Khamis, 27 Jun 2019

DARI TANJUNG MALIM KE KLCC - Fdaus Ahmad



Mula-mula hamba ingatkan ini merupakan sebuah buku motivasi ala-ala Ulu Yam Di Liverpool tapi haram......sikit pun tak menyinggah! Tajuknya menggambarkan penulis yang tinggal di Tanjung Malim berulang alik ke KLCC kerana bekerja! Dan tidaklah pula keseluruhan buku ini menggambarkan kisah perjalanan beliau itu. 

Tetapi jikalau anda stress dan mencari bacaan yang serius serius santai, maka ini adalah bukunya. Kalau tak ada duit nak beli boleh baca sahaja blog beliau memandangkan isi kandungan buku ini diambil daripada blog penulis.

Hamba suka dengan gaya penulisan Fdaus. Beliau bercerita agak santai, mengadun cerita dengan sebaiknya diakhiri dengan ending yang kadangkala tidak dijangkaui pembaca. Maka di sinilah tempat yang akan menyungging senyuman anda. Gaya penulisan beliau juga menyerlahkan kebijaksanaan beliau dalam berlipur lara walaupun kisah yang disampaikan cuma kisah biasa yang kadangkala terjadi juga kepada kita dalam kehidupan seharian. Cuma di satu dua tempat ada juga kata-kata kesat dan carutan yang walaupun kelakar untuk dibaca namun bukan tempatnya untuk bacaan anak bangsa.

Antara semua tulisan beliau hamba menyukai tajuk Story Bas 626. Ia adalah kisah bas yang beliau naiki setiap kali ke Kuala Lumpur dari Tanjung Malim. Story Bas 626 mempunyai dua versi, pertama versi puji-pujian melangit hingga ke kayanagn terhadap bas tersebut yang sebenarnya satu sindiran dan satu lagi yang dinamakan Story Bas 626 versi ugly yang menceritakan kejelekan bas berkenaan. Percayalah ia amat menghiburkan dan satu tulisan yang kadangkala tidak terjangkau dek fikiran akan kelucuannya.

Tulisan Fdaus jikalau muncul di dalam majalah-majalah lawak era 90an pastinya akan menjadi satu aset berharga buat majalah-majalah berkenaan. 

ABE

Tidaklah hamba ingat ini kali yang ke berapa hamba membaca naskhah ini. Daripada bentuk bersiri di majalah sehinggalah ke bentuk kompilasi. Kali ini hamba mengulanginya lagi melalui kompilasi cetakan terkini iaitu cetakan tahun 2019 (cetakan ketiga). Bagi sesetengah orang barangkali karya ini dianggap sebagai lagenda. Karya Abe begitu menjadi kerana gabungan mantap dua nama besar iaitu Ujang sebagai penulis dan Aie sebagai pelukis. Ketika itu Ujang sudahpun menjadi satu nama besar manakala Aie merupakan kartunis yang sedang meningkat naik.

Memandangkan ideanya adalah daripada Ujang, hamba melihat Abe mempunyai sedikit sebanyak persamaan dengan watak dalam novel Jibam, juga oleh Ujang. Watak seorang kanak-kanak bodoh-bodoh alang, yatim dan kerap dibuli. Bezanya membaca Jibam akan terasa lebih tragis justeru disampaikan dalam gaya yang serius manakala Abe lebih santai dan penuh kelucuan di sana sini. Kelucuan pada lukisan oleh Aie ini tidak terhad kepada dialognya sahaja bahkan kepada gaya kartun itu seperti memek muka dan gerak laku yang menimbulkan kelucuan yang tersendiri.

walaupun Abe adalah watak yang sepatutnya menjadi tumpuan, kadangkala kita seperti melihat watak Che Din, seorang pemuda yang kerap membela Abe ketika dibuli seperti lebih dominan. Che Din seorang pemuda kampung yang tidak mempunyai kerja tetap, dipandang rendah oleh keluarganya, dicemburui beberapa kutu kampung tetapi juga disenangi kerana akhlaknya yang baik serta sifatnya yang ringan tulang.

