
Tidak bosan membaca novel ini. Plotnya disusun cantik sehingga setiap peristiwa itu seumpama sebuah siri tv, di mana sesebuah peristiwa itu dapat 'diselesaikan' sebelum melangkah ke kisah yang lain pula. Walau bagaimanapun kisah ini adalah berkait sehingga ke penghujungnya. Ini kali pertama rasanya dalam novel Melayu ditonjolkan kisah pemburu hantu Malaysia yang moden kerana selain membawa peralatan tradisional, mereka turut membawa senjata moden bahkan senjata api Melayu kuno seperti terakol. Mereka mempunyai kelompok mereka sendiri, tempat berkumpul khas dan keistimewaan individu yang tersendiri. Tidaklah dapat dipastikan apakah sumber pendapatan mereka kerana mereka asyik memburu hantu sahaja.
Novel ini turut menggunakan beberapa watak sebenar dalam sejarah yang telah diolah sehingga mengarut dengan jayanya. Jangan pembaca pertikaikan tentang kelainan watak-watak sejarah ini berbanding yang pernah dibaca dalam buku sejarah kerana ia hanyalah sebuah fiksyen. Cuba bayangkan sekiranya watak-watak sejarah itu adalah seperti yang ditulis dalam novel ini. Hamba rasa memang haru biru dunia!!
Selain itu idea patung lilin yang hidup dalam Muzium Eurasia berkemungkinan dikutip daripada filem Night At The Museum oleh Ben Stiller. Penulis juga memasukkan idea berdasarkan tempat-tempat berhantu di Malaysia seperti sebuah hotel di Genting Highland, Penjara Pudu serta hospital berhantu. Dalam peristiwa di Genting, penulis dengan beraninya melakarkan pemilik Genting mempunyai kuasa jahat besar yang akan membunuh belaan yang dibawa oleh pengunjung ke tempat itu khususnya di kasino. Perkara ini sesungguhnya adalah umpama 'urban legend' yang belum lagi dapat ditentukan kebenarannya. Tetapi walau apapun ia telah digarap dengan begitu baik sekali.
Unsur-unsur makam firaun dapat dilihat daripada kisah pencarian makam Raja-Raja Melayu zaman Srivijaya yang dikatakan telahpun ditemui terlebih dahulu oleh British tatakala membina sebuah stesen keretapi bawah tanah. Ia adalah sebuah catacomb yang mempunyai jalan berselirat serta perangkap maut. Jelas penulis amat kreatif di dalam penulisannya dalam menggunakan unsur sebegini serta mengadaptasikannya mengikut suasana tempatan.
Dilihat secara keseluruhan, penulis cuba mengungkapkan kehebatan bangsa Melayu itu sendiri sama ada melalui peristiwa masa kini ataupun yang telah lalu. Ia dibuat secara bersahaja tanpa berlebih-lebihan diserap secara perlahanlahan melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku. Novel ini menghiburkan, tidak terlalu seram dan tidak terlalu mendebarkan. tetapi membacanya pasti akan mengikat kita sehingga tamat!!