islamlah kan. Nama ayah pun tak bunyi afrika. Tapi yang memusykilkan hamba kenapa penulis di sinopsis di belakang buku serta satu bahagian di dalam bukunya meletakkan mendiang untuk nama Azira. Kamus DBP sendiri (edisi internet, berdasarkan Kamus Pelajar Edisi Kedua) menakrifkan gelaran mendiang adalah untuk bukan Islam. Hamba tidak pasti sama ada ini disengajakan atau tidak. Penulis pun mengaji di UIA, takkan tak tau kut....

Namun novel ini bukanlah nak mengungkapkan peristiwa pelik, lucu atau luar biasa disebabkan perubahan personaliti ini walaupun ia ada dipaparkan. Persoalannya adalah siapa yang membunuh Chika dan kenapa. Daripada keluarga Chika, keluarga Azira, plot berkembang kepada orang yang berada di sekeliling mereka seperti rakan, doktor yang merawat, bekas suami, penyiasat bebas, awek jual kek dan polis. Penulis bijak memainkan plot serta watak-watak ini sehingga pembaca hanyut membuat tekaan siapa antara mereka yang menjadi pembunuhnya memandangkan hampir kesemua mereka ada kaitan atau 'boleh masuk' dalam tekaan.

Di samping memaksa otak pembaca untuk meneka, kita akan dipaparkan dengan realiti masyarakat hari ini seperti perhubungan sulit atau kekasih gelap, penggunaan bomoh atau ilmu hitam untuk mendapatkan sesuatu, matlamat menghalalkan cara seperti melakukan pembunuhan, manusia yang gelap mata bila mendapat duit, lelaki yang mudah tergoda dengan wanita dan banyak lagi.

Sepanjang watak Chika menjadi Azira, beliau digambarkan memainkan watak itu dengan cukup perfect, mengetahui segala apa sahaja yang Azira tahu, dapat menyediakan hidangan seperti rasa air tangan Azira sendiri dan sebagainya. Pelbagai cara yang digunakan oleh keluarga Chika serta keluarga Azira untuk mengembalikan ingatannya namun tak satupun yang berhasil. Cuma yang hamba musykil sepanjang percubaan ini, tidak pernahpun sesiapa menunjukkan gambar Azira kepada Chika - sekurang-kurangnya dia boleh melihat kelainan rupa pada cermin. Tapi hamba tahu jawapan penulis (agaknyalah) - novel kita kan, sukatilah kita nak tulis apa - ha ha betullah tu. Namun keadaan Chika yang dapat membawa watak Azira sekurang-kurangnya boleh meyakinkan pembaca bahawa reinkarnasi atau penjelmaan jiwa orang yang telah mati ke dalam orang yang sedia hidup benar-benar terjadi.

Sepertimana Chika hilang ingatan setelah kemalangan begitulah pula ia mendapat kembali ingatannya - melalui kemalangan juga, seperti kelaziman drama Melayu. Di bab akhir akan dilakarkan kepada pembaca sehingga kita dapat meneka siapa culprit di belakang semua ini dan kenapa itu semua terjadi. Kalau tanya hamba, hamba pun pening - kenapa perlu membunuh?


Khamis, 12 November 2020

SUICIDE SQUAD


 

Semasa membelinya di atas talian, hamba tidak sedar pun bahawa naskhah ini merupkan terjemahan ke dalam Bahasa Melayu. Kenapa hamba boleh tidak sedar bahawa label Grafixi telah memulakannya semenjak 2016 lagi! Adakah mereka masih menerbitkan lagi komik-komik DC ini ke dalam Bahasa Melayu? Hamba nampak kurangnya promosi mereka berbanding terbitan FIXI yang lain. Apapun hamba beli buku ini dengan harga yang cukup murah - 99 sen! Siapa yang tak nak beli berbanding harga asalnya RM30! Bila ia dijual dengan begitu murah - selain melambangkan ia mempunyai lambakan stok, adakah orang kita tidak berminat membaca versi terjemahan? Segala bentuk lukisan dan grafik adalah sama dengan versi asal, hanya ia di dalam bahasa Melayu sahaja.

