Selasa, 19 Mac 2019

DARI BANGI KE SEOUL - Dr Mat Rofa Ismail



Walaupun buku ini dipromosikan sebagai sebuah buku travelog, namun secara keseluruhannya ia tidaklah begitu. Buku ini lebih sarat sebagai sebuah buku ilmiah berbanding sebuah catatan pengembara. Dan walaupun tajuknya seolah satu pengembaraan ke bumi Korea, ia tidaklah berapa nampak sebegitu. Bahkan kisah ke Korea hanya mewarnai beberapa bab awal buku ini sahaja dan selepas itu ada beberapa lagi kembara penulis khususnya ke Indonesia dan Selatan Thailand.

Catatan pengalaman penulis ke Korea bolehlah diibaratkan sebagai satu catatan penuh kesedihan. Ini kerana di awal kembara lagi penulis telah diuji Allah dengan pulangnya isteri beliau ke pangkuan-Nya kerana sakit. Penulis yang sepatutnya membentangkan kertas kerja di sebuah persidangan telah tidak dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut atas sebab peristiwa ini. Melalu catatan beliau sehingga ke majlis pengebumian, hamba mendapat banyak pengetahuan baru tentang pengurusan kematian jenazah Muslim di Korea. Jenazah isteri beliau merupakan rakyat Malaysia yang pertama dikebumikan di sana memandangkan polisi kerajaan Korea yang tidak membenarkan jenazah warga lain disemadikan di bumi tersebut. Tetapi atas bantuan masyarakat Korea dan Kedutaan Malaysia, segala urusan telah dipermudahkan. Sebagaimana lazimnya pusara orang Korea yang terletak di atas bukit ataupun gunung, begitulah juga dengan kawasan perkuburan Muslim di Korea yang berada di kawasan yang serupa. Penulis sekali lagi ke Korea lebih kurang dua bulan selepas itu untuk menziarahi kembali pusara isteri beliau dan kali ini beliau berpeluang untuk menyambut Ramadhan di sana.

Setakat itu sahaja kisah di Korea. Lokasi lain selepas itu adalah di Indonesia dan Selatan Thailand. Namun bukanlah kisah pengembaraan yang diceritakan atau menjadi tumpuan utama penulisan. Memandangkan penulis tidak berkesempatan menyampaikan kuliahnya di Korea, maka beliau cuba menulis akan 'kuliah' tersebut di dalam buku ini. Ia merangkumi ilmu tentang falsafah, sains tabii, matematik, metafizik, etika, prinsip ketersebaban : barat dan Islam, tauhid dan sebagainya. Begitu juga dengan kisah perjalanan beliau ke Indonesia dan Selatan Thailand yang lebih banyak diisi dengan pelbagai tulisan ilmiah khususnya berkaitan sains serta tokok-tokoh ulama' nusantara. 

Membaca tulisan Dr. Mat Rofa, bagi diri hamba secara peribadi, memerlukan kesabaran dan konsentrasi memandangkan tajuk yang dibincangkan biasanya agak berat. Ini amat bersesuaian dengan status beliau sebagai seorang ahli akademik. Penulis mempunyai sifat menyampaikan dakwah yang amat tinggi dan amat bersemangat untuk melaksanakannya. Hamba berdoa agar syakhsiah seperti ini banyak lagi dilahirkan di nusantara seterusnya dapat menyumbang kepada ummah dengan lebih bermakna.

Isnin, 11 Mac 2019

AMRAN FANS - Amran



Buku ini dikatakan buku terlaris di PBAKL 2015. WalLahuaalam, hamba tak tahu. Tapi itulah dakwaan abang Dubook penerbit buku ini pada muka depan cetakan ketujuh April 2016 buku ini. Hamba tak beli buku ini semasa ia baru diterbitkan sebab hamba tak rasa ada keperluan. Lagipun hamba tak tahu atau kenal apa itu Amran Fans. Hingga ke hari ini hamba tak pernah jenguk pun laman pesbuk beliau. Hanya satu dua screen shot  posting beliau yang rasanya pernah lalu di wall pesbuk hamba yang dibuat oleh rakan-rakan hamba. Jadi kenapa kali ini hamba beli pula, adakah telah timbul keperluan. Tidak, masih tidak ada keperluan cuma harga buku ini telah jatuh ke lima hengget di Pesta Buku Selangor 2019. Jadi hamba belilah untuk melengkapkan pembelian hamba yang lain.

Rasanya rata-rata pembaca pun tahu bahawa isi kandungan buku ini sebahagian besarnya atau mungkin juga kesemuanya adalah posting posting penulis di laman pesbuknya. Posting beliau dikatakan telah menarik minat ribuan orang untuk menjadi likers laman tersebut - kecuali hamba! Itu semua poyolah Meran!!

Kalau ditanya tentang lawaknya status yang beliau paparkan, tidaklah hamba nafikan akan perkara tersebut walaupun tidak ada satupun yang membuatkan hamba ketawa apatah lagi sekadar menyungging bibir. Nak lebih kelakar hamba cadangkan majalah Ujang dan Gila-Gila versi lama yang memang pernah membuat hamba ketawa. Tapi lain orang mungkin lain perasaan lawaknya. Cara Amran mungkin sesuai untuk generasi hari ini. Tapi hamba percaya lawak macam manapun si Amran, tak beraninya nak masuk Maharaja Lawak.

Dari segi bahasa memang tak akan lulus tapisan DBP, tapi itulah gaya bahasa yang menarik peminatnya. Sebab lawak Amran mungkin tak jalan kalau berbahasa baku. Sekali sekala akan terjumpa perkataan mencarut yang walaupun dinafikan Amran kita tahu ia masih mencarut. Kalau bukan mencarut Amran mungkin boleh panggil ibunya dengan perkataan itu kalau berani.

Dalam lawaknya berkaitan satu jenama coklat yang dikatakan mempunya DNA babi satu ketika dahulu, Amran ada menyatakan bahawa babi boleh dimakan sekiranya dalam keadaan darurat. Jadi nak makan babi mungkin orang geli. Dengan adanya coklat akan menghilangkan 'kegelian' tersebut dan laratlah orang nak makan. Maaf Amran, makan benda haram bab darurat inipun ada lagi perbahasannya. Hamba tak rasa perkara berkaitan agama ini satu yang luar biasa lawaknya. Lagipun kut di baca oleh manusia yang lurus bendul, memang ada yang akan mentekedarah babi bersalut coklat nanti. Kau nak tanggung Meran?

Cuma ada beberapa posting  Amran yang seolah menunjukkan keprihatinan beliau dengan anak gadis bangsa kita. Bagi hamba nasihat itu baik walaupun kadangkala disampaikan dengan nada yang tidak begitu baik. Sebab itu adalah realiti kehancuran anak gadis bangsa kita di tangan mereka yang kebanyakannya berwajah pecah pintu. Tapi nak buat macam mana kalau yang terlibat itu bodoh-bodoh belaka walaupun di atas kertas mungkin mereka lulusan universiti.

Hamba belum bercadang nak melawat page Amran lagi. Tapi kalau buku Amran yang lain jatuh harga lagi mungkin hamba boleh pertimbangkan untuk beli. Tapi kalau dapat pinjam orang itu lebih baik lagi.

PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...