Abe menjadikan Che Din sebagai teman serta tempat mengadu hal terutama apabila dibuli oleh anak-anak kampung. Che Din pula rajin melayan karenah Abe yang kelakuannya kadang-kadang mendatangkan kemarahan orang lantaran sifat dirinya yang tidak sempurna. Kehidupan Abe umpama malap apabila Che Din yang menjadi pembela beliau meninggal dunia akibat kemalangan diikuti dengan kematian nenek beliau.

Lukisan Aie di dalam Abe banyak menumpukan kepada suasana kampung. Beliau melukis dengan agak detail justeru sesuai untuk dijadikan kepada para pelukis amatur.

Isnin, 10 Jun 2019

RANJAU - ZOY



Walaupun telah membelinya sebaik sahaja terbit pada 2016, hanya pada minggu ini sahaja dapat hamba membelek dan menamatkan pembacaan. Nak buat macam mana, buku terlalu banyak di rumah menunggu untuk dibaca. Masa pula perlu dibahagikan untuk lain-lain perkara juga. 

Ini merupakan sebuah karya tribute buat kartunis ZOY yang telahpun kembali ke rahmatulLah pada 5 Mei 2016. Ia merupakan kompilasi karya beliau yang pernah diterbitkan di bawah MOY. Apabila menyebut tentang ZOY, para peminat komik tempatan pastinya membayangkan karya-karya yang berlatar belakangkan seni bela diri. Hamba belum bertemu lagi mana-mana pelukis tempatan yang karyanya banyak memaparkan tentang seni bela diri khasnya seni silat nusantara selain beliau. Pernah hamba terbaca di satu tempat bahawa dikatakan ada pengamal seni bela diri yang tidak berpuas hati dengan karya ZOY kerana seolah memaparkan rahsia gerakan silat perguruan mereka. Hamba berpandangan bahawa mereka tidak perlu risau. ZOY bukannya mengajar setiap langkah satu persatu dan belajar melalui seni gambar adalah tidak sama dengan belajar melalui guru. Sikap negatif begini sebenarnya boleh menghalang minat seseorang kepada karya komik tempatan termasuk seni bela itu sendiri.

Melihat kepada Ranjau, adegan pertempuran dan perkelahian seakan tiada kesudahannya. Pemergian Ahmad Nizam ke ibu kota bagi mencari pekerjaan, walaupun baru beberapa hari sudahpun dipenuhi dengan babak berkenaan. Bagi menarik khalayak remaja, ZOY menyelitkan kisah cinta tiga penjuru yang akan menyebabkan pembaca berteka teki dengan kesudahannya. Selain daripada seni silat, pembaca boleh melihat lukisan seni bela lain seperti taekwondo dan gusti. 

Lukisan ZOY amat kemas dan teliti. Ia adalah gaya asli komik tempatan yang tidak dipengaruhi dengan gaya asing. Ia adalah gaya asli ZOY. Para peminatnya akan tahu gaya lukisan ZOY. Setiap ruang petak diisi dengan latar belakang yang sepatutnya tanpa meninggalkan ruang begitu sahaja. Setiap garisan yang dihasilkan terutama dalam babak perkelahian akan menambahkan lagi rasa real perkelahian tersebut. Selain Ranjau terdapat dua buah lagi komik pendek iaitu Gerak Tapak Rimau dan Badung.

Karya ZOY pernah tersiar di banyak lagi media cetak. Hamba harap pihak berkenaan sedia menerbitkan karya beliau dalam bentuk kompilasi. Tentu menarik kalau 'AYOKO' dapat dibaca semula kan!!


Ahad, 9 Jun 2019

I BELIEVE I CAN FLY

Jarang benar hamba dapat memegang kamera sekarang ini, apatah lagi bereksperimen dengannya. Kebetulan ada kelapangan di pagi raya ke-lima ini dapatlah hamba memetik gambar sekeping dua.