Kita tahu bahawa versi bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang agak santai, gaya jalanan yang diselangselikan dengan bahasa kasar dan mencarut. Penterjemahan ke dalam Bahasa Melayu dilihat untuk cuba mengikut gaya yang sama. Cubaaan penterjemahan ini berjaya pada sesetengah tempat dan sesetengah tempat yang lain membuatkan hamba tertanya tentang apa yang mahu disampaikan. Ketidakfahaman ini mungkin disebabkan ketidak tepatan terjemahan itu sendiri ataupun terjemahan yang dilakukan secara harfiah daripada bahasa asal yang memerlukan istilah yang tepat dalam bahasa Melayu. Walau apapun, hamba memuji usaha ini dan menyokong penuh aktiviti penterjemahan buku-buku bahasa asing ke dalam bahasa kebangsaan. Inilah yang dilakukan oleh bangsa lain seperti Jepun yang mendapat ilmu dari luar dengan sebanyaknya. Dan jangan lupa bahawa perkara yang sama telah dilakukan oleh orang barat semenjak ratusan tahun dahulu lagi melalui penterjemahan kitab-kitab Arab. Mereka menterjemah, mempelajari dan memajukan ilmu-ilmu tersebut terutamanya dalam bidang falsafah, perubatan dan astronomi. Akibatnya kita pula yang terhegeh-hegeh belajar dengan mereka hari ini.

Kompilasi ini mengandungi tujuh siri komik dalam tajuk yang sama. Suicide Squad adalah sekumpulan manusia yang mempunyai kebolehan tersendiri, direkrut dan dihantar untuk menyelesaikan misi-misi yang merbahaya. Ganjaran kejayaan mereka adalah pengurangan tempoh hukuman penjara. Bagi mengawal mereka, satu bom nano telah ditanam ditengkuk mereka yang boleh diledakkan pada bila-bila masa sekiranya mereka mengingkari arahan. Ringkasannya, misi-misi mereka kesemuanya adalah melibatkan pertumpahan darah. Kadangkala mereka tidak terllihat sebagai penyelamat dunia sebaliknya sebagai pemusnah.

Antara watak utama dalam kumpulan ini adalah Harley Quinn. Peminant DC kenal beliau sebagai teman wanita Joker - musuh Batman. Justeru kisah-kisah di dalam ini juga berlaku di Gotham City. Betapa malangnya hidup di Gotham kerana penjenayah-penjenayah mereka pelik-pelik belaka. Dalam melakukan satu misi, Harley mendapat tahu bahawa Joker telahpun dibunuh dengan kulitnya disiat-siat. Siasatan kulit mukanya disimpan di balai polis Gotham. Berjaya meloloskan diri, Harley mengkucar kacirkan keadaan hanya semata-mata untuk mendapatkan kembali cebisan wajah lelaki yang dikasihinya. Harley kini bukan sahaja menghadapi pihak berkuasa Gotham tetapi rakan-rakannya dalam Suicide Squad!

Menampilkan Adam Glass sebagai penulis, ianya dilukis, didakwatkan (inking), diwarnakan oleh orang yang berbeza di setiap siri. Perkara ini sesuatu yang biasa di dunia komik Amerika. Ia berbeza dengan kita di mana pelukis melakukan hampir kesemuanya. Kalau adapun pengelibatan pihak lain, kebiasaannya hanyalah untuk pewarnaan dan lukisan kulit hadapan. Dan yang patut kita belajar ialah walaupun disediakan oleh banyak tangan, mereka berjaya mengekalkan rentak cerita dan lukisan sehingga kita tidak merasakan bahawa ia dilukis oleh individu yang berbeza.

Sabtu, 7 November 2020

AKU, KAU & MALAYSIA - FRONTLINERS/BARISAN HADAPAN


Wabak ini masih belum habis. Walaupun beberapa bulan yang lalu sudah nampak penurunan yang besar sehingga pernah direkodkan hanya dua kes sahaja dalam sehari, namun kini jumlahnya amatlah membimbangkan. Jumlah kes yang telah mencapai empat angka dalam sehari amatlah dibimbangi dahulu dan kini ia telahpun terjadi. Semua ini gara-gara sikap segelintir politikus yang hanya memikirkan kuasa. Kerana mahukan kuasa, maka terjadilah pilihanraya dan akibat yang terjadi selepas pilihanraya berkenaan, itulah yang sedang melanda Malaysia kini. Rakyat marah dan kecewa. Apa yang tersebar kini kebanyakannya datang dari wilayah berkenaan. Tapi politikus tidak menunjukkan tanda keinsafan. Rakyat tambah kecewa!

Semua orang mahu berbakti mengikut cara masing-masing, mengikut kadar kemampuan dan ruang lingkup yang dibenarkan. Anggota kesihatan, keselamatan serta para penghantar barangan adalah golongan awal yang dipanggil barisan hadapan. Rakyat rata-rata kagum dengan mereka. Mereka telahpun menunjukkan kesungguhan walaupun mereka telahpun keletihan menghadapi wabak ini berbulan-bulan lamanya kini. Tapi hamba suka hendak mengajak anda semua untuk melihat juga tenaga-tenaga di belakang frontliners ini yang sebenarnya adalah juga wira tetapi tidak diberikan publisiti. Ada juga yang berjuang di barisan hadapan tetapi mereka juga tidak kelihatan di mata masyarakat. Contohnya dalam kalangan anggota kesihatan, yang biasa dibicarakan oleh masyarakat hanyalah doktor dan jururawat sahaja. Namun sebenarnya ramai warga kesihatan lain yang turut berjuang. Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran serta Pembantu Kesihatan Awam sebenarnya berada lebih depan lagi. Mereka yang biasanya berada di pintu masuk negara dan mereka juga yang paling awal berhadapan orang ramai. Begitu juga dengan rakan-rakan pengawal keselamatan, pemandu van dan bas KKM, pegawai khidmat pelanggan, kerani, atendan, pengajar dan anggota ILKKM, juru x-ray, kakitangan makmal, farmasi dan banyak lagi. Kerana itu ada antara golongan ini yang kecewa kerana apabila kerajaan mengumumkan bahawa petugas barisan hadapan menerima sedikit insentif, ada antara mereka yang dianggap tidak layak menerimanya.

Komik ini merupakan cara kartunis untuk menyumbang kepada masyarakat. Selain daripada menghargai para petugas, komik ini mengajak masyarakat untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang telah ditetapkan. Antologi ini mengandungi karya 9 orang kartunis Komik-M seperti berikut;-

1. WIRA KAMI - Ben Wong
    Kisah ini bertumpu kepada keluaga seorang anggota polis. Betapa ahli keluarga merisaukan ketua keluaga mereka yang bertugas setiap hari di tengah wabak ini. Kerana risaukan jangkitan terhadap keluarganya, anggota polis ini sanggup berkhemah sahaja di luar rumahnya. Beberapa kesukaran ketika bertugas turut dipaparkan dan ada di antaranya yang hamba rasa pernah hamba lihat tular di media sosial seperti kisah seorang awam yang memarahi anggota polis kerana menyusahkan mereka serta kisah seorang pegawai polis yang menziarahi seorang wanita tua yang pernah menjadi jirannya semasa kecil dengan membawa beberapa juadah. Kisah-kisah tersebut telah di sesuaikan dengan watak dalam cerita ini.

2. TERLALU ISTIMEWA - Hafizuddin Ismail
    Kisah ini menggunakan latar masa pada zaman akan datang dengan penduduk setiap negeri di Malaysia hidup di dalam kawasan bertembok bagi menghindari serangan raksasa. Ia memaparkan ketabahan masyarakat untuk survival serta semangat untuk terus mempertahankan diri. Ia adalah dedikasi pelukis untuk seluruh barisan hadapan.

3. LAWAK ORANG MALAYSIA : KE SANA KE SINI - Nuds
    Setelah mengikuti dua karya yang agak serius, Nuds datang dengan lebih santai menampilkan karya kartun lerang dua petak dengan jenaka yang menunjukkan rakyat Malaysia dalam tempoh PKP ini. Tajuk kartun beliau akan mengingatkan kita dengan kandungan ucapan Perdana Menteri yang telah dijadikan lirik rap di dalam lagu.