Sabtu, 8 Jun 2019

MEMBUNUH MUHAMMAD - Hilal Asyraf



Membaca novel-novel Melayu atau antarabangsa yang mengungkapkan kisah merentasi masa atau penggunaan mesin masa (time machine) bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa penulis yang pernah hamba ulas novel mereka di blog ini ada memasukkan elemen berkenaan. Namun pernahkah anda terfikir bahawa akan ada suatu hari nanti penulis yang membawa anda merentasi masa hingga ke zaman RasululLah? Misi tersebut menjadi besar apabila pihak musuh merentasi masa ke zaman berkenaan untuk membunuh Baginda. Benar, menulis tentang hal ini adalah sesuatu yang luar biasa dan amat bahaya. Terlalu banyak yang boleh ditafsirkan andainya penulisan hal sebegini dilakukan secara semberono. Misalnya, akan adakah hadith yang diriwayatkan oleh manusia yang datang dari masa depan? Adakah mereka berstatus sahabat kerana hidup di zaman itu bahkan pernah bertemu muka, mendengar ajaran Baginda walaupun tiada komunikasi lisan secara lansung. Berlapang dadalah apabila membaca novel ini. Banyak yang anda boleh fikirkan dan banyak pula pengajaran yang cuba disampaikan.

Novel ini adalah sambungan kepada Samurai Melayu dan merupakan siri terakhir dalam kumpulan novel Hero. Sebagai sebuah novel kemuncak suka hamba nyatakan di sini bahawa ia merupakan sebuah novel yang terbaik. Lebih baik daripada Samurai Melayu. Ia umpama anda menonton siri Avengers, maka episod endgame yang merupakan kemuncak siri berkenaan adalah yang terbaik serta yang paling ditunggu-tunggu. Novel ini tidak menunggu lama untuk memanaskan pembacaan. Dua misi berjalan serentak. Satu misi merentas masa ke zaman RasululLah bagi menghalang Nobu dan rakan-rakannya yang merancang untuk membunuh Baginda. Satu lagi misi memburu serta menghapuskan kumpulan Ryuken di Jepun. Sekiranya dijadikan filem maka kita akan dapat menyaksikan aksi yang tidak putus-putus. Tidak dinafikan agak sukar juga untuk membayangkan aksi pertarungan melalui pembacaan teks tetapi percayalah bahawa aksi yang ingin diceritakan adalah amat sengit sekali.

Melalui misi membunuh Nabi, Nobu menggunakan tiga lompatan iaitu yang pertama semasa RasululLah belum lahir, kedua semasa berlakunya perang Uhud dan yang terakhir ke satu tarikh rawak. Dalam lompatan yang pertama dan kedua, Mus'ab bersama Bakri dan Faisal berjaya memintas dan menggagalkan rancangan Nobu. Namun Nobu lebih licik kerana lompatan pertama dan kedua lebih kepada untuk memancing serta mengelirukan ketiga-tiga pahlawan tadi. Lompatan ketiga menjadi debaran kepada pembaca apabila ketiga-tiga mereka tidak dapat mengetahui ke masa mana menjadi hala tuju Nobu lantaran mesin masa mereka telah berjaya digodam musuh.

Sementara di Jepun misi untuk menjejak dan menghapuskan Ryuken juga bukan merupakan satu misi yang mudah. Untuk episod pertarungan di Jepun, pembaca perlu berimaginasi seolah melihat pertarungan antara Iron Man dan Godzila. Ia merupakan pertarungan yang seimbang serta mempunyai debaran yang tersendiri.

Dalam pada pembacaan novel ini, penulis cuba menyelitkan banyak mesej kebaikan serta Islam itu sendiri. Ia disampaikan secara sederhana dan tidak berlebih-lebih. Watak-watak baiknya adalah sederhana serta tidaklah digambarkan terlalu sempurna umpama malaikat sepertimana beberapa buah novel yang pernah hamba baca. Ia adalah lebih realistik serta bertepatan dengan suasana masyarakat sebenar.

Persoalannya sekarang perlukah hamba membeli baki tiga novel awal siri ini untuk mengetahui kisahnya secara lengkap. Duhai Asyraf silalah kirimkan daku tiga novel itu!!


PODCAST - Naim Tamdjis

  Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pa...