4. JATUH - Furqa Ilahi
    Ia adalah kisah seorang penghantar makanan yang membelakangkan kepentingan pekerjaan beliau demi menyelamatkan seorang lelaki tua yang dijumpai terbaring di jalanan. Agak malang apabila lelaki berkenaan positif covid-19 yang akhirnya turut menjangkiti penghantar makanan berkenaan. Mempunyai keperibadian yang murni, sifat beliau ini menawan hati lelaki tua yang beliau selamatkan sehingga mahu menjodohkan beliau dengan anaknya yang juga seorang jururawat di barisan hadapan.

5. KHOO & CHENG : KITA JAGA KITA - Danial Haikal
    Kisah ini menyingkap suasana akibat wabak covid-19 daripada kacamata haiwan pula. Ia membawa mesej agar manusia tidak melupakan haiwan yang turut menghadapi masalah mencari makanan terutamanya kucing-kucing yang tidak bertuan memandangkan tempat yang biasa mereka mencari makan seperti restoran dan warung tutup ketika PKP.

6. BARISAN HADAPAN - Kimi
    Kisah ini membawakan mesej bahawa walaupun ramai orang awam yang tidak menghiraukan peraturan yang ditetapkan sehingga membawa padah kepada diri mereka sendiri, para barisan hadapan tetap bersabar dan mahu menolong walaupun hati mereka telahpun terluka.

7. LAWAK ORANG BUJANG : PENJARAKAN - Froggypapa
    Sama seperti Nuds, Froggypapa turut menampilkan karya lawak dan jenaka melalui watak dua orang pemuda, Iman dan Amin yang ditugaskan untuk menjaga pondok kawalan keselamatan di kawasan komuniti mereka. Pelbagai ragam yang membawa rasa lucu ditimbulkan kedua pemuda ini sewaktu menjalankan tugas mereka.

8. JANJI - Sulaiman Shaari
    JANJI menyeru agar orang ramai terutama yang hampir dengan mana-mana petugas barisan hadapan agar memahami keadaan serta kesibukan tugas mereka pada masa ini. Kegagalan untuk memahami apatah lagi bila timbulnya sifat cembru hanya akan memburukkan lagi keadaan.

9. TUGAS - Pak Ngah Alipz
    Kisah ini kembali memaparkan kepentingan tugas seorang penghantar makanan sewaktu PKP serta seorang pelukis yang menghargai sumbangan mereka.

Ini adalah sumbangan pelukis dan penghargaan mereka terhadap barisan hadapan. Hamba juga menyeru anda semua untuk membeli karya-karya kartunis tempatan ini memandnagkan mereka juga antara yang turut terjejas pendapatannya ketika ini. Apabila anda membeli karya seperti ini setidak-tidaknya anda memberi semangat untuk mereka terus berkarya di samping dapat mereka mencari nafkah melalui pekerjaan ini.





P. RAMLEE ERTI YANG SAKTI - Ahmad Sarji


 

Versi yang hamba baca ini adalah terbitan MPH pada 2011. Sebelum versi ini ia diterbitkan oleh Pelanduk Publications pada tahun 1999. Sewaktu versi Pelanduk berada di pasaran hamba cuma mampu lihat sahaja memandangkan gaji ketika itu yang kecil. Namun edisi ini yang dijual bersekali dengan buku P. Ramlee The Bright Star tidak hamba lepaskan peluang untuk memilikinya kerana hamba tahu selepas ini mungkin sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Sudah lama memilikinya baru tahun ini sahajalah hamba dapat meluangkan masa untuk membacanya.

Tan Sri Dato, Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid adalah seorang tokoh penulisan Melayu yang berjaya mencapai kedudukan tertinggi di dalam perkhidmatan awam apabila menjadi Ketua Setiausaha Negara yang ke-sembilan di antara 1 Februari 1990 hingga 16 September 1996. Seingat hamba di zaman beliaulah Pekeliling Kemajuan perkhidmatan Awam (PKPA) banyak ditulis bagi mengatur serta menambahbaik perkhidmatan awam. Tesis beliau sewaktu melakukan ijazah pertama bahkan dijadikan salah satu rujukan oleh Kasim Ahmad sewaktu beliau menyelenggara manuskrip Hikayat Hang Tuah.

Tajuk buku ini diambil daripada salah satu bait sajak Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said  bertajuk Lagu Bunga II, yang dipetik daripada antologi Balada Hilang Peta (1990). Sajak berkenaan adalah berkenaan P.Ramlee. Penulis menyusun bukunya ini seperti susunan sebuah ensiklopedia, mengikut abjad A, B, C dan seterusnya. Mellaui susunan huruf-huruf berkenaan, penulis cuba menampilkan perkara-perkara yang berkaitan dengan P. Ramlee termasuklah individu-individu penting yang ada kaitan dengan seniman Negara tersebut. 

Apabila menulis tentang sesebuah filem, penulis akan menyenaraikan barisan pelakon serta krew yang terlibat. dalam hal ini penulis tidak mengubah tulisan asal (yaani tulisan bahasa Melayu gaya lama) filem-filem berkenaan. Kemudian beliau akan menulis ringkasan keseluruhan cerita di dalam filem berkenaan. Hamba tertarik dengan penulisan beliau tentang filem Ali Baba Bujang Lapok di mana di akhir cerita beliau menuliskan bahawa ketiga-tiga Bujang lapok berkenaan hanya bermimpi. Sekiranya kita mengikuti filem berkenaan kita tahu bahawa ia berakhir selepas ketua penyamun (P.Ramlee) mati dibunuh. Mungkinkah ada versi lain yang tidak ditayangkan. Ini memandangkan filem ini asalnya pernah diharamkan penayangannya kerana gara-gara gaya pengucapan yang menyinggung komuniti Arab. Asalnya gaya percakapan di dalam filem ini adalah seperti gaya percakapan Arab di dalam filem Ahmad Albab. Kerana adanya bantahan maka ia telah di dubbing semula seperti yang kita lihat di kaca tv. Ketika mengulas mengenai filem 3 Abdul pula hamba rasa penulis terkhilaf apabila meletakkan Sadiq Sigaraga sebagai bapa kepada tiga orang Abdul berkenaan dan Ismet Ulam Raja pula sebaliknya. 

Filem P. Ramlee di eranya adalah sesuatu yang besar. Beliau bukan sahaja gah di nusantara bahkan lebih daripada itu. Ahmad Sarji membawa ungkapan oleh Gerree Read, seorang pengulas filem ketika mengulas tentang filem Hang Tuah, katanya; "Adegan pertikaman menggunakan keris jauh mengatasi sesuatu yang pernah dikeluarkan oleh Hollywood. Kelincahan dan kesegakan P. Ramlee, Malik Sutan Muda dan Ahmad Mahmud membuatkan sesetengah tokoh 'anak jantan' Hollywood kelihatan sepert kuda bajak yang sudah tua!" Seorang penulis Indonesia pula ketika mengulas mengenai filem Pendekar Bujang Lapok menyifatkan kemajuan filem Malaya telah jauh meninggalkan filem Indonesia sama ada daripada segi idea ataupun teknik penggambaran. Beliau bahkan menyifatkan shot di atas sampan itu sebagai suatu yang sukar (ketika zaman itu) memandangkan kestabilan kameranya.

Apa yang dipersembahkan oleh Ahmad Sarji adalah satu ringkasan terhadap kehidupan P. Ramlee. Beliau sebenarnya telah menyediakan satu jalan bagi penulis kemudian untuk meluaskan lagi 'ensiklopedia' P. Ramlee ini. Penulis lain boleh sahaja menggunakan buku ini sebagai asas untuk mengembangkan lagi fakta dan idea.  Sebagai pembaca, hamba kadang-kadang tidak berapa puas membaca tentang beberapa perkara yang ditampilkan memandangkan buku ini sememangnya disusun secara ringkas. Sekiranya perkara di dalam buku ini benar-benar dikembangkan, hamba percaya ia akan memakan beberapa jilid. 

P. Ramlee memang akan hidup lebih seribu tahun di dalam jiwa peminant-peminatnya. Filem dan lagunya terus ditonton dan dinyanyikan. Kisah hidupnya sering menjadi bahan bacaan dan kajian. Hamba lihat kini di YouTube telah ada beberapa individu yang mewarnakan beberapa filem beliau menjadikan ia lebih seronok untuk ditonton.

P.Ramlee hanya satu. Tidak ada galang gantinya!